Kembara Sastera Italiana - Singgahan di Schiphol

Memilih pesawat KLM untuk ke mana-mana sahaja di Eropah, mesti turun dahulu di Lapangan Terbang Antarabangsa Schiphol. Ini kali kedua saya ke lapangan terbang ini, walaupun secara rasminya, saya belum pernah ke negeri Belanda kerana belum pernah keluar dari airport ini.

Saya sangat suka untuk transit di sini kerana di sini bukan semata-mata ada kedai cenderamata, kafe, kedai buku dan kedai-kedai biasa sahaja. Oleh sebab ini kali kedua saya ke sini, saya terus mencari Rijks Museum dan Aiport Library yang terletak bersebelahan. Dalam perjalanan, saya capai beberapa keping poskad untuk saya kirim pada anak-anak. Saya buat begini kerana ada kemungkinan saya pulang dahulu dan poskad itu sampai kemudian, tetapi jika saya pos awal ada kemungkinan poskad itu boleh sampai sehari dua lebih awal daripada kepulangan saya kelak.

Oleh sebab masih awal, pengunjung belum ramai di kedai ini, saya minta
petugas di kedai cenderamata Rijks Museum ini merakam foto saya.
Petugas di Rijks Museum sedang menyusun-nyusun barangnya kerana muzium mini ini baru dibuka. Ada pameran Dutch Winter di aras atas. Ya, muzium mini ini ada dua tingkat. Di atas ada pameran lukisan dan di bahagian bawah dijual cenderamata berasaskan kepada hasil lukisan pelukis Belanda yang terkenal seperti Van Gogh, Vermeer, Rembrandt dan lain-lain. Tidak terhad kepada poskad, ada bermacam cenderamata yang terkait dengan lukisan Van Gogh, misalnya. Ada skaf berlukis "Sunflower", lukisannya yang terkenal itu selain buku nota, magnet peti ais, penanda buku, poster dan terlalu banyak untuk saya senaraikan.

Di sebelahnya, perpustakaan mini yang diadakan khusus untuk pengunjung yang transit di sini. Saya sudah menulis tentang perpustakaan dan muzium ini di dalam buku 'Travelog Kembara Sastera UK/Dublin'. Ada bab khusus tentang pengalaman beberapa jam di Schiphol. Secara ringkasnya, di sini ada meja tulis sekali gus meja bacaan, beberapa unit e-reader untuk kegunaan membaca bahan yang terkandung di dalamnya. Bukan untuk akses internet. Ada ruang wi-fi percuma selama 1 jam. Kalau mahu lebih harus bayar. Buku-buku yang disusun di raknya tidak terhad kepada buku tentang Belanda. Ada banyak bacaan di dalam Bahasa Portugis, Sepanyol, Itali, Rusia dan lain-lain termasuk di dalam Bahasa Inggeris dan Belanda. Setakat yang saya lihat tidak berjumpa dalam Bahasa Melayu atau Indonesia.

Sesudah itu, saya banyak menghabiskan masa sekitar 3 jam di kedai-kedai buku. Tidak beli sebarang cenderamata kerana saya tidak seronok membeli sesuatu tanda pada tempat yang saya tidak pernah pergi. Misalnya, membeli sesuatu bertulis 'I Love Holland' pastinya sesuatu yang tidak jujur kerana saya tidak pernah jatuh cinta pada tempat ini kerana belum pernah keluar dari Schiphol!

Ruang membtau menbaca atau menulis di Airport Library
Penerbangan ke Bologna dijadualkan berlepas pada pukul 9.55 pagi di pintu B8. Walaupun ketika itu belum lagi pukul 9.00 pagi, saya terus sahaja masuk kerana urusan imigresen dan pemeriksaan keselamatan akan memakan masa jika ramai orang. Setelah menyudahkan secawan kopi panas dan seketul muffin coklat, saya terus beratur di laluan imigresen.

Dua orang wanita Inggeris (dari loghatnya barangkali dari Amerika) menegur apakah saya dari Malaysia kerana terpandang pasport yang saya kembarkan dengan pas masuk. Apabila saya mengeyakan dia bertanya dengan ramah, "Mahu ke mana, puan?"

Membuat catatan sementara masih segar di dalam ingatan.
"Bologna."
"Ada apa di sana?"
"Buku saya akan dilancarkan di Pesta Buku Bologna."

Mata mereka bertambah cemerlang, "Wah, buku apakah itu?"
"Buku kanak-kanak."
"Puan penulis?"
"Ya, saya penulis dan saya juga menulis buku kanak-kanak."

Mereka tambah teruja dan mahu meneruskan lagi perbualan kecil ini, tetapi giliran saya sudah sampai di imigresen.

Pegawai lelaki itu bertanya terus di dalam Bahasa Melayu sebaik-baik terpandang pasport saya. "Apa khabar?"

Saya tersenyum sambil menjawab "Khabar baik."
Siapa kata Bahasa Melayu bukan bahasa antarabangsa, bukan? Ini suatu petanda positif!

Dia juga tanyakan soalan yang sama, mengapa saya mahu ke Bologna. Saya berikan jawapan yang sama seperti yang saya jelaskan kepada dua wanita sebelum ini.

"Bagaimanakah kesudahan cerita kanak-kanak itu?" pegawai itu bertanya lagi.
"Happy ending. Kanak-kanak sukakan pengakhiran yang ceria."
"Bukankah kanak-kanak itu selalunya nakal dan tidak sepatutnya diberikan ending begitu!"

Saya tahu dia bergurau lalu saya tersenyum sahaja.

"Puan ada anak?"
Saya mengeyakan. Dia menanggguk.

"Boleh cap pasport saya? Tanda saya sudah sampai di Schiphol."
"Tentu sekali," katanya sambil mengecap pada halaman yang disediakan. Sebelum ini, pasport saya melalui mesin pengimbas dan maklumat kedatangan saya cuma dimasukkan secara online. Tiada bukti fizikal. Saya minta perkara yang sama pada pegawai imigresen wanita semasa di KLIA.

Di Bologna, tiada pemeriksaan imigesen. Saya tiada bukti bahasa sudah sampai ke Bologna dalam pasport saya. Mungkin sewaktu pulang nanti, agaknya.

Belanda atau negara Holland ini bukan sekadar memperagakan seni lukis dan budayanya di pintu masuk utama ke negaranya, ia turut mengangkat sains dan teknologi di sini. Singgahan saya kali ini menemukan saya dengan pameran sains sewaktu mahu ke balai berlepas.

Pameran sains di balai berlepas 
Seperti singgahan saya ke Schiphol pada bulan Jun 2011, tempat ini belum pernah mengecewakan saya. Saya penuhkan masa saya di sini, kerana sewaktu pulang nanti saya tidak akan berkesempatan untuk melencong di dalam kedai-kedainya. Apatah lagi saya hanya ada masa 50 minit dari pintu ketibaan untuk ke pintu berlepas ke Kuala Lumpur semula. Semoga kedudukan pintunya tidak berapa jauh!


Ulasan

ulasbuku berkata…
Pasal cop di Bologna mungkin kerana naik flight domestik, sebab itu tiada cop imigresen.

Tahniah pasal pelancaran bukunya.

Catatan Popular