Big Bad Wolf - Buku, buku & buku

Setelah berjanji dengan anak-anak, jika dapat 'A' untuk peperiksaan akhir, hadiahnya ialah 1'A' 1 Buku. Saya tidaklah kiasu supaya mereka mengejar-ngejar untuk mendapat A. Saya sudah pesan kepada mereka bahawa sebarang lonjakan markah dari C ke B atau dari B ke A juga akan dinilai untuk hadiah buku daripada saya. Pada saya, peperiksaan bukan sekadar dapat membariskan A sebanyak-banyaknya.

Hendak dijadikan cerita, mereka pun berjaya mengumpulkan sekian banyak markah A dan ada pula lonjakan markah, bagi subjek yang tidak mendapat A. Seperti sebuah plot cerita yang klise, mereka pun menuntutlah hadiah buku itu.

Mujur ada jualan murah Big Bad Wolf di South City Plaza, Seri Kembangan. Saya bawa mereka pada petang hari Jumaat dan mereka sungguh rambang mata sehingga sukar memilih. Anak yang sulung sungguh terkasima apabila melihat harganya antara RM5 - RM8 untuk buku kanak-kanak dalam Bahasa Inggeris yang masih baharu. (Ini bukan seperti jualan lambak di gudang DAWAMA.) Ini jualan BookXcess yang memang mendapat buku-buku lebihan cetakan, lebihan stok dan sebagainya.

Oleh sebab bukunya teramat murah, tiga orang anak yang saya bawa mendapat purata 6 buah buku seorang. Gembira tidak terkata. Ibunya lebih gembira kerana dapat 'tumpang semangkuk' membeli buku-buku koleksi sendiri.

Ini hasil pada hari pertama :

Gambar : Pembelian hari pertama. Linda Goodman's Sun Sign sudah ada tetapi sudah hampir hancur sebab selalu dibaca. Jadi, beli satu lagi sebagai simpanan. RM8 sahaja. The Bible - A Biography melengkapkan koleksi Karen Armstrong yang turut menulis A History of God dan The Case for God. Jumlah yang dibelanjakan RM98 (tidak termasuk buku anak-anak)

Atas sebab-sebab tertentu, saya dan suami pula membuat pusingan kedua pada hari yang lain. Koleksi pada hari Isnin tidak berapa menarik lagi kerana kemungkinan ramai pengunjung yang telah mengaut buku-buku pada hujung minggu.

Namun, hasil yang saya peroleh masih lagi tidak mengecewakan. Paling menarik ialah buku biografi penulis kanak-kanak kegemaran saya : Beatrix Potter - yang menulis Tales of Peter Rabbit (tiada kena mengena dengan JK Rowling dan Harry Potternya.) Sudah lama saya idam-idam buku ini. Di Amazon.com harganya tidak usah dicerita. Di sini saya beli dengan harga RM10!

Kalau Enid Blyton menulis karya untuk remaja, Beatrix Potter lebih menumpu kepada kanak-kanak tahap 2. Riwayat hidupnya juga telah difilemkan melalui Miss Potter lakonan Renee Zelwegger sebagai Beatrix Potter.


Ini pula hasil hari kedua (akhir) :


Gambar : Pembelian hari kedua. Banyak buku biografi yang menarik.


Gambar : Lagi imej pembelian hari kedua - koleksi biografi tokoh terkenal yang ditulis semula dalam bentuk wawancara (a fictional interview). Cara tanya-jawab yang dibuat memudahkan kita mengikuti kisah tokoh-tokoh ini. Harga setiap buku RM5. Jumlah yang dibelanjakan untuk hari kedua RM67 sahaja.

Esok ialah hari terakhir jualan Big Bad Wolf.


Ulasan

srirahayumohdyusop berkata…
Aduhai Kak Nisah,

Ini sudah dikira melampau! Er, wujudkah istilah melampau dalam kosa kata peminat buku?
Nisah Haji Haron berkata…
Ayu,
Bagi peminat buku, segalanya mungkin. Er, apa yang dimaksudkan dengan melampau? Harga yang terlampau murah atau si pembeli buku yang melampaui batas ketika membeli buku? :-)
Bunnybaby berkata…
Oh my goodness! Beatrix Potter biography! At such low price? AAARGHHH!!!
Hafizi Tajuddin berkata…
salam.kredit untuk kak dan anak-anak.nak tahu, seri kembangan di mana?
Nisah Haji Haron berkata…
Bunnybaby,
Sabar, sabar. Kalau nak pinjam dan baca, boleh saja :-)

Mohd Hafizi,
Jualannya sudah tamat pada 17 November. Di South City Plaza, Seri Kembangan. Masuk ikut tol UPM, ikut anak panah ke Seri Kembangan, kemudian hala ke Mines Resort, tapi jangan masuk terus, nanti ada simpang ke kiri. Terus nampak. Cari di google maps pun boleh jumpa juga.
sinaganaga berkata…
Big Bad Wolf. Menarikkan nama tu! Kalau di DBP atau Dawama namanya mungkin begini: JUALAN GUDANG BUKU-BUKU DBP. Mmmm, dah hampir 20 tahun dok dengar tagline yang serupa.

Cubalah sekali-sekali: JUALAN BUKU-BUKU SEBELUM KAMI KASI BAKARRRR! Atau SI TARING KECIL atau JUALAN BUKU HARUN DEMAM!

Cube la. :)

p/s: Tak motong hari ni, Nisah?
srirahayumohdyusop berkata…
Kak Nisah,

Melampau dari segi keseronokkan. Tahun ni Nek Rose tak kasi bonus, kena budget sikit. Anak nak masuk sekolah ni.
Amiene Rev berkata…
minggu depan ada pesta buku di Danga City Mall.
Kakti_Alifaisya berkata…
Dulu memang suka beli buku... Sekarang ini terpaksa hadkan kerana kengkangan masa untuk membaca dan bajet. Sibuk dengan kerjaya dan anak - anak.

Tapi kalau pergi ke pesta buku seperti di atas harus dirembat 5-6 buku juga walau bila hendak dibaca tak tahu lagi. :)

Bertuah ada pasangan yang meminati buku juga.

Catatan Popular