Kembara Sastera Italiana - Menuju Bologna

Kapal terbang yang akan membawa penumpang ke Bologna lebih kecil daripada yang datang ke Amsterdam. Oleh kerana penerbangan ini ialah antara bandar di Eropah, ia dinamakan KLM Cityhopper. Berbanding Boeing 777-300 dari Kuala Lumpur ke Amsterdam. Dari bilik menunggu B8, penumpang diangkut ke dengan bas pengantara ke pesawat. Ketika saya turun dari bas dan hendak ke pesawat, baru sedar yang pemandunya seorang wanita!

Penerbangan terlajak daripada jadual asal pukul 0955 kerana trafik sesak di Schiphol. Pada pukul 10.10 pagi kapal terbang masih belum bergerak dari landasan. Sewaktu keluar dari pintu berlepas untuk masuk ke dalam bas, tiba-tiba dipukul desah angin musim dingin. Sejuknya mengembalikan kenangan di Edinburgh. Tidak sia-sia membawa baju-baju tebal.

Alhamdulillah, dapat duduk di sebelah tingkap untuk penerbangan ke Bologna ini. Kerusi 7A. Schiphol sangat kelabu diselubungi kabus. Musim dingin masih berbaki walaupun sudah tidak ada salji.

Setelah kapal terbang melepasi kabus dan awan, langit biru pun kelihatan. Seolah-olah kabus dan awan kelabu itu hanya tabir yang menghijabkan pandangan. Penerbangan dari Amsterdam ke Bologna tidak merentasi sebarang lautan. Yang ada cuba daratan dan kawasan hijau bercampur perang. Sekitar 30 - 40 minit sebelum mendarat, kapal terbang ini melalui kawasan pergunungan. Saya fikir barangkali kawasan Swiss Apls. Banjaran gunung yang punya puncak yang bercerancangan itu dipenuhi salji di kemuncaknya. Putih ibarat kek coklat yang naik tidak rata dan kemudian ditaburkan gula aising yang putih.

Sungguh takjub dengan pemandangan itu. Kamera saya juga gagal merakamkan sebagaimana yang saya lihat. Buat pertama kali juga saya melihat salji atas gunung dengan mata kepala sendiri. Selepas banjaran itu, keadaan kembali berwarna coklat.

Hamparan gunung. Seriously, my camera didn't do justice to this place!
Maha Suci Allah!
Dalam perjalanan itu, saya membayangkan kapal terbang ini akan melintasi Tasik Como yang dikatakan sangat cantik itu. Tasik ini berbentuk huruf "Y" terbalik dan menjadi lokasi filem antaranya Casino Royale,  dan tempat ini adalah latar pengambaran Naboo dalam filem Star Wars - ketika Anakin Skywalker berkahwin dengan Padme Amidala. Namun, hampa juga. Kapal terbang ini tidak lalu di situ.

Angin dingin menyambut kehadiran saya yang buat pertama kali memijak bumi Itali.

Papan tandanya tertulis : "Benvenuti in Italia" - Selamat datang ke Itali.



Ulasan

U-HAH berkata…
Wah, bestnya makan angin di atas angin... :)

- Ust Mizul

Catatan Popular