Lentera Mustika menghampiri penghujung

Pejam celik, sudah hampir 3 tahun saya menangani novel bersiri Lentera Mustika di majalah ANIQAH. Insya-Allah, novel ini dijadualkan tamat pada bulan Februari 2009. Novelis yang bakal menggantikan saya juga nampaknya sudah bersedia untuk memulakan perjalanan yang panjang dengan novelnya pula.

Kepada yang pernah mengikuti siri ini, saya ucapkan terima kasih atas kesetiaan anda. Pun, saya tidak tahu siapa sebenarnya yang mengikuti siri ini. Andainya, sudi boleh berhubung dengan saya - menyatakan pandangan peribadi tentang novel ini, tentang Ainur Mustika ataupun apa-apa pendapat yang boleh dikongsi bersama-sama.

Insya-Allah, jika tiada halangan, novel ini akan saya bukukan dalam sedikit masa lagi. Sudah ada penerbit yang saya risik-risik. Andainya semua berjalan lancar, saya mengharapkan novel ini dapat berada di pasaran sekitar awal tahun 2009 - iaitu selepas siri terakhir disiarkan pada bulan Februari 2009.

Itu cuma perancangan saya. Rencana Allah, siapa yang tahu.

Kepada yang belum pernah membaca Mencari Locus Standi, saya mengharapkan pengakhiran Lentera Mustika akan memberikan satu lonjakan kepada pembaca supaya terus membaca Mencari Locus Standi sebagai 'sambungannya'.

Kedua-dua novel ini berkait. Seperti mana yang pernah saya tulis sebelum ini, Lentera Mustika merupakan spin-off kepada Mencari Locus Standi. Boleh juga dianggap sebuah prequel. Namun, saya membikin novel ini supaya boleh berdiri sebagai novel individu. Ya, novel ini berkait tetapi tidak saling bergantung. Pembaca tidak perlu merujuk kepada novel yang satu lagi bagi memahami novel yang sedang dibaca.

Doakan saya diberikan kekuatan dan kesihatan untuk menghabiskan bab-bab terakhir.
Dapatkan majalah ANIQAH keluaran November 2008 di pasaran.

Ulasan

Bunnybaby berkata…
Salam.

Baru semalam saya berpeluang membaca novel bersiri puan di majalah Aniqah. Itupun secara tidak sengaja, ketika menunggu rakan sekerja di mejanya.

Agak tergamam juga saya membaca novel tersebut, kerana gayanya amat berbeza dengan cerpen dan novel puan yang telah saya baca setakat ini. Aduh, dialognya romantis sekali, tetapi mujur ia masih dilingkungi batas Islamik.

Seperkara yang ingin saya sentuh tentang majalah Aniqah, tetapi tidak berkait secara langsung dengan novel bersiri puan, ialah mengenai beberapa artikel yang saya rasa editornya terlepas pandang. Terdapat ayat yang tergantung, di mana sambungannya berada di perenggan lain sebagai ayat yang baru. Saya rasa kesal dan agak silau mata apabila terdapat kesilapan sebegini. Sebab itu jugalah saya kurang membaca majalah sejak akhir-akhir ini.

Kembali kepada Lentera Mustika, saya sangkakan ia adalah sequel Mencari Locus Standi. Rupanya ia adalah prequel.

Wassalam.

Catatan Popular