Goodreads (Malaysia)

Ada beberapa laman yang menyediakan kemudahan untuk mengkatalog buku yang sudah dibaca. Saya pernah diperkenalkan dengan Library Thing, tetapi ada sesuatu yang menyebabkan saya tidak berapa menyenanginya. Kemudian beralih pula ke Shelfari, pada mulanya menarik tetapi selepas itu datang pula Goodreads.

Kini saya lebih aktif di Goodreads kerana buku-buku berbahasa Melayu turut mudah dicari dan ramai pula yang rajin memuat naik imej buku dan menulis ulasan mengenai buku yang sudah dibaca atau sedang dibaca. Ada progress bar, untuk menunjukkan sejauh mana kita sudah membacanya.

Mungkin ada yang akan berkata, mengapalah harus 'menunjuk-nunjuk' apa yang dibaca. Jawapan saya, koleksi yang dipaparkan bukanlah untuk menunjuk ataupun apa-apa yang seumpamanya. Mereka yang menjadi ahli Goodreads tegar, biasanya seronok apabila ada sebarang kemaskini, makluman tentang buku baharu atau buku yang baru dijumpai atau apa-apa sahaja tentang buku.

Pendek kata, mereka di Goodreads ini kalau boleh mereka bersahur dan berbuka pun dengan buku juga.

Terkini, Goodreads Malaysia menawarkan cabaran membaca 50 buku setahun. Kumpulan ini sedang berlumba-lumba dan bersaing antara satu sama lain untuk membaca sebanyak mungkin. Ada yang sudah melangkau lebih 50 judul. Tiada had maksima dan tiada kategori buku yang mesti dibaca. Asalkan semangat membaca terus hidup. Di sinilah tempat untuk mencurah rasa sebagai pembaca baharu, pembaca tegar, atau apa-apa jenis pembaca.

Banyak perbincangan seputar dunia buku seperti buku yang pernah dibaca, buku yang dicari, kedai buku yang baik, kedai buku online, perpustakaan, diskusi khusus tentang satu-satu subjek. Setiap buku yang telah disenaraikan oleh ahli Goodreads, boleh dikomen oleh ahli yang lain. Setuju atau tidak setuju dengan komen itu, tidak menjadi hal. Malah, itulah yang lebih menghidupkan suasana.

Suatu yang agak ketara berdasarkan pemerhatian saya: ahli Goodreads tidak berselindung dalam memberi bintang kepada buku yang sudah dibaca. Ada lima bintang (maksimum) bagi setiap buku yang sudah ditamatkan. Mereka ini juga kumpulan yang amat tidak teragak-agak untuk memberi sekadar 2 bintang atau tiada bintang jika buku itu anggap tidak menarik, tidak mencapai tahap yang diharapkan atau dengan kata yang lebih mudah tak best! Saya suka dengan cara ahli Goodreads. Mereka bukan memberi lima bintang hanya kerana penulis buku itu dikenali. Yang dikomen ialah bukunya, bukan orangnya.

Kejujuran dalam mengkritik ini penting walaupun ada kesan sampingan. Namun, ahli Goodreads Malaysia yang saya kenali ialah pembaca yang matang. Walaupun ada ahli yang memberikan komen negatif terhadap apa-apa buku, adakalanya mereka tetap mendapatkan buku tersebut untuk memberi komen mereka sendiri. Pendapat setiap seorang berbeza. Jadi, ini tambah merancakkan suasana.

Saya syorkan Goodreads kepada mereka yang baru mengenalinya. Jika anda cintakan buku, anda menyukainya. Goodreads juga boleh dipautkan kepada Facebook secara timbal balik. Kemas kini atau update tentang pembacaaan anda boleh diumumkan di Facebook juga (pilihan ini boleh ditiadakan, jika mahu).

Rak buku ada pelbagai. Ahli Goodreads boleh buat rak buku sendiri (secara maya, tentunya). Rak buku sudah baca, sedang dibaca, mahu dibaca (wish list) dan bukalah apa-apa pun kategori rak lain yang sesuai untuk mengkelompokkan buku kita sendiri.

Di sebelah kanan blog saya ini, ada paparan buku yang sudah saya baca. Di bawah entri ini pula saya paparkan senarai buku yang sedang diulit.






Nisah sedang membaca :


Di. Ar. Ti.Terang BulanQuran Saintifik: Meneroka Kecemerlangan Quran Daripada Teropong SainsTip-tip Cemerlang daripada QuranBadrul BambiSuatu Subuh Yang Bening
More of Nisah's books »



Nisah Haron's currently-reading book recommendations, reviews, favorite quotes, book clubs, book trivia, book lists

Silakan ke Goodreads, mungkin ada ramai kawan yang sejiwa dengan anda di sana. Jika anda pengarang, di sini juga tempat untuk menyenaraikan karya anda untuk dimanfaatkan pembaca lain. Saya turut menyenaraikan diri sebagai Goodreads Author.

Ulasan

Wah,wah, wah....terima kasih. Sudah lama memikirkannya tetapi...

Saya sudah mendaftar! :-)
Naj AB berkata…
Salam Ramadhan Kak Nisah :)

Terima kasih atas ulasan panjang mengenai Goodreads Malaysia.

PS: Sangat suka dengan kulit baru blog Kak Nisah, santai dan kemas.
Bunnybaby berkata…
Salam.

Pendek kata, mereka di Goodreads ini kalau boleh mereka bersahur dan berbuka pun dengan buku juga.

Betul! Betul! Betul!
Nisah Haji Haron berkata…
Zati,
Nanti boleh 'add' saya dan boleh lihat sama-sama apa yang kita baca.

Najibah,
Sudah agak lama saya tukar kulit baharu ini. Terima kasih.

Bunnybaby,
Betul,betul,betul!
Naj AB berkata…
Alamak, kulit 'baharu', bukan 'baru' :P

Saya sudah jenguk beberapa kali sejak blog Kak Nisah bertukar kulit, cuma tak sempat mengomentar :)
hilman berkata…
saya di Goodread tak pernah pulak berfikir nak bersahur dan berbuka dengan buku. tiap tiap hari dgn buah tamar. hehehhe
Nisah Haji Haron berkata…
Hilman, bak kata orang kampung saya, "read between the lines." :-)

Catatan Popular