Anak-anak & Goodreads

Ada banyak pro dan kontra tentang cuti sekolah. Tanyakan sahaja kepada mana-mana ibu bapa. Seronoknya mungkin tak perlu berkejar untuk menghantar mereka ke sekolah dan menjemput mereka pulang setiap hari. Lebih jenuh lagi, jika anak ramai dan mereka pulang bukan pada waktu yang sama.

Apabila cuti sekolah, tiada lagi rutin seperti itu, tetapi hal lain pula yang akan timbul. Lebih ramai anak di rumah bererti, lebih banyak kerenah yang perlu ditangani. Namun, rutin saya sebagai penulis tidak boleh ditinggalkan. Cara paling mudah, ialah membenarkan mereka menonton televisyen. Mungkin ada yang tidak bersetuju dengan cara saya kerana terlalu banyak menonton t.v. banyak mudarat daripada manfaat.

Namun, saya percaya dengan 'penjaga tv' di rumah saya. 'Penjaga tv' saya hanya membenarkan saluran Astro 612 dan 613. Sesekali 552 (TV IQ) atau 615, jika bernasib baik. Saya sudah lama tamatkan langganan 411 - 413. Saya tahu saya tidak akan berpeluang menontonnya selagi 'penjaga tv' itu ada di depan tv.

Siapakah penjaga tv itu? Dua anak saya yang paling kecil.

Dengan itu, anak-anak yang lebih besar ternafi daripada menonton tv dan kalau ada peluang pun, mereka hanya menggemari TV IQ dan sesekali Saluran 615. Kami juga mengajak mereka menonton saluran dokumentari seperti 551 - 555. Alhamdulillah, anak-anak saya tidak menggemari drama Melayu dan kami juga tidak menggalakkan mereka menonton hiburan yang melalut-lalut. Mereka pun takut cerita hantu, jadi lebih mudah, tak perlu buka.

Selebihnya, mereka membaca buku dan mengulang baca buku-buku yang menjadi kegemaran. Lepas itu, mereka bosan sebab mereka membaca terlalu pantas. Perpustakaan terdekat juga tidak menawarkan koleksi buku yang bagus untuk mereka meratahnya. Saya pula kekurangan bajet untuk terus membeli pada waktu-waktu begini.

Hampir habis akal untuk mengelakkan mereka daripada terus menuntut perhatian saya.

Suatu hari, Along terpandang akaun Goodreads saya. Dia bertanya lanjut tentang fungsinya. Saya katakan, Goodreads seperti buku NILAM yang mereka harus isi di sekolah apabila selesai membaca. Cuma ini versi online. Teruja melihat koleksi buku dan menariknya laman ini, dia meminta dibuatkan satu akaun Goodreads untuknya.

Saya akur kerana lebih baik dia ada akaun Goodreads daripada akaun Facebook. Sekurang-kurangnya, GR ialah komuniti pembaca buku, berbanding FB yang lebih banyak mengarut dan penuh dengan sampah-sarap.

Setelah buat untuk Along, Angah juga menuntut, Alang pun sama. Sudahnya, setiap seorang ada akaun masing-masing. Dalam masa dua hari, Along sudah menambah hampir 20 buah buku dan dia semakin seronok menambah bilangan bukunya. Saya faham, tentulah kaedah ini lebih dekat dengan jiwa anak-anak yang IT savvy berbanding mengisi buku NILAM, satu per satu yang lebih membosankan. Dia juga tidak gemar mengisi buku itu kerana terlalu banyak maklumat yang mesti diisi selain ulasan buku. Di GR, tak perlu isi maklumat tentang buku, semuanya sudah ada, pengguna cuma perlu sahkan buku dan kemudian boleh fokus kepada ulasannya sahaja.

Dahulu, saya menyuruhnya mengisi buku NILAM kerana ramai yang mengisi itu belum tentu membaca buku pun. Di sekolah-sekolah yang saya beri ceramah, apabila saya kata, "Kamu mengisi buku NILAM tu, betul-betulkah habis baca, atau salin kulit belakang buku?" Ramai yang tersipu-sipu, tertawa kecil dan mencuit-cuit rakan. Orang yang tidak buat begitu, tidak akan bertingkah laku demikian.

