Catatan Sewaktu Perhimpunan Penulis Muda 2009


Seketika membuat pelarian dari riuh suara anak-anak; melayan riuh suara burung gembala kerbau (mynah) yang menemani di daratan air terjun buatan dan kolam renang hotel ini. Malam tadi sempat me'MESTAMU'kan puisi Dharmawijaya yang berjudul "Harapan" di dalam suatu majlis santai selepas lelah berseminar di Perhimpunan Penulis Muda Nasional 2009 di sini. Hari ini hari terakhir. Ada 2 sesi kertas kerja lagi.

Saya sudah bentangkan kertas pada hari Jumaat malam Sabtu. Mudah-mudahan luahan hati saya itu didengari Ketua Pengarah DBP yang berada di situ bersama-sama dengan Presiden PENA, Dato' Baha Zain.

Andaikata tulisan itu bersifat lantang. Saya harap ada kesan yang mampu menggegarkan sesiapa yang sepatutnya berasa tergegar. Bukan sekadar menjadi resolusi tanpa makna!

* * *

Pagi ini sedang berlangsung sesi pertama yang membawakan 3 orang panel :
Satu langkah yang baik oleh penganjur yang menghadirkan mereka.

Dr. Mohammad Alinor, orang Matematik dan Sains yang terlibat dengan kajian Etnomatematik dari UKM yang menyorot sastera melalui kertasnya "Sains Tabii dan Sastera" menulis di dalam kertasnya :

"Kami akan memulai perbincangan ini dengan menyatakan matlamat besar kami, dengan di sokong oleh beberapa penyelidik seperti Dr. Shahrir bin Mohd Zain, dr. Mat Roga Ismail, Prof Dato Dr. Abdul Razak Salleh dan En. Baharrudin Zainal yang bernaung di bawah Institut Penyelidikan Matematik (INSPEM), UPM dan Akademi Sains Islam Malaysia (ASASI). Matlamat kami sebenarnya melakukan penyelidikan ini adalah untuk mengumpulkan segala hal berkaitan Sains Tabii (termasuk juga Teknologi) yang dirakamkan di dalam sumber-sumber bertulis, lisan dan artifak di Alam Melayu."

Sementara Wan Ahmad Fayhsal, seorang mahasiswa tahun akhir dari Universiti Teknologi Petronas, petah bercakap tentang sastera. Ah, kalaulah mahasiswa pengajian sastera ataupun pengajian Melayu dapat melihat seperti mana mahasiswa ini berfikir. Jelas sekali, dia memahami konsep ilmu dalam persuratan Melayu dan bersetuju dengan Gagasan Persuratan Baharu janaan Mohd Afandi Hassan. Kini saya bertambah yakin bahawa sastera itu harus diberikan kepada pelajar-pelajar yang bijak dan bukan mereka yang berada di kelas belakang.

Panel terakhir, Nasirin Abdillah, Pensyarah Sastera Inggeris dari UiTM Terengganu, mengajak pengarang sastera Melayu melihat bagaimana filem Inggeris mengangkat karya sastera ataupun watak-watak sastera yang dihimpunkan, sebagai contoh dalam filem A League of Extraordinary Gentlemen. Ini wajar dilihat secara serius kerana pembikinan filem-filem dan drama-drama di Malaysia masih lagi mengikut rating dan mengabaikan faktor muatan cerita dan pemikiran walaupun hebat dari aspek sinematografi dan permainan kamera.

Saya timbulkan persoalan kepada panel terakhir. Saya berkata tentang tahap pencapaian penulis yang menulis dalam Bahasa Inggeris, khususnya di dalam konteks Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU) yang tidak sampai kepada tahap sastera Melayu seperti yang telah dibuktikan oleh novel-novel HSKU. Jelas, tahap pencapaian karya sastera (apatah lagi karya remaja) telah jauh meninggalkan sastera Inggeris yang masih lagi mengangkat kisah-kisah hantu dalam karya-karya mereka.

Saya juga nyatakan betapa sebagai pengarang sastera Melayu, kami sedikit tersinggung apabila kategori novel Inggeris ditumpangkan ke dalam HSKU yang cukup berprestij buat kami. Bukannya kami menafikan kehadiran novel-novel Inggeris yang ditulis oleh penulis tempatan, tetapi semangat dan pemikiran sastera Melayu sangat berselisih dengan pengarang novel-novel Inggeris.

Apakah tahap mereka ini masih lagi berlegar di takuk ini?

Jawapannya, sama-samalah kita berfikir sendiri.
.
.

