Sekitar Perhimpunan Alumni MPR 1




Apa istimewanya program Minggu Penulis Remaja (MPR) sehingga dikatakan kumpulan elit 'perasan bagus' oleh pihak yang bersuara dengan nada iri. Sama kita memang bagus ataupun 'perasan bagus' seperti dakwaan sesetengah pihak, mulut yang rajin berkata-kata itu pasti ada di mana-mana.

Memetik kata-kata Sdr Ahmad Patria Abdullah, mantan peserta MPR yang sulung (1985), orang perjuangan tidak akan peduli akan apa yang orang lain kata. Maka benarlah! Itulah sikap yang telah diambil oleh sekian ramai pengarang, khususnya mantan peserta MPR yang dianggap berjaya. Orang yang berjaya harus PEKA dan juga PEKAK.

PEKA kepada peluang. PEKAK kepada segala kata-kata orang (yang tidak langsung tidak bermanfaat itu).

Mantan peserta MPR bukannya mendabik dada ataupun bermegah-megah dengan kejayaannya. Mereka yang tekal menulis, tidak akan berhenti menulis - natijahnya, adalah karya yang terbit. Apabila ada sayembara, mereka akan turut serta - natijahnya, adalah juga karya yang menang. Apabila banyak karya yang terbit dan menang, mulalah mereka yang hanya menjadi penyokong dan tukang sorang di luar gelanggang berkata apa-apa sahaja yang mereka suka. Akhirnya, yang menulis dan terus menulis pastilah karyanya lebih banyak daripada mereka yang lebih banyak berkata-kata tetapi tidak menulis sepatah perkataan pun.

Mantan peserta MPR yang tidak menulis - usah diperlekehkan mereka ini. Program ini dibentuk untuk melahirkan mereka yang celik sastera. Kalau setiap tahun (sekitar 25 - 30 orang peserta dipilih) setiap mantan peserta menjadi penulis, kiralah sendiri sejak 1985 - 2009 ada berapa ramai penulis yang menjadi. Lalu, ada yang mengambil pendirian untuk tidak menulis kreatif, tetapi mereka menulis karya-karya bukan fiksyen, ada yang menceburi bidang seni yang lain. Dan, ada juga yang terus tenggelam dalam bidang-bidang lain. Hakikatnya, jiwa mereka ini sarat dengan rasa kecintaan terhadap sastera. Kumpulan ini menjadi penyokong kepada sastera - lalu lahirlah doktor yang boleh berpuisi, peguam yang mencintai sastera, jurutera yang boleh bergurindam atau paling tidak, mereka menjadi ibu bapa (setelah berkahwin) yang memahami seni sastera untuk diterangkan kepada anak-anak mereka.

Perhimpunan Alumni MPR 1 yang berlangsung Sabtu lalu bukan sekadar menyebut kembali nostalgia. Kami berbangga kerana yang senior masih lagi sudi bersama-sama : Ahmad Patria Abdullah (1985), Zarihah Hasan (1986), Lily Haslina Nasir (1986), Ruslan Ngah (1986?). Mereka ini datang hanya kerana terdengar bahawa ada perhimpunan dan sangat teruja sekali. Mereka banyak melahirkan rasa terhutang budi kepada tenaga pengajar dan DBP yang telah mencungkil bakat mereka.

Saya kesal mendengar suara-suara kritikan daripada beberapa mantan peserta yang enggan hadir kerana tiada undangan rasmi, tiada kad undangan, tidak menerima sebaris apa pun (kononnya) padahal mereka telah dengar desas-desusnya. Pada saya, undangan daripada pihak urus setia MPR/DBP, ibarat undangan daripada ahli keluarga sendiri. Secara analoginya, kalaulah ibu saudara saya mahu adakan kenduri kahwin takkanlah dengan saya pun hendak dihantar kad undangan. Kalau saya terdengar, pastinya saya datang menyusul walaupun tidak diundang secara rasmi. Ibu saudara saya itu ialah keluarga saya dan saya bukannya orang lain yang harus menunggu kad undangan rasmi. Malah, saya harus datang menolong dan bukannya mengkritik sama ada pelaminnya senget ataupun makanan tidak enak. Sebagai ahli keluarga dalam MPR pula, kita haruslah tahu letak duduk diri kita hari ini walaupun barangkali, hari ini kita sudah jadi penulis atau penyair yang gah namanya.

