Sasaran Menulis


Ada 2 perkara yang penting apabila memulakan penulisan, tidak kira sama ada penulisan kreatif atau bukan kreatif. Dua perkara itu ialah :
  • Niat; dan
  • Sasaran
Setiap perkara yang kita lakukan haruslah dimulakan dengan niat. Ada hadith yang telah menyebut tentang hal niat. Jika mahu baca lebih lanjut tentang hal niat dalam melakukan sebarang pekerjaan, boleh baca di sini.

Jika mahu teks yang asal, saya salin semula di bawah : (dipetik dari sumber yang sama)



Terjemahannya :

Daripada Amirul Mukminin Abu Hafsin 'Umar ibn al-Katthab r.a. beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:

Bahawa sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat, dan bahawa sesungguhnya bagi setiap orang apa yang dia niatkan. Barangsiapa yang hijrahnya menuju kepada Allah dan RasulNya, maka hijrahnya kepada Allah dan RasulNya. Barangsiapa yang hijrahnya kerana dunia yang dia mahu mencari habuannya, atau kerana seorang perempuan yang dia mahu kahwininya, maka hijrahnya ke arah perkara yang ditujuinya itu.


OK, saya tidak berniat pula untuk memanjangkan hal niat ini. Fokus entri ini ialah tentang sasaran menulis.

Kebanyakan kesilapan umum penulis baharu ialah tidak mengenal pasti kepada siapa tulisannya itu ditujukan. Ramai pula yang bercita-cita besar bahawa dia mahu tulisannya itu dibaca SEMUA orang di dalam dunia ini. Lebih ramai, lebih baik.

Murni sungguh cita-cita itu dan alangkah bahagianya jika hal itu benar-benar boleh berlaku. Hakikatnya, kita cuma boleh menulis untuk kelompok yang kita sasarkan. Katakan kita menulis sebuah artikel untuk siaran di akhbar. Panjang artikel itu sahaja sudah menentukan jenis artikel yang bakal ditulis. Artikel di akhbar secara relatifnya lebih pendek daripada artikel yang tersiar di majalah kerana had ruang masing-masing yang berbeza.

Contoh lain: jika mahu menghantar cerpen ke Mingguan Malaysia panjangnya sekitar 8 - 9 halaman ditaip langkau 2 baris, ke Berita Minggu atau Berita Harian pula, tidak boleh lebih 7 halaman (180 baris).

Menghantar karya ke media pula harus kena dengan konsep media itu sendiri. Editor Berita Harian ada beberapa kali menyebut bahawa karya yang disiarkan di dalam ruangan sasteranya haruslah sesuai untuk pembaca akhbar itu. Demikian juga yang pernah disebut Kuseman apabila dia memilih karya untuk Mingguan Malaysia yang pernah saya sentuh dalam entri terdahulu.

Itu baru faktor panjang dan pendek.

Kalau mahu menghantar karya ke majalah WANITA, misalnya, pastinya yang sesuai dengan kelompok pembaca majalah itu. Karya yang mengutuk dan menghina wanita tanpa alasan yang kukuh, pastinya sukar dipertimbangkan.

Majalah Tunas Cipta pula mahukan karya daripada karyawan baharu dan berumur bawah 35 tahun. Dewan Siswa mahukan cerpen untuk bacaan remaja.

Oleh itu, apabila mengarang karya, fikirkan juga hasilnya itu nanti mahu dibawa ke mana. Banyak keadaan berlaku apabila karya yang baik tidak diterbitkan. Bagi pengkarya baharu, ini suatu situasi yang amat mengecewakan. Boleh membunuh semangat, malah. Sayangnya, pengkarya ini tidak bermuhasabah dan mengkaji mengapa karyanya tidak disiarkan.

Bayangkan: sebuah cerpen yang digarap sebegitu baik. Memenuhi ciri-ciri cerpen yang baik. Tiada cacat celanya. Ada percubaan menghasilkan cerpen eksperimental. Panjangnya 12 halaman ditaip langkau dua baris. Dikirimkan ke ruangan sastera Berita Harian. Pasti sahaja cerpen ini tidak dapat diterbitkan kerana keterbatasan ruang. Bagi penulis yang pertama kali berbuat begini dan tidak memahami mengapa karyanya tidak terbit, ada banyak spekulasi yang mungkin timbul dengan fikiran yang bukan-bukan.