Ulasan

mariahsj berkata…
Tahniah. Seronok dapat menumpang berita. Semoga seminar ini akan membawa langkah yang baharu kepada para peserta dan penulis muda semua.
Salam manissss.....
D'Rimba berkata…
Terima kasih akak, amat manis kenangan itu cukup kuterhatu.....
Rusdi Abd Rahman berkata…
Pn. Nisah,
1. Saya amat bangga kerana buat kali keduanya terlibat secara umum dalam PPMN ini, kali pertama di Kukup, Pontian tahun 2005.
2. Sinonimnya PPMN 2009 dan 2005 buat dalaman diri saya ini pabila saya dilantik selaku Pengerusi Sesi yang pertama.
3. Cukup teruja juga kali ini pabila mutu pembentangan kertas makin meningkat kualiti serta buah fikir penulis-penulis muda ini.
4. Ketika sesi puan membentangkan kertas, terdetik di hati saya ada 1-2 soalan juga ingin bertanya tetapi tiada upaya ketika itu... mungkin saya perlu sekali lagi membaca kertas puan untuk bertanya selepas ini.
5. Cuma... (maaf saya terpaksa berterus terang) pengurusan kali ini agak sedikit kurang teratur terutama pada masa pendaftaran dan sesi pertama pembentangan; saya selaku Pengerusi tidak dimaklumkan langsung bagaimana ingin menguruskan sesi pertama itu (masa/soal jawab dan lain-lain), juga termasuk susunan meja dan kerusi di pentas serta penyediaan perlatan teknikal (pembesar suara dan lain-lain) yang belum sempurna ketika 5 minit menjelang sesi pertama (sepatutnya bermula 3 petang tetapi mula jam 3.30 petang), kertas kerja tidak disediakan buat Pengerusi dan Panel (cuma selepas 30 minit sesi barulah diberikan selepas saya berulang memintanya dari atas pentas)..., namun atas sifat profesionalisme dan amanah tugas saya teruskan tugas. Saya perasan puan serta beberapa penulis prolifik masuk ketika sesi pertama sedang berlangsung.
6. PPMN kali ini berjaya dalam agenda yang ingin dihujahkan dan hasrat yang ingin disampaikan kepada pihak tertentu...
namun pengurusan acara seboleh mungkin biarlah juga terurus dalam konteks profesionalisme dengan baik seadanya mampu terutama dalam hal-hal umum dan asas dalam pengurusan sesebuah acara ilmu sebegini apatah lagi ini acara peringkat nasional.

Maaf puan atas tulisan yang terlalu panjang ini. Sekadar ingin berkongsi pengalaman dalam PPMN 2009 ini.
Layla Haq berkata…
Puan Nisah, terima kasih atas kesempatan dan keselesaan yang diberikan kepada saya.

Saya bersetuju bahawa aspek senioriti dalam dunia penulisan harus diketepikan bertitik tolak daripada alasan bahawa yang terbaik tidak semestinya perlu 'tua' untuk menerima anugerah.

Siapa yang bagus harus diangkat sebagai penulis yang baik tidak kira sama ada tempoh menulisnya lama atau tidak.

Dan perhimpunan ini benar-benar memuaskan dari aspek pemilihan panel dan isu yang dikupas.

ps : Dendangan Mestamu puan sangat indah!
Nisah Haji Haron berkata…
Kak Ton,
Terima kasih atas singgahan. Kami hargai sokongan daripada semua golongan. Secara peribadi, saya tidak bersetuju dengan mana-mana bentuk dikotomi - penulis muda-mapan, penulis lelaki-wanita, dan sebagainya.

D'Rimba,
Teruskan perjuangan. Perkara yang lepas itu kita sama-sama jadikan pengajaran dan sempadan. Semangat yang ditunjukkan itu tidak ramai golongan muda yang memilikinya. Cuma, sentiasa tambahkan ilmu dan perdalamkan pemikiran. Insya-Allah, itu untuk kebaikan ummah jua.

En. Rusdi,
Tentang beberapa hal yang dinyatakan, saya bersetuju juga. Tetapi saya memahami juga masalah kekurangan tenaga kerja dalam kumpulan urus setia. Tanpa sebarang maklumat panel, tuan masih lagi mampu menjadi moderator yang baik. Tentang profesionalisme, mari kita semua sama-sama tingkatkan hal ini.

Bayan,
Saya juga gembira dengan ukhwah kita yang semakin akrab. Teruskan pandangan-pandanganmu yang kritis. Tidak ramai wanita yang berani memberikan komen bernas dengan tidak membaurkan emosi. Semoga langkah kita bertemu lagi.

Catatan Popular