Menunggu Kelahiran Kembara Sastera



Setiap kali menunggu kelahiran, debarnya tetap dirasakan. Mungkin yang membezakan ialah kadar debarannya. Ada debar yang bergetar kuat. Ada yang sederhana. Namun, setiap kali pasti ada satu getaran.

Getaran pada kali ini sedikit berbeza. Ada pelbagai rencam rentak debaran yang dirasakan. Ini mungkin disebabkan kali pertama menunggu kelahiran penerbitan yang belum pernah dilakukan.

Menunggu kelahiran sebuah novel, kumpulan cerpen, buku kanak-kanak dan esei, mungkin pernah saya rasakan. Semuanya hampir sama apabila melalui proses pracetak. Teks di dalamnya 100% penuh dan hitam putih. Debaran lebih terasa apabila kulit buku akan disiapkan.

Bahagian dalam buku Kembara Sastera Nisah Haron
Kali ini, boleh dikatakan hampir setiap muka dalam buku Kembara Sastera Nisah Haron : United Kingdom & Dublin ini berwarna-warni. Saya tidak dapat tidak membimbangi bagaimanakah rupanya setelah dicetak. Melihat edisi digital memang semuanya muluk-muluk belaka. Sementelahan, saya beroleh designer yang kreatif dan pandai bermain dengan warna.

Bimbang ialah perasaan yang negatif. Apabila sesuatu itu di luar kawalan sendiri, bimbang tidak menambah atau mengurangi apa-apa pada perkara itu sendiri.

Pada peringkat ini, saya cuma mendoakan yang baik-baik sahaja untuk buku ini. Semoga hasil kerja selama kembara ini dapat dimanfaatkan pembaca dengan sebaik-baiknya, insya-Allah.

Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada  :
  • pihak Institut Terjemahan dan Buku Malaysia yang telah sudi menerbitkan buku penuh warna-warni ini - khusus kepada Pengarah Urusannya, Encik Mohd Khair Ngadiron dan pegawainya Encik Anuar Manshor serta warga kerja di belakang tabir;
  • editor yang cekap melihat sebagai mata kedua dan ketiga;
  • designer buku yang juga membaca setiap patah perkataan dan mengikuti cerita di dalam buku ini sebelum memilih dan menyusun foto-foto yang selari dengan teks.
  • pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam penghasilan buku kembara solo saya ini.
Jika tiada aral, buku ini akan mula dijual di gerai Institut Terjemahan dan Buku Malaysia pada 27 April 2012. Saya akan berada di Sofa Putih ITBM pada tarikh yang sama pukul 3.00 petang.

Kita bertemu di sana!




Ulasan

Penakumenulis berkata…
Salam...
Saya pasti akan mencari buku ini, kerana saya suka cerita pengalaman kembara sastera akak di dalam blog ini.

*Wish you good luck...:-)

Catatan Popular