Soalan Hak Cipta


Ada satu soalan mengenai hak cipta yang diutarakan seorang pembaca. Saya fikir soalan itu wajar dijawab secara terbuka, supaya dapat dimanfaatkan oleh pembaca lain juga.Blogger

nilakandi said...

Assalamualaikum K.nisah... Cuma ingin bertanya pendapat K. Nisah, sementelah K. Nisah telah menulis buku tentang hak cipta. Saya lihat cek Tunas Cipta terbaru ada tertera bayaran 'Honorarium dan Hak Cipta' sekaligus. Begitu juga pada borang karya yang disertakan dlm TC October. Mohon pencerahan dr K.Nisah @ mgkin penulis lain yg karyanya telah tersiar di TC.. adakah DBP turut membeli hak cipta sekaligus.

Monday, November 10, 2008 6:55:00 AM MYT


Salam kembali Sdr Nilakandi.

Cek bayaran dari Dewan Bahasa dan Pustaka untuk karya-karya yang tersiar biasanya tertulis 'hak milik dan royalti'. Ini tidak bermakna kita telah menjual hak cipta. Bayaran tersebut bermaksud honorarium. Perkataan royalti mungkin tidak sesuai ditulis pada keterangan baucar tersebut.

(Keterangan mengenai pembayaran biasanya standard. Bahagian kewangan DBP tidak mungkin dapat membezakan yang mana satukah bayaran untuk royalti dan yang mana honorarium. Mereka menguruskan banyak cek pada setiap hari.)

Tetapi hak cipta tidak berpindah kepada pihak lain hanya dengan cara yang demikian. Perpindahan hak dalam hak cipta haruslah dilakukan secara bertulis - iaitu melalui perjanjian bertulis antara pihak penulis dan juga penerbit.

Di dalam borang karya pula, saya petik tulisan yang digunakan:

"Saya mengakui bahawa cerpen/puisi ini adalah karya saya sendiri, tanpa melakukan sebarang peniruan, penyaduran, plagiat dan seumpamanya. Saya mengizinkan DBP menerbitkan semula karya saya ini dalam bentuk buku dan membenarkan DBP melindungi hak cipta karya ini bagi pihak saya."

Kenyataan ini ialah pengakuan yang diperlukan oleh penerbit (DBP) daripada pengarang. Selain mengakui bahawa cerpen/puisi ini ialah karya asli pengarang, pengakuan ini juga bermaksud, pengarang sendiri memang benar-benar berniat untuk mengirim karya ini kepada pihak DBP.

Ini disebabkan boleh berlaku senario begini :

Pengarang A menulis sebuah karya tetapi belum bersedia ataupun tidak berniat untuk mengirimkan karya tersebut ke mana-mana. Sahabat kepada Pengarang A, si B pula, ternampak karya Pengarang A, lalu tanpa memaklumkan kepada Pengarang A, si B 'pandai-pandai' pergi kirimkan karya tersebut kepada Tunas Cipta (misalnya; konon nak surprise member). Perkara ini bermaksud, Pengarang A tidak pernah mengizinkan karyanya dikirimkan ke Tunas Cipta. Apabila karya itu disiarkan dalam Tunas Cipta, ini sudah menjadi satu dilema kepada Pengarang A.

Harus diingat bahawa bukan semua pengarang ghairah untuk melihat karyanya tersiar dalam mana-mana media. Ada pengarang yang tidak mahu diasosiasikan dengan media tertentu. Penyiaran karya di media berhaluan kiri misalnya, akan memberi konotasi kepada pembaca tentang kecenderungan politik pengarang tersebut. Ini mungkin tidak memberi keselesaan kepada pengarang tadi.

Oleh hal yang demikian, izin dan hasrat pengarang itu sendiri penting. Sebab itulah DBP menyediakan borang tersebut.

Perkara kedua ialah tentang penerbitan semula dalam bentuk buku. Walaupun hal ini dinyatakan dalam bentuk demikian dalam borang itu, pengalaman saya yang lalu, DBP akan menghantar satu lagi surat meminta keizinan sekiranya karya tersebut dihimpunkan kemudiannya dalam bentuk buku pula. Ini kerana penerbitan karya di dalam majalah berbanding dengan buku, mempunyai jangka hayat hak cipta yang berbeza.

Apabila pengarang menandatangani surat izin terbit karyanya dalam bentuk buku, secara automatik, penerbit bertanggungjawab melindungi hak cipta karya tersebut bagi pihak pengarang. Pun, ini bukan bermakna hak cipta telah diserahkan kepada penerbit 100%. Yang diserahkan ialah hak penerbitan - iaitu DBP mempunyai hak untuk menerbitkan karya tersebut setelah izin diberikan. Jika ada pihak yang memplagiat karya yang sama, DBP akan mengambil tindakan terhadap pihak yang tidak bertanggungjawab itu, bagi pihak pengarang.

Harap saya telah menjawab soalan sdr Nilakandi. Jika ada persoalan lanjut daripada Nilakandi ataupun pembaca lain, sila tinggalkan di ruangan komen. Terima kasih.
.
.

Ulasan

Tanpa Nama berkata…
Saya faham sebegini; "Selagi tiada perjanjian yang ditandatangani untuk menyerahkan hakcipta selagi itu ia kekal bersama penulis asal."

Betulkah?

Catatan Popular