DBP janji terbit segera buku - KP

Pertama sekali, hari ini saya sangat teruja apabila sdr Nazmi dari Berita Harian mengumumkan bahawa ruangan sastera akan ada pada setiap hari mulai hari ini di akhbarnya. Wah, luar biasa sekali komitmen Berita Harian. Nampaknya, jauh ketinggalanlah Utusan Malaysia. Saya sudah tidak ada sebab untuk membaca Utusan kecuali pada hari Ahad kerana saya segmen artikel sastera (yang ikut suka hati, ada ataupun tiada), cerpen dan puisi. Kini alasan lain untuk membaca Mingguan Malaysia ialah untuk mengikuti kolum Datin Fatini Yaacob yang menulis tentang Natrah pada setiap hari Ahad.

Sebelum ini saya melanggan akhbar hanya pada hari yang ada sastera : hari Khamis, Jumaat dan Sabtu wajib baca Berita Harian (itu adalah hari-hari yang ada segmen sastera) dan pada hari Ahad melanggan Mingguan Malaysia.

Akhbar-akhbar alternatif akan dilanggang oleh ayah saya, jadi saya akan tumpang baca. Sudahnya, kami bertukar-tukar akhbar.

Tahniah kepada pihak pengurusan Berita Harian kerana memberi ruang kepada segmen sastera untuk hidup pada setiap hari!

* * * * *

Ketika membaca ruangan sastera di Berita Harian, berita ini menarik perhatian - Jaminan daripada Ketua Pengarah DBP bahawa DBP akan segera terbitkan buku.

Saya tak tahu mana yang lebih basi : isu buku akan terbit segera ataupun komen daripada Ketua Pengarah itu lebih basi. Ataupun, buku-buku yang mahu diterbitkan oleh DBP memang manuskripnya sudah lama basi.

Dulu, kalau bercakap tentang buku-buku DBP, kita barangkali tidak kaitkan dengan Dawama Bhd (sebagai pencetak dan pengedar tunggalnya). Sekarang, apabila saya terlibat dalam dunia buku saya tahu bahawa DBP tidak mengedarkan buku. Tugas DBP hanyalah menerbitkannya. Jadi, sebelum sesiapa mahu menyelar DBP, hadamkan dulu fakta ini.

Dawama sebagai pengedar tunggal buku-buku DBP bertanggungjawab penuh dalam mencetak dan mengedar buku-buku ini supaya sampai kepada khalayaknya. Nah, tanggungjawab yang satu inilah yang dipertikaikan oleh banyak pihak khususnya pengarang. Mana dia buku-buku yang sudah diterbitkan? Kenapa habuk buku-buku DBP ini langsung tidak nampak di mana kedai-kedai buku pun.

Ya, adalah beberapa judul yang 'tersesat' di MPH. Saya ada jumpa. Bohong pula kalau saya kata 100% tiada. Tapi, kita boleh lihat buku DBP yang bagaimana yang ada di MPH. Selalunya, buku-buku yang bermaruah sifatnya. Selebihnya, kalau nak beli di Dawama, kena pesan awal-awal. Kalau datang pakai terjah, kenalah tunggu pekerjanya menyelongkar buku-buku di dalam gudangnya. Buku-buku yang dipamerkan di dalam kedai kecil di luar gudang itu juga ada yang tidak mempamerkan buku-buku terbaharu. Kena tanya, sabar menunggu, baru dapat.

Sebagai penjual buku, saya juga kena bersabar, tidak kurang juga sampai hilang sabar kerana pihak Dawama enggan menjual buku-buku kepada saya dengan harga pengedar. Kalau saya dapat 10% diskaun daripada pihak Dawama bagaimana saya boleh jual kepada pelanggan yang turut menuntut diskaun yang sama. Walaupun saya bayar tunai, walaupun saya beli buku lebih daripada 10 naskhah (sebagai contoh), diskaun yang diberikan tetap sama. Kalau hendak diskaun lebih, kena usaha lebih dengan pelbagai cara yang sudahnya, kedua-dua pihak tidak gembira.

Atas alasan yang sama, saya juga tidak dapat bekalkan majalah kepada banyak pihak yang meminta, kerana setiap bulan akan mengalami masalah yang sama. Sedangkan majalah DBP langsung tidak kelihatan merata-rata di tempat saya. Bagaimana buku DBP mahu laku jika majalahnya tidak beredar. Buku-buku DBP hanya dipromosi di dalam majalah DBP sahaja.

Lalu, apa gunanya DBP terbit buku, percepatkan penerbitan buku jika buku-buku itu tidak berjumpa matahari pun. Semuanya tersimpan di dalam gudang. Hujung tahun, dijual dengan harga RM1. Adilkah buku-buku yang tidak pernah dipromosi, dipertonton, diberitahu kepada orang ramai akan kewujudannya ini dilacur sedemikian?

Ini kenyataan Dato' Termuzi (K.P DBP) yang saya petik dari laman Berita Harian :

“Dalam memartabat dan mengembangkan sastera serta bahasa Melayu sebagai wahana ilmu, DBP mensasarkan untuk menerbitkan lebih 400 judul buku dalam setahun,”



Ini pantun daripada saya :

Apa guna paku yang banyak,
      Kalau berkarat setiap batang;
Apa guna buku yang banyak,
      Hanya sarat di dalam gudang.



