Meja Kerja Kreatif

Saya telah diajak bermain tag oleh Nazmi melalui laman webnya. Tajuk yang diminta saya sambut ialah tentang Meja Kerja Kreatif. Lihat catatan beliau di sini.

Ada apa di meja kerja kreatif saya?

Pertama sekali, ruang kerja saya ialah ruang yang bersifat peribadi. Oleh itu, saya tidak akan sertakan sebarang gambar untuk dilihat oleh sesiapa sahaja dari seluruh dunia. Saya tidak selesa apabila orang yang tidak dikenali tiba-tiba tahu bagaimana saya menyusun buku di meja itu, apa yang tertulis pada papan nota di hadapan meja saya dan nombor-nombor telefon serta maklumat peribadi yang mungkin berada di sekitar meja ini.

Jadi, saya akan berikan sedikit gambaran deskriptif. Bagi orang yang kreatif, saya biarkan anda sendiri yang membayangkannya.

Meja kerja saya terletak di dalam sebuah bilik khusus. Bilik ini juga saya namakan sebagai Kutub Khanah Nisah Haron. Ya, ini sebuah bilik bacaan. Ada rak khusus berbentuk "L" di belakang saya. Rak ini setinggi 10 kaki. Sebahagian besar daripada buku-buku milik saya disimpan dalam Kutub Khanah ini. 80% daripada buku-bukunya sudah pun saya kategorikan mengikut genre.

Meja kerja saya pula sebuah meja dengan permukaan kaca - sebuah meja komputer moden sebenarnya. Ada ruang untuk letak papan kekunci di bawahnya, tapi saya jadikan semacam sebuah laci terbuka. Oleh sebab permukaannya kaca, saya boleh lihat apa yang ada di dalam 'laci' ini. Saya tak perlu letak semua benda atas meja kerana ruang 'laci' ini pun cukup bermanfaat dengan sifatnya yang see-through.

Ada telefon rumah@pejabat di atas meja - bagi menjawab panggilan khususnya untuk Ujana Ilmu. Perkara-perkara lain yang mesti ada atas meja ini ialah alat tulis yang disimpan dalam mug - hadiah daripada pelajar UPSI yang mewawancara saya beberapa tahun lalu.

Buku yang paling penting berada di hadapan saya ialah Kamus Dewan Edisi Ke-4 dan Al-Quran Terjemahan Mushaf Malaysia. Buku-buku yang lain silih berganti mengikut apa yang sedang saya rujuk.

Papan nota di hadapan meja disendal oleh meja lalu santak ke dinding. Banyak gunanya apabila Tuhan mula 'menganugerahkan' nikmat lupa. Apa yang terlintas di fikiran dan perlu dirujuk semula akan dicatat pada dinding ini.

Oleh sebab meja ini bertaraf meja komputer, saya perlukan dua buah meja lain yang menjadi sokongan untuk mood untuk menyepahkan buku dan bahan tiba. Sebuah meja bankuet-boleh-lipat sedang dilipat pada waktu ini dan akan dibuka apabila diperlukan. Sebuah meja kekal yang lain saya gunakan untuk 'campak apa sahaja'. Ada scanner juga di situ.

Di sebelah kanan pula ada laci plastik bertingkat yang hampir sama tinggi dengan meja kerja. Gunanya untuk menyimpan dokumen penting dan atasnya terus dimanfaatkan sebagai tempat surat masuk difailkan.

Ulasan

Salam Nisah,

Wah.....seronoknya membaca entri ini...saya ingin sekali punya meja kerja seperti nisah tapi..ruang bilik yg nak dijadikan bilik bacaan itu nampaknya sudah menjadi bilik stor.....

walau bagaimana pun, selepas ini saya berhasrat punya bilik bacaan sendiri

PC dan rak buku saya kedua-duanya berada di ruang tamu kerana kekurangan tempat di rumah saya....

hmm...terima kasih atas entri yang membuka mata saya ini.

maslina - Kuching, Sarawak
Legal Cat berkata…
Kak Nisah,

Macam meja hero dalam Monk, teratur (from my imagination lah) sebab bila dah habis kerja which is never for someone who work from home, sure you put things back in its place...

Catatan Popular