Bersama-sama Pelajar SMAP Kajang
Bergambar dengan adik-adik tingkatan lima SMAP Kajang setelah selesai sesi autograf dan ramah mesra. Inilah kumpulan terakhir yang mempelajari teks Annyss Sophilea.
Pada hari Jumaat yang lalu (14 Mei 2010) undangan sebagai penjual buku bertukar kepada sesi bersama-sama pengarang. Program ini anjuran Persatuan Penulis Selangor sempena Program Bersama-sama Sasterawan Negara Dato' Dr. Anwar Ridhwan.
Sesudah sesi bersama-sama SN, seramai 27 orang pengarang diberikan seorang satu kelas. Pengarang diminta menceritakan pengalaman menulis, proses kreatif atau apa-apa sahaja berkaitan dengan sastera kepada kelas yang telah diamanahkan. Setelah tamat sesi sekitar 45 minit, kami bertukar ke kelas sebelah, menceritakan hal yang sama.
Peribadi, saya suka akan program ini kerana :
- Satu daripada sebabnya ialah sekian ramai pengarang dapat dihimpunkan di dalam satu sekolah.
- Setiap kelas mendapat dua orang pengarang yang menceritakan pengalaman berbeza.
- Walaupun pengarang harus bercerita dua kali, tetapi setiap kali mendapat respons yang berbeza kerana kelas yang berbeza.
- Bilangan pelajar sekitar 20 orang satu kelas sangat kondusif untuk bercerita tentang pengalaman menulis, berbanding berceramah kepada satu sekolah ataupun khalayak lebih daripada 100 orang pelajar yang tidak menumpukan perhatian.
Reaksi ini biasa sekali saya terima kerana ramai pelajar yang mengenali karya / judul berbanding pengarang. Lebih kasihan lagi penulis KOMSAS edisi 2010 yang baharu ini. Tiada biodata disediakan di belakang buku. Pelajar semakin tidak mengenali pengarang dan sekaligus pihak yang bertanggungjawab menyediakan buku KOMSAS ini menafikan hak pengarang untuk dikenali.
Bukannya pengarang sangat mendambakan untuk disanjung atau dikagumi. Cukuplah wujud suatu kesedaran bahawa semua ini tiada maknanya, jika pengarang tidak mengangkat pena atau membiarkan jemarinya menari di atas papan kekunci. Buku dan karya itu ada nilai tersendiri. Dan, nilai itu bukanlah dengan cara timbang kati atau menilai hanya dengan dakwat dan kertas pada karya.
Adik-adik di SMAP Kajang yang sungguh teruja bertemu sekian ramai pengarang pastilah kelompok yang sangat bertuah. Bukan mudah menghimpunkan 27 orang pengarang di bawah satu bumbung.
Program ini wajar dicontohi dan diteruskan. Syabas kepada PPS, Kalam, PPD Hulu Langat, SMAP Kajang dan semua pihak yang mengambil bahagian dan terlibat secara langsung ataupun tidak langsung.
Pada hari itu, saya masih lagi menjual buku di SMAP Kajang seperti mana undangan pada peringkat awal. Selalunya menjual buku dan dapat bertemu pelajar dalam sesi begini amat membahagiakan.
Ulasan