Pun, itu pilihan masing-masing. Saya tahu ada ramai yang tidak dapat hadir kerana ada banyak majlis yang berlangsung pada hari yang sama. Kalau berkirim salam, juga memadai. Ingatan sebegitu lebih murni dan akan dikenang sepanjang hayat.

3 segmen berlangsung ketika majlis tersebut.

Forum MPR selepas 2 Dekad begitu hidup sekali apabila moderatornya Sdr Nimoiz T.Y. (2004) - gambar di atas (berbaju merah) - berjaya melontarkan soalan-soalan yang penuh provokasi.

Segmen Memori MPR tidak kurang hebatnya. Ada-ada sahaja kenangan pahit manis yang sudi dikongsi bersama. Tidak ketinggalan, Pak Ali Majod (gambar di sebelah) juga sudi ke hadapan berkongsi beberapa pengalamannya mengendalikan kerenah para peserta.

Segmen terakhir ialah Mengenang Almarhum Dr. Othman Puteh yang telah banyak menumpahkan jasanya kepada penulis-penulis muda, khususnya mantan peserta MPR tanpa jemu.

Terima kasih kepada pihak DBP, khususnya Encik Wahab Hamzah dan Puan Malissa Malik serta ahli-ahli jawatankuasa di pihak DBP yang bertungkus lumus menyediakan yang terbaik untuk majlis Perhimpunan Alumni MPR 1 2009. Tidak ketinggalan kepada adik-adik mantan peserta yang sudi meluangkan masa menawarkan diri sebagai AJK. Harap tidak serik kerana ada banyak lagi program yang memerlukan tenaga kalian yang masih muda belia.


Untuk melihat gambar-gambar lain, sila klik pautan di bawah :

Facebook Hani Salwah
Facebook Ilham Hafiz
Facebook Nabiha

Ulasan

aku di kl pada hari istimewa ini berlangsung. hari itu sudah diperuntukkan untuk alumni ini tetapi iman demam kuat, jam 11 malam bawa ke klinik dengan pesanan doktor "jika tak turun suhunya, hantar segera ke hospital'. esoknya (hari alumni ini), kami di hulu langat bergilir-gilir dukung iman yang nangis saja. radang panasnya hingga mata dan mulutnya merah, tidak makan dan minum. maka terlepaslah satu episod pertemuan.
jadi, aku pasti ramai yang tidak pergi bukan kerana tidak mengenang budi, bukan kerana tidak ingat di mana bermula tetapi kerana ada hal yang melibatkan keluarga dan kerja, ada tragedi yang tidak disangka.
Abdul Rahman Sokran berkata…
Kesian Amaruszati kan...
Mantan MPR yang tidak menulis memang jangan diperlekeh. Merekalah antara khalayak yang terus membeli, terus membaca, dan terus menyimpan karya anda mantan MPR yang prolifik.
MOHD HANIFF berkata…
Salam pertemuan. Saya merasakan Perhimpunan Alumni MPR pertama yang lalu cukup menarik dari segi pengisiannya. Walaupun tidak ramai mantan MPR yang hadir jika hendak dikira bilangannya sejak pertama kali diperkenalkan, program pada hari berkenaan berjalan dengan lancar dan cukup untuk membuat saya yang masih baru dalam keluarga besar ini teruja. Semoga Perhimpunan Alumni MPR yang seterusnya terutama sambutan Jubli Perak MPR dapat mengumpulkan sebilangan besar ahli keluarga MPR.

Catatan Popular