Kini, saya fikir biarlah dia mengisi di GR jika dia tidak mahu mengisi buku NILAM. Kuantiti tidak menentukan kualiti. Biarlah dia seronok mengisi masa lapangnya di rumah dengan menyenaraikan koleksi bukunya.

Zaman saya remaja, saya menyimpan senarai buku yang telah dibaca di dalam sebuah buku khusus. Saya tuliskan judul, nama pengarang dan penerbit. Dengan itu, saya mudah mengingati judul buku dan nama pengarangnya sehingga kini.

Zaman berubah. Teknologi lebih canggih. Saya menjadi pembaca yang lebih perlahan kerana kekangan tugas mengarang. Saya percaya pada bila-bila masa, mereka akan dapat mengalahkan koleksi buku yang pernah mereka baca.

Alhamdulillah, anak-anak suka membaca Bahasa Melayu dan Inggeris. Mengaji, ada yang sudah khatam, ada yang hampir khatam, ada yang tidak jauh lagi hendak khatam. Mereka juga tidak ramai kawan seperti saya remaja dahulu. Namun, mereka semua bahagia dengan buku sebagai sahabat terbaik.

Nikmat Allah yang mana lagi harus saya dustakan?



Ulasan

Tanpa Nama berkata…
Ya, hidup Goodreads!
Nurul berkata…
Apa akaun along dan angah tu Kak Nisah? Mari saya tambah mereka sebagai kenalan Goodreads! - Nurul GR-MY
encik kerani berkata…
Subhanallah kata-kata yang begitu indah sekali puan.
Anak-anak saya masih kecil lagi untuk membaca. Namun saya bertekad apabila ketiga-tiga mereka sudah pandai membaca, saya akan buang TV jahanam tu!!
(Ok mungkin saya overeacting) Tapi sudah tentu saya akan limitkan kepada saluran 106 dan 552 sahaja :)
Najmuddin Yusoff berkata…
Jemput Along, Angah dan Alang menyertai cabaran 50 buku di GR-MY.

(ambil peranan Aidura jap...)

:)
En iLHAM berkata…
salam puan nisah,
saya fikir ibu bapa patut menggalakkan anak2 mereka membuka akaun goodreads daripada facebook. pelbagai faedah dapat dicapai melalui goodreads dan pada saya tidak ada langsung unsur negatif di dalam goodreads berbanding facebook yang banyak membawa kepada keburukan daripada kebaikan

jika berkenalan dengan rakan baru di goodreads pun daripada kalangan orang yang suka membaca. jadi ibu bapa tidak perlu risau dengan siapa anak2 mereka berkawan di laman maya

bagi saya program nilam juga boleh digantikan dengan goodreads di sekolah-sekolah. hanya wujudkan satu group baru untuk pelajar-pelajar sekolah satu malaysia. guru-guru boleh memantau pembacaan pelajar mereka dari laman tersebut. tidak perlu menyemak satu persatu rekod nilam pelajar
Nisah Haji Haron berkata…
Encik Khairul,
Ya. Ini bukan setakat hidup Goodreads, tetapi meneruskan legasi Goodreads!

Nurul,
Seperti yang telah saya respons dalam GR.

Encik Kerani,
Saya tak kata tv itu 100% tiada manfaat, yang penting ialah bagaimana kita mengajar mereka menguruskan masa. Saya halang mereka secara sedikit demi sedikit. Buat permulaan: no t.v. before 8 am semasa cuti sekolah. Lepas subuh sehingga 8 pagi ialah waktu membaca.

Najmuddin,
Along sudah capai target 50 buku, tak sampai sebulan! Angah dan Alang menggesa saya ke perpustakaan hari ini kerana stok buku sudah habis untuk dibaca!

Encik Ilham,
Sanggupkah guru-guru sekolah menerima hal ini dengan terbuka. Bukan semuanya mesra-teknologi-maklumat. Nanti, bertambah ramai yang mengeluh beban kerja yang bertambah. Tak mengapa, saya buat sendiri-sendiri dan galakan orang lain ajak anak-anak buat akaun Goodreads sendiri!

Catatan Popular