Show, Don't Tell

Sewaktu di sekolah dahulu, guru Bahasa Arab saya selalu berkata indah sekali bahasa Al-Quran ini. Semua orang wajib mempelajarinya. Ketika itu saya di dalam tingkatan tiga. Saya cuba menelan kata-katanya. Pura-pura percaya bahawa ya, saya 'nampak' keindahannya. Padahal, saya tidak nampak langsung apa yang dimaksudkan dengan keindahan Bahasa Arab.

Di kawasan kejiranan saya juga ada penceramah yang memberi kuliah maghrib atau subuh mengikut gilirannya. Dia juga berkata bahawa Bahasa Arab ialah bahasa yang terbaik di dunia. Rugi benar bagi orang yang tidak mempelajari bahasa ini. Bagaimana mungkin dapat memahami Al-Quran sepenuhnya. Sayangnya, dia tidak pula mengajar Bahasa Arab di dalam kuliahnya di surau kami.

Guru Bahasa Melayu saya dulu ramai yang kata, kalau saya tak boleh berbahasa Melayu dengan baik, tak guna jadi orang Melayu. Kalau Bahasa Melayu yang mudah itu pun tidak boleh dikuasai, apa hendak jadi dengan pelajar Melayu. Dia lebih menumpu kepada topik-topik tatabahasa dan teknik-teknik menjawab soalan. Cuma ada seorang guru Bahasa Melayu sewaktu saya di tingkatan empat yang tidak membuat kenyataan-kenyataan di atas. Rasa cinta saya kepada Bahasa Melayu baru hendak berputik, tetapi dia segera menyambar peluang untuk melanjutkan pelajaran. Dia tinggalkan saya dengan sisa-sisa cinta kepada Bahasa Melayu dan dia menjadi pensyarah maktab.

Guru Bahasa Inggeris tak pernah berceramah tentang kepentingan Bahasa Inggeris. Dia tak pernah kata kepada kami, jika mahu pergi jauh dalam hidup kuasailah Bahasa Inggeris. Dia tidak pernah kata Bahasa Inggeris itu indah. Namun, dia rajin meminjamkan saya buku-bukunya, dia galakkan saya membaca buku-buku Bahasa Inggeris, dia bimbing saya dalam sayembara penulisan, dia tidak pernah merendahkan kehebatan bahasa lain untuk mengatakan Bahasa Inggeris ini bagus.

Akhirnya, saya yang buat keputusan pada ketika itu bahawa Bahasa Inggeris cukup menyeronokkan, saya sentiasa menunggu-menunggu kelas Bahasa Inggeris. Saya sangat bercita-cita untuk mendalami dalam bidang Bahasa Inggeris. Dalam usia yang begitu mentah, saya ingin jadi penterjemah supaya saya dapat kaut semua ilmu dalam Bahasa Inggeris untuk dinikmati dalam Bahasa Melayu. Kalau tak dapat jadi penterjemah, saya mahu jadi guru Bahasa Inggeris; supaya saya dapat memandaikan anak-anak didik saya dan mereka pula dapat menterjemah bahan-bahan ke dalam Bahasa Melayu. Begitu cita-cita idealistik remaja yang belum menduduki SPM pada waktu itu.

Saya juga belajar Bahasa Mandarin dan Bahasa Perancis ketika di universiti secara senyap-senyap dan secara 'audit' - itupun atas ihsan pensyarah berkenaan yang membenarkan saya mengikuti kelasnya. Saya hormati guru-guru begini. Dia tidak sibuk tentang kredit dan unit mata pelajaran. Dia layan sahaja minat saya yang mahu belajar bahasa, walaupun saya tidak boleh ambil untuk menambah unit. Pada saya unit tidak penting, saya mahukan asas bahasa ini. Selebihnya, saya cuba belajar sendiri.

Semua bahasa ada keindahan tersendiri. Apabila guru itu tidak 'menggurui' sebaliknya menunjukkan bahawa bahasa yang diajarnya itu indah, kesannya jangka panjang.

