Membeli buku, tukar buku, buku percuma

Perkara yang saya paling segan hendak buat kepada pemilik buku ialah meminta buku percuma. Pada saya juga, perbuatan meminta buku ialah tanda si peminta tidak menghormati kerja-kerja intelektual yang telah dilakukan oleh penulis.

Memang ada masanya, penulis itu tahu bila dia harus memberi bukunya sebagai hadiah atau bertukar-tukar buku dengan penulis yang lain. Itu pilihan penulis tadi.

Apabila seseorang yang mampu membeli buku (hatta yang tak mampu sekalipun) meminta buku kepada si penulis, ini meletakkan penulis tadi dalam keadaan serba salah. Apabila tidak diberi dan mengharapkan orang yang meminta itu membeli, penulis akan dikatakan sangat berkira dan 'kedekut' sebab tak mahu beri buku secara percuma. Kalau diberi, ini bermakna penulis tadi menggalakkan hal ini terus berlaku.

Inilah mentaliti subsidi yang sudah berakar tunjang dalam masyarakat kita pada hari ini. Kalau boleh semua benda mahu percuma. Hal-hal makan percuma, kitalah jagoannya. Apabila ditawarkan supaya membeli buku, bermacam-macamlah alasannya, seperti yang ditulis oleh seorang sahabat Goodreads, Khairul H. di dalam blognya The Malaysian Reader.



Sama jugalah kesnya dengan orang yang sibuk-sibuk harga minyak naik. Padahal, orang yang bising itu ialah orang yang mampu pakai kereta besar dan memang kuat pakai minyak. Ada hati nak merungut harga minyak naik. Itu belum lagi suruh beli buku. Masih mahu menyalahkan minyak juga.

Buku harus dibeli. Katakan kepada penulis itu, "Saya mahu beli buku tuan/puan." Insist. Bertegaslah yang anda mahu membelinya. Kalau penulis itu pula yang beriya-iya mahu menghadiahkan, tentulah kita tidak manis menolaknya. Namun, sebagai penulis, kalau orang itu mahu membeli, izinkanlah dia membeli, mungkin boleh beri diskaun sedikit kerana dia membeli dari tangan penulisnya sendiri.


Pembeli buku yang berprinsip, lebih rela melaburkan sedikit daripada wangnya untuk membeli buku dan lebih bangga membeli daripada mendapat buku-buku percuma.

Oleh itu, saya rakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada teman penulis yang bertukar-tukar buku dengan saya baru-baru ini. Sebagai imbalannya, saya berikan buku saya yang terbaharu, Rindu Seorang Rafik. Pemberian itu menjadi tambah berharga apabila diiringi dengan tandatangan pengarangnya sendiri.

Bertukar-tukar buku dengan penyair Dr. Ahmad Razali,
tokoh akademik Dr. Kamariah Kamaruddin dan
sasterawan S.M. Zakir di dalam satu pertemuan
berasingan, baru-baru ini.







Ulasan

Tanpa Nama berkata…
Apabila seseorang yang mampu membeli buku (hatta yang tak mampu sekalipun) meminta buku kepada si penulis, ini meletakkan penulis tadi dalam keadaan serba salah.

Siapa yg tak malu mintak buku percuma ni? Rakan karib? Saudara mara? Kalau mereka mungkin dimaafkan tapi ada ke peminat yg minta buku percuma? Memanglah tak malu.
Mawar berkata…
Nis
ya, selalu juga tukar buku. dan tak jarang pula minta dihadiahkan. namun berfikir-fikir, bila sudah dihadiahkan, ia dibacakah?
Nisah Haji Haron berkata…
Encik Khairul,
Pernah juga seorang 'sarjana' minta buku percuma. Yang anehnya, saudara mara pula yang segan hendak minta buku.

Mawar,
Saya pernah terfikir juga. Tapi, segera berlapang dada. Entah-entah buku itu mungkin tiada manfaat untuk si penerima tetapi, dimanfaatkan oleh orang disekelilingnya.
rai berkata…
Been there,done that.

Pernah ada anak murid minta buku percuma dengan alasan ''Kak Rai dah kaya,bagilah!'' Rasa macam nak lempang pun ada. Tapi saya jawab balik ''Orang macam awak ni yang bagi saya lambat kaya...'' ;p
rai berkata…
Been there,done that.

Ada anak murid suka minta buku saya free,dengan alasan saya dah kaya.Rasa nak lempang pun ada.Hahaha!
Memang betul, adik beradik atau saudara mara tak minta pun buku percuma. Selalu yang minta ialah kawan terdekat, yang nampak kita bersusah payah tapi fikir kita serta merta kaya dengan terbitnya buku tersebut

Catatan Popular