"Mama tuliskan saya sebuah buku..."


Apabila anak-anak bertanya apakah pekerjaan saya, saya menjawab : saya penulis. Kini ketiga-tiga anak yang sudah bersekolah memahami bahawa pada waktu-waktu tertentu, saya tidak harus diganggu kerana sedang menulis. Jika mereka mahu meminta sesuatu pun, mereka akan meminta daripada ayahnya ataupun orang lain yang berada di dalam rumah. (Ah, kalaulah boleh dua orang anak yang masih kecil itu juga dapat memahami keadaan saya!)

Ketika sedang hamil anak kelima, saya mengumumkan perkara tersebut kepada anak-anak. Malah, anak saya yang sulung, agak risau mendengar dia akan dapat seorang lagi adik. Katanya, "Dengan seorang anak kecil (anak ke-4) yang ada sekarang ini pun, Mama selalu diganggunya. Pasti bayi yang bakal lahir nanti akan tambah mengganggu kerja Mama."

Ah, siapa yang tidak terharu mendengar luahannya. Dia nampaknya cukup prihatind engan apa yang saya lakukan setiap hari.

Adakalanya, anak sulung saya itu akan bertanya, apa yang sedang saya tulis apabila dia melihat saya mengadap laptop. Saya kata, saya sedang menulis novel.

Pernah juga dia meminta saya jelaskan bagaimanakah sesebuah buku itu terhasil. Lalu saya pun jelaskan kepadanya mulai daripada proses penulisan manuskrip sehinggalah buku tersebut berada di kedai buku. Dia pun teruja mendengar apa yang telah saya jelaskan. Saya tunjukkan kepadanya contoh sebuah manuskrip, contoh naskhah pruf yang belum jadi sebuah buku dan akhirnya, sebuah buku.

Ramadhan yang lalu, dia kerap kali bertanya kalau-kalau ada buku yang boleh dibaca bagi memahami lebih lanjut tentang Ramadhan. Saya katakan yang saya akan cuba carikan buku itu untuknya. Tetapi sehingga selesai Ramadhan tahun ini, saya masih belum berjaya mencari buku yang dimaksudkan. Apatah lagi, dia mahu membaca dalam versi Bahasa Inggeris.

Ramadhan tahun ini, dia seperti mendapat suatu pencerahan. Dia kuatkan semangat untuk berpuasa sebanyak yang mungkin. Kalaupun dia harus berbuka, jelas dia benar-benar dahaga. Dia tidak akan berbuka hanya untuk suka-suka. Malah, dia jarang sekali makan kalau dia 'berbuka awal'. Selalunya minum sahaja.

Oleh sebab saya belum menemui buku tentang Ramadhan yang dipinta, dia mencadangkan supaya saya sendiri yang menulis buku tersebut. Wah, macam Toni Morrison pula!

"If the book that you want to read have not been written, then you should write it yourself."

(Toni Morrison)
Saya agak terkejut dengan cadangannya. Katanya lagi, buku itu boleh dinamakan "XXXXXXXX". Amboi siap beri judul lagi!

Aduhai anak! Inikah suatu cabaran untuk Mama? Insya-Allah, Mama akan cuba buat sesuatu. Doakan sahaja ibumu ini diberikan kekuatan untuk terus menulis.

Ulasan

Shamsul Amin berkata…
alamak.. syahdu pula dengan cerita tentang anak-anak yang semakin membesar ni..
tak mengapalah, kak nisah, paling kurang mereka sudah belajar memahami kerjaya mamanya..

mungkin juga satu hari akan jadi seperti mamanya. Manalah tahu..

Catatan Popular