Hak Cipta Penterjemah & Penyusun

Saya menerima soalan berkenaan hak cipta bagi penterjemah dan juga penyusun yang ingin saya kongsi jawapannya untuk manfaat bersama :

Soalan :

assalamualaikum,

saya hendak bertanyakan mengenai permasalahan hak cipta bagi buku terjemahan.
saya merasa musykil mengenai buku-buku yang diterjemahkan dari bahasa arab ke bahasa malaysia, terutamanya buku-buku dari Mesir, adakah itu merupakan suatu kesalahan, kerana perkara ini banyak dilakukan di malaysia, dan bagaimana dengan kesannya kepada penerbit di masa depan.

begitu juga saya nak bertanyakan mengenai buku yang disusun, yang diambil fakta-faktanya dari buku penerbit lain, adakah ini merupakan suatu kesalahan.

harap puan dapat memberi penjelasan kepada saya terhadap dua permasalahan di atas. sekian terima kasih.

wassalam


Jawapan :

Alaikumussalam Saudara Si Fulan,

Terima kasih kerana menghubungi saya.
  • Berkenaan buku-buku yang diterjemah, khususnya yang diterjemah daripada Bahasa Arab ke Bahasa Melayu, hak cipta terjemahan dipegang sepenuhnya oleh penterjemah dengan syarat, izin daripada pengarang asal ataupun penerbitnya diperoleh. Tanpa keizinan tersebut, penterjemah tiada hak langsung untuk berbuat demikian. Apatah lagi, buku tersebut kemudiannya akan dijual dengan meluas di Malaysia.

    Ada juga yang berpendapat bahawa terdapat kitab-kitab tertentu boleh diterjemah dengan sewenang-wenangnya kerana pengarangnya telah mewakafkan ilmu tersebut - ertinya tidak akan mengambil sebarang untung daripada jualan buku/kitabnya.

    Benar, hal tersebut memudahkan kerja penterjemah. Oleh itu, sesiapa sahaja bebas menterjemah dengan yang demikian, penterjemah harus melakukan kerja-kerja terjemahan itu dengan percuma kerana ilmu yang ditulis oleh pengarang asal telah diwakafkan. Satu sen pun daripada hasil buku itu tidak boleh diambil - sama ada oleh penterjemah, apatah lagi oleh penerbit.

    Analogi mudah yang boleh diberikan : Jika seseorang yang memiliki sebidang tanah dan atas tanah tersebut ada banyak pokok kelapa, lalu dia mewakafkan tanah tersebut berserta dengan apa-apa yang ada di atas tanah tersebut; sesiapa sahaja boleh menurunkan kelapa itu, menggunakan kelapa itu untuk kegunaan sendiri tetapi tidak boleh sekali-kali mengambil kelapa-kelapa itu untuk dijual dan dinikmati hasilnya. Jika mahu diturunkan kelapa-kelapa itu dan kemudiannya dijual, hasil daripada kelapa itu tidak boleh dinikmati secara individu - malah haruslah didermakan ke jalan Allah jua.

    Oleh hal yang demikian, tentu sahaja saudara faham berdasarkan analogi yang diberikan.

    Sekiranya saudara menyusun sebuah buku, saudara hendaklah memperkenalkan nama saudara pada buku tersebut sebagai yang selayaknya - iaitu penyusun. Contoh :
  • Judul : Alif Ba Ta
  • Penyusun : Si Fulan

    Saudara tidak boleh menggunakan nama pengarang kerana saudara bukanlah pengarang buku tersebut. Tetapi, sebagai penyusun, sdr tetap memegang hak cipta ke atas cara susunan. Tiada orang lain yang boleh meniru susunan yang sama. Isinya masih boleh diambil dan disusun dengan cara yang berbeza oleh penyusun yang lain. Dan hak cipta dipegang oleh masing-masing penyusun.

Sekian, penerangan ringkas daripada saya berkenaan hal-hal hak cipta bagi karya terjemahan dan juga hak cipta penyusun.

Wallahua'lam.

Ulasan

Catatan Popular