Padahal, cerpen yang baik itu mungkin sahaja tertolak kerana masalah panjang cerpen itu sahaja. Ada yang pernah bertanya kepada saya, mengapa editor itu tidak menghubunginya atau memaklumkan hal itu kepadanya? Ho ho, saya fikir editor itu kerjanya bukan sahaja mengedit karya, dik. Ada banyak lagi tugas yang disenaraikan di bawah tugas hakikinya. Menelefon, menghantar e-mel atau pun menghubungi penulis kerana kesilapan yang sebegini asas, tidak mungkin dilayan oleh editor. Lagipun, dalam kes akhbar Berita Harian/Minggu, sudah dinyatakan bahawa cerpen yang diminta haruslah tidak melebihi 180 baris. Boleh kira sendiri, berapa halaman yang boleh ditulis dengan 180 baris ini, sama ada ditaip langkau 2 baris ataupun tidak, jumlahnya tidak berganjak, bukan?

Harus diingat bahawa cerpen yang disiarkan di media perlukan ilustrasi. Jika tulisan penuh dengan teks dan tiada eye-rest akan cepat membosankan pembaca bahkan meletihkan mata. Sebab itu penyiaran cerpen perlukan bentuk seperti yang kita lihat. Dalam ruangan karya di media juga selalunya ada ruangan puisi. Jadi, harus memberi perhatian kepada 2 perkara ini.

**Nota : ilustrasi tidak perlu dibekalkan kepada editor. Mereka ada unik grafik yang akan menghasilkan ilustrasi bagi mengiringi cerpen yang berkenaan. (Saya pernah mendapat soalan sama ada ilustrasi / gambar pada cerpen mestikah dihantar bersama-sama).

Oleh itu, pastikan karya dihantar ke media yang betul. Ini dapat mengurangkan kebarangkalian karya itu tidak disiarkan. Jika suka untuk bereksperimen dalam cerpen atau puisi, barangkali wadah yang lebih sesuai tentulah Dewan Sastera atau Tunas Cipta.

Kepada yang berusia 30-an dan sudah ada karya tersiar di media, ini pesanan yang sering disebut editor Dewan Sastera: "Nisah, pesan pada kawan-kawan yang selalu hantar karya ke Tunas Cipta, jangan berebut-rebut dengan adik-adik. Kawan-kawan Nisah tu, kebanyakannya sudah lebih 30 tahun. Walaupun belum 35 tahun, bersaing jugalah dengan karyawan di Dewan Sastera. Nisah dan kawan-kawan bukannya muda lagi!"

Saya tersenyum sahaja dengan pesanannya itu. Seringkali juga saya sampaikan di dalam bengkel-bengkel penulisan. Barangkali, ini juga peluang untuk melihat karya tersiar. Gunakanlah wadah yang betul.

Faktor yang sama juga saya lihat terpakai di dalam penulisan skrip drama televisyen. Setiap saluran tv mengkhusus kepada khalayak masing-masing. Jika mahu cerita yang bersifat suka-ramai (baca : mass-market), tulislah skrip Cerekarama (TV3); untuk NTV7 - golongan profesional; Astro Ria - golongan muda, Melayu, urban; Astro Prima - Melayu, mature audience; Astro Oasis - agama dan seterusnya.

Untuk lebih memahami konsep majalah, bacalah beberapa edisi majalah tersebut. Jika mahu menghantar skrip drama tv, lihat dulu konsep drama yang pernah disiarkan. Dengan itu, kita akan dapat menulis kepada kumpulan yang disasarkan.

Perbandingan mudah dalam hal sasaran ini pula ialah dalam menulis karya ada 3 kelompok yang boleh disasarkan secara kasar :
  • dewasa
  • remaja
  • kanak-kanak
Apabila kita jelas tentang kepada siapa karya ini ditujukan, kita lebih mudah fokus kepada mesej, stail dan bahasa yang digunakan kepada khalayak itu. Pastinya, gaya bahasa untuk dewasa, remaja dan kanak-kanak tentunya berbeza.

Ertinya, setelah membetulkan niat menulis, fikirkan siapakah pembaca yang sepatutnya membaca karya ini. Jika membayangkan satu kelompok terasa besar, bayangkan seorang insan yang dikenali di dalam kelompok itu. Misalnya, menulis untuk kanak-kanak, bayangkanlah karya itu dibaca oleh anak sendiri, anak saudara, cucu, adik-adik atau sesiapa sahaja yang kita kenali dan berada di dalam lingkungan usia yang dimaksudkan. Insya-Allah, tulisan kita tidak tersasar.

Soalan : jika karya yang ditulis untuk remaja, tetapi dibaca juga oleh kanak-kanak ataupun dewasa?

Jawapan : Wah, bukankah itu suatu bonus. Ketika menulis Mencari Locus Standi, niat saya untuk membetulkan beberapa persepsi yang silap tentang undang-undang. Saya mahu betulkan pada peringkat yang lebih muda (remaja). Novel itu memang untuk remaja. Sebab itu dihantar ke Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2003 (HSKU). Tetapi, saya tetap menerima respons pembaca yang lebih matang menyatakan bahawa dia juga boleh menikmati novel itu. Alhamdulillah. Inilah bonusnya.

