Kuasai Alat
Setiap orang pasti ada lokasi kedai fotostat yang menjadi pilihan. Walaupun kedai itu tidak semestinya memberikan perkhidmatan yang terbaik, kedai itu boleh sahaja jadi pilihan kerana lokasi. Untuk mengetahui kedai fotostat terbaik (baca: cepat, cekap, harga berpatutan), biasanya tanyalah kepada pelajar IPT di kawasan tersebut.
Setelah tidak lagi menjadi pelajar, aktiviti memfotostat sudah berkurangan melainkan hal-hal yang penting dan perlu dibuat salinan dalam kuantiti yang banyak. Di tempat saya ada beberapa kedai fotostat yang berdekatan, tetapi yang dekat-dekat itulah yang buat saya sakit hati menunggu. Perkhidmatannya tidak cekap. Mesin fotostatnya canggih tetapi alat yang canggih itu tidak dikuasai sepenuhnya oleh pengendali mesin itu.
Maksud saya begini :
- Kalau mesin itu boleh difotostat depan belakang, tanpa perlu keluarkan kertas itu dari mesin, masih lagi pengendalinya mahu tarik keluar dokumen, terbalikkan dan seterusnya.
- Kalau mesin itu ada sorter, gunalah sorter bagi salinan lebih daripada satu. Bukankah itu gunanya sorter supaya tugas memfotostat lebih pantas.
- Buatlah matematik serentak dengan aktiviti memfotostat. Ini tidak, sudahlah memfotostat pun lembab. Sesudah memfotostat, bilang pula berapa helai yang sudah difotostat. Bukankah lebih mudah kira yang original kemudian kali dengan berapa jumlah salinan yang diminta pelanggan. Orang yang lemah matematik, tak wajar bekerja di kedai fotostat! (Apatah lagi guna kalkulator pun tak mahir.)
- Jika satu set dokumen ada 10 halaman, dan pelanggan hanya mahu satu salinan, mulakan fotostat dari belakang (bagi pengguna mesin fotostat yang tidak canggih), kemudian halaman 9, halaman 8 dan seterusnya. Apabila sampai ke halaman yang pertama, naskhah salinan itu sedia tersusun. Ini tidak, mesti nak fotostat dari halaman pertama hingga akhir. Sudah fotostat, barulah dia nak susun semula ikut halaman yang sudah tersusun secara terbalik.
Atas sebab-sebab yang mengecewakan itu, saya pun beralih ke kedai lain yang sangat kecil tetapi pengendalinya benar-benar menguasai alat kerana itulah alat yang digunakan untuk mencari makan.
**Nota : Jika ada sesiapa yang tahu kedai fotostat orang Melayu yang cekap di sekitar Ampangan, sila tinggalkan di ruangan komen.
II
Demikian juga halnya dengan mana-mana tugas sekali pun, sebagai penulis alat yang perlu dikuasai ada dua bentuk. Satu ialah alat yang berbentuk fizikal seperti pen dan kertas (jika ada yang masih menggunakan teknologi itu), komputer, laptop, software yang digunakan; ini termasuklah kemahiran menaip. Satu lagi pula ialah alat yang tidak kelihatan iaitu bahasa. Jika tidak, jadilah penulis itu seperti pengendali mesin fotostat yang tidak cekap tadi.
Kalau menjadi pemandu teksi, haruslah kuasai kereta dan faham selok belok enjin dan masalah kereta. Turut mesti dikuasai jalan-jalan yang menjadi laluan dan permintaan pelanggan.
Kalau menjadi tukang kebun, alat-alat untuk berkebun hendaklah sentiasa berfungsi dan perlu ada pengetahuan asas tentang hal-hal berkebun juga.
Andai tak mampu menguasai bidang tugas kita, janganlah salahkan lantai yang tinggi rendah jika diri memang tak tahu menari!
Ulasan