Jika perkara pemasaran dan jualan buku oleh Dawama ini tidak diselesaikan, saya percaya DBP akan terus kehilangan penulis-penulis yang berwibawa. Setakat ini sahaja, ramai penulis yang berkualiti sudah beralih arah.

Penulis-penulis ini bukan setakat kecewa dengan proses penerbitan yang lambat pada suatu ketika (kini sudah ada pembaharuan, sedikit cepat berbanding dulu), ramai yang bertanya juga kepada saya, selepas buku mereka diterbitkan oleh DBP, di mana kawan-kawan mereka mahu membeli untuk mendapatkannya. Dawama mahu jual secara online sahajakah? Bukan semua orang selesa membeli secara online. Kanak-kanak dan remaja lebih sesuai membeli buku di kedai-kedai buku. Ibu bapa mahu membelek-belek buku sebelum membelinya untuk anak-anak.

Jadi, di mana sebenarnya buku-buku DBP ini dijual? Hanya di kedai-kedai yang tersorok? Kedai-kedai lain nampaknya tidak berminat untuk menjual buku-buku DBP. Ya, saya tidak salahkan mereka kerana Dawama enggan memberi diskaun yang berpatutan. Siapa yang mahu rugi?

Apakah kenyataan Ketua Pengarah DBP di dalam hal ini pula?


Nota Hujung:

* Sasterawan Negara pun sudah mula mendapatkan kembali hak cipta daripada pihak DBP kerana sudah hilang kepercayaan atas kebolehan DBP/Dawama menjual dan mempromosi buku-buku mereka.

Fikirkan!

Ulasan

Fahd Razy berkata…
Saya suka pantunnya. Mungkin kena semua pakat hafal dan nyanyikan ramai-ramai...terutama bila ada majlis sastera. Tapi agaknya telinga mereka dah tebal, cakap apa pun tak jalan.
Nisah Haji Haron berkata…
Terima kasih Fahd. Saya dah edit sikit pantunnya, biar rima tengahnya sepadan.
mariahsj berkata…
Saya lebih suka cara yang dahulu. Penerbitan, pracetak, percetakan pengedaran, dan pemasaran dilakukan seratus peratus oleh DBP. Majalah dan buku pun terjual walaupun tanpa bantuan internet.
Editor-editor DBP bekerja bertungkus lumus, ada masanya sampai ke malam, tapi kecewa kerana karya tidak sampai di pasaran. Pengedarnya syarikat swasta tapi tak bekerja macam orang swasta....Akhirnya DBP juga yang dikutuk...
Nisah Haji Haron berkata…
Kak Ton,
Sangat setuju! Lagi satu kedai buku DBP di bangunan lama memang ada jiwa. Walaupun kedai tu nampai kecil tapi tak ada buku yang tak ada. Tak tahu macam mana kedai sekecil itu boleh ada semua buku DBP pada ketika itu. Sangat berbeza dengan kedai buku di menara - besar, teguh tapi tak berapa peramah. :-)
Kak Nisah, Fahd,
Kami yang tidur sekatil dengan mereka ini, percayalah mimpi kami asing-asing. 'Menyalak'pun bagai menyalak bukit.

Sekarang ni, cuba untuk mengilai. Mujur, mereka sudah nampak ada 'hantu' di wajah kami. Tetapi bukan itu yang kami nak. Kami mahu mereka kata kami 'gila'. Agar mudah kami tuntut 'fasakh'. :-)

al-Kurauwi
http://ibnuahmadalkurauwi.wordpress.com
Saya pernah memesan Hikayat Amir Hamzah secara talian melalui Dawama kira-kira dua tahun yang lalu. Selepas seminggu, buku masih belum nampak bayang. Terpaksalah bersusah payah menelefon, kemudian talian berpindah dari seorang ke seorang yang lain. Entah siapa pula yang mengambil peduli. Alasan mereka, terlepas pandang. Dua tiga hari kemudian, Hikayat Amir Hamzah sampai dengan selamatnya.

Bayangkan andai saya terlupa dan tidak menghubungi mereka.
Oh Me berkata…
Saya pun lebih suka kalau DBP yang edar buku mereka sendiri...Kulit buku DBP dulu lagi cantik dari yang sekarang.

Dimana silapnya ntah? Satu kapal 2 nakhoda?
Patutlah dulu-dulu saya tak dapat bila mintak kerja di DBP. Saya tak kena kriteria mereka. huhuhu...
Rusdi Abd Rahman berkata…
Pn. Nisah,
Ya... itulah yang diucapkan serta dikutip oleh wartawan BH (Rashiqah Ilmi) dalam Kolokium Penulis Johor anjuran DBPWS-PPJ di DBPWS, Larkin Perdana, Johor Bahru pada 18 Julai 2009 yang lalu.

Berita tentang program ini juga ada termuat dalam akhbar BH dan Harian Metro (edisi Johor) juga dalam akhbar tabloid mingguan iaitu Wasilah.

Saya sering menjemput wartawan hadir (sama ada wartawan negeri atau nasional) dalam program DBPWS agar sesuatu program dan kenyataan serta tindakan melalui program itu terliput setidak-tidaknya peringkat negeri namun bonus jika terliput peringkat nasional.

Alangkah indahnya jika saya juga dapat menggerakkan program di Negeri Sembilan kan puan... tapi apakan daya saya diberi hak bergerak setakat Johor dan Melaka sahaja.
Terima kasih.

Catatan Popular