Sehingga kini, saya belajar sendiri untuk melihat kembali keindahan Bahasa Arab. Kenangan saya tentang mempelajari bahasa itu di sekolah hanyalah penuh dengan tempik guru, guru yang tidak boleh dikritik akan sikapnya yang 'syok sendiri' dengan bahasa ini, guru yang suka marah-marah kerana kami tidak berapa nak faham tentang i'rab. Semuanya berkata bahasa ini bagus, wajib belajar, dan sebagainya. Tidak seorang pun yang menunjukkan kepada saya bagaimanakah indahnya bahasa ini sehinggalah saya menemuinya sendiri dewasa ini.

Saya juga menemui keindahan Bahasa Melayu melalui pembacaan kepada karya-karya sastera. Saya bandingkan dengan bahasa-bahasa lain. Saya temui keindahan Bahasa Melayu dan sekaligus Bahasa Arab, Inggeris, Mandarin dan Perancis apabila saya menguasai Bahasa Melayu. Saya nampak keindahan Bahasa Melayu dengan menguasai budaya Melayu. Lalu, sekaligus, saya nampak keindahan bahasa lain melalui budayanya juga.

Bahasa itu sebahagian daripada budaya, sikap dan perlakuan si pemakainya. Kalaulah guru-guru bahasa saya yang terdahulu dapat menunjukkan apa saya peroleh kini...

Benar, menggambarkan itu lebih sukar. Aktiviti menggambarkan keindahan bahasa itu tidak akan disoal di dalam peperiksaan. Gagal menjawab soalan dengan baik dijadikan kayu ukur kepada kejayaan pelajar, guru dan juga sekolah. Lalu, tidak boleh disalahkan pelajar yang langsung tidak mencintai bahasanya kerana dia tidak pernah ditunjukkan di mana dan bagaimana keindahan berbahasa.

Nah, ini suatu cabaran. Adakah guru-guru bahasa sanggup menerimanya?

Ulasan

SITI ZAINON ISMAIL berkata…
Anakanda Nisah, ada satu lagi keindahan dalam bahasa Melayau - iaitu tulisannya, tulisan Jawi. Dengan pengaruh Arab, orang Melayu menambah huruf dengan lidah Melayu yang tidak ada dalam huruf Arab: antarnya Nya, Cha, Ga,...haaah aorang Arab tidak dapat menyebut kunyit, kuching, garam,...ini sekadar contoh. Untuk mengindah sebutan lidah Melayu hanya hurup/abjad degan ejaan jawilah jawabnya....sekarang bila di Melayu-Indonesiakan , maka hilanglah lidah Arab itu, lalu perkataan perkataan Melayu antaranya musyawarah (A) menjadi mesyuarat,khabar menjadi kabar,khenduri menjadi kendur. Namun yang berhubungan dengan adab dan berhubunhgan dengan Islam, wajarlah dikekalkan sengau Arab itu agat tidak menjadi koran (surat kabar) daripada pinjaman qur'an.....rahsia keindahan bahasa pinjaman Melayu Arab-Portugis, China, Benggala, masih perli di kaji.... kerusi, meja , sabun ahhahh dari bahasa pedagang yang singgah di pelabuhan negeri Melayu bukan?
ay_yusof berkata…
Salam Kak Nisah. Selepas membaca entri ini, terasa beratnya tugas saya untuk mendidik anak- anak untuk memahami Bahasa Inggeris. Seringkali saya cuba sedaya upaya untuk menjadikan kelas saya seseronok mungkin, tapi kekangan waktu membuat saya perlu menghabiskan silibus. Alangkah baiknya jika sekolah di Malaysia ini tidak terlalu berteraskan peperiksaan...
Unknown berkata…
Kak Nisah...entri Kak Nisah kali ini mengingatkan saya betapa seronoknya belajar bahasa Arab semasa di seklah menengah dulu. Pantang saja jumpa ayat Quran, mulalah kepala mengi'rab stiap baris ayat. saya bersyukur, ustazah-ustazah saya menunjukkan keindahan bahasa Arab. Cuma saya tak melangsungkan hajat mereka untuk menyambung di universiti. Salah satu keindahan bahasa Arab yang saya dapati ialah faham makna ayat al-Quran seiap kali membaca atau dibacakan walaupun tidak secara keseluruhannya. Terima kash pada cikgu-cikgu saya...

Catatan Popular