Ketika menulis Lentera Mustika, saya mensasarkan pembacanya wanita dewasa, kontemporari kerana pada awalnya novel itu ditulis untuk siaran secara bersiri di dalam majalah ANIQAH. Setelah terbit di PTS Litera, ramai juga pembaca remaja yang dapat menikmatinya. Alhamdulillah, sekali lagi ini bonus kepada pengarang.

Soalan tambahan : Mengapa hantar ke PTS Litera?

Jawapan : Saya mahukan pembaca baharu - mereka yang belum kenal nama Nisah Haron, mereka yang selama ini beranggapan membaca karya Nisah Haron itu sukar, tidak faham, berat dan lain-lain. Novel ini saya kirim ke PTS kerana itulah penerbit yang sesuai. Novel ini bukan untuk penerbit lain. Dengan itu, Lentera Mustika mendapat perhatian pembaca yang mengikutinya.

Demikianlah, sedikit perkongsian pengalaman untuk dimanfaatkan. Jika ada penambahan juga saya alu-alukan. Tinggalkan sahaja di ruangan komen.

Sementara itu, terus berkarya!

Ulasan

Putri Lily berkata…
Salam Puan Nisah,

Terima kasih kerana berkongsi pengalaman. Sedikit sebanyak penerangan tersebut memberi pengajaran dan menguatkan semangat saya. Alhamdulillah. :)

~Putri Lily~
Azree Ariffin berkata…
Kak Nisah, terima kasih atas entri yang amat berguna ini. :)
S.K berkata…
Salam,

kak Nisah, inilah yang cuba saya katakan juga kepada rakan-rakan... tapi, ada sebahagiannya menjawab yang mereka menulis kerana menulis dan tidak kisah jika tiada pembaca... masalahnya, kemudiannya, mereka sendiri kecoh mengapa sastera tidak mendapat tempat di khalayak... menyalahkan khalayak kerana tidak membaca dan tidak mahu membaca. Paradoks sang penulis.
Dan bila khalayak tidak membaca, maka, sukarlah mendapatkan dana penerbitan yang sebaiknya dan karya yang baik tidak akan bertambah, yang menyebabkan pembaca tidak membaca...
Lingkaran maut.

Terima kasih menulis artikel ini. Mohon izin disalin dan dipautkan kembali ke blog ini :)

Wassalam.
Saya tersenyum juga membaca pesanan editor Dewan Sastera itu

:-)
Amin-MASSA berkata…
Terima kasih Kak Nisah... Info yang sangat berguna terutama kepada penulis-penulis yang baru menceburi bidang sastera...
Unknown berkata…
Salam Puan Nisah,

Saya baru bertatih dalam penulisan dan tidak pernah menghantar karya di mana-mana. Ia hanya terperam di dalam komputer. Soalan saya:-

a) Bolehkah karya kita dihantar secara email kepada editor? Apakah formatnya, sama ada 'doc' bagi Microsoft Word atau perlukah kita tukarkan kepada bentuk 'pdf' bagi program Adobe?

Maaf kalau jawapannya ada tersiar dalam mana-mana sumber. Kelemahan saya tidak membuat rujukan lebih. Saya juga tidak pernah mengikuti mana-mana kursus penulisan kerana saya bertugas di luar negara. Insyallah akan saya intai peluang apabila pulang ke tanah air.

Oh ya, entri puan dan blog ini selalu saya gulati ketika masa lapang. Ia amat bermakna pada saya. Setinggi perhargaan dan terima kasih dari saya.
.: S.A.Y.A :. berkata…
assalamualaikum...
kak nisah...
entri yang sangat bermakna...
membuka mata dan membangkitkan semangat untuk terus menulis...
terima kasih sangat kak!
=)
Nisah Haji Haron berkata…
Salam semua.

Maaf lambat respons pada komen. Saya tulis berdasarkan pengalaman, pembacaan dan pengamatan. Semoga bermanfaat.

Syed Fadil,
Memang boleh. Guna microsoft words tak perlu pdf.

Entri ini hanya mampu memberikan sorakan semangat sahaja. Yang berlari tetaplah anda juga. Saya tidak boleh berlari untuk orang lain. Jadi, andalah yang harus menulis untuk menggelarkan diri sebagai penulis!
farid malik berkata…
salam.
Puan, saya dapati bahawa puan adalah seorang novelis yang berbakat.
soalan saya, apakah menjadi seorang penulis ini salah satu cita-cita puan sebelum bergelar peguam atau kebetulan?
Dan dalam peringkat umur 40-an, adakah mustahil untuk sesorang itu menjadi seorang penulis?
Adakah bakat memainkan peranan yang besar atau latihan dan kepekaan lebih diutamakan?

sekian. terima kasih.

Catatan Popular