Hadiah Ramadhan
The Fantastic Flying Books of Mr. Morris Lessmore


Imej jaket buku "The Fantastic Flying Books of Mr Morris Lessmore"
Kredit foto : Nisah Haron



Imej buku tanpa jaket. Kredit foto : Nisah Haron
Ulasan ini merupakan ulasan saya yang dipetik dari Goodreads:

The Fantastic Flying Books of Mr. Morris LessmoreThe Fantastic Flying Books of Mr. Morris Lessmore by William Joyce

My rating: 5 of 5 stars


Saya sudah menonton filem pendek tentang buku ini agak lama dahulu sebelum mendapat bukunya. Saya juga tidak sedar bahawa bukunya sudah diterbitkan.

Kenapa saya suka buku ini? Mungkin saya ada kesendengan (bias) kerana saya memang menyukai apa-apa sahaja "buku-tentang-buku" atau (books-on-books). Jadi, ulasan ini pasti ada kesendengan itu. Watak dalam buku ini Mr. Morris Lessmore seorang penulis dan pencinta buku yang hilang segala-galanya di dalam sebuah taufan (Taufan Katrina, Louisiana). Dia bukan sekadar hilang buku-buku kesayangannya malah huruf-hurufnya juga berterbangan sebagai simbol bahawa dia juga kehilangan kata-kata akibat malapetaka itu.

Pengenalan tentang pengarang dan
ilustrator pada jaket bahagian dalam buku.
Ketika dia kehilangan arah itu, Morris terlihat seorang wanita terapung diudara kerana diterbangkan oleh sekawan buku yang sedang menariknya terbang. Buku itu masing-masing mengibas-ngibaskan 'sayap'nya. Wanita itu melihat kesedihan Morris dan meminta buku kegemarannya supaya pergi ke arah Morris. (Imaginasi saya terus kepada cerpen saya sendiri "Sayap-sayap Kecil di Graha Jentayu" : pada hujung cerpen ada buku-buku yang berterbangan seperti itu.

Dipendekkan cerita, buku itu membawa Morris ke sebuah bangunan yang seni binanya juga seperti sebuah buku dan di dalamnya penuh dengan buku-buku juga, tentunya. Bangunan itu seolah-olah merumahkan buku-buku yang tidak bertuan. Di sinilah Morris belajar hidup semula dengan buku dan buku-buku itu pula hidup dengan kehadirannya. Bertambah menarik apabila buku-buku ini disimbolkan sebagai 'hidup' semula apabila setiap satunya dibaca. Sebuah buku yang sudah nazak juga kembali bernyawa apabila Morris membaca setiap patah perkataan di dalam buku itu. Makna yang diberikan oleh buku itulah yang menjadi nyawa penyambung hayat setiap buku.

Seperti mana saya berasa tersentuh dan sebak pada penghujung filem pendek itu, buku bergambar ini juga tidak kurang memberikan saya perasaan yang sama. Suatu hari nanti, kita akan berlalu pergi tetapi buku-buku ini tetap sama dan berada dalam keadaan yang serupa - sehinggalah datang satu tangan lain yang menghidupkan kembali buku yang sama.


Filem pendek The Fantastic Flying Books of Mr. Morris Lessmore sebelum ini boleh ditonton di YouTube, tetapi pihak penerbit telah menuntut hak cipta pada filem pendek ini. Jadi, hanya video-video promosi sahaja yang ada di YouTube sekarang.

Anak-anak saya cukup teruja apabila terlihat buku ini di atas meja kerja. Kami pernah sama-sama menontonnya dahulu dan kini sebagai keluarga yang menjadikan buku pendahulu segala-galanya, kami seolah-oleh tenggelam di dalam ilustrasi William Joyce dan John Bluhm ini.

Beberapa imej ilustrasi di dalam buku saya kongsi di bawah :

Antara ilustrasi kegemaran saya : imej 'roh' wanita ini diterbangkan oleh
buku-buku kesayangannya. Tetapi dia tinggalkan sebuah buku (yang ada
di lengannya itu) kepada Morris sebagai penyambung warisan.

Hari berganti bulan dan bulan berganti tahun, Morris masih lagi menulis
sambil menjadi 'penjaga' kepada buku-buku di dalam bangunan istimewa itu.

The Fantastic Flying Books of Mr. Morris Lessmore ini ialah hadiah yang tidak tersangka daripada seorang sahabat pembaca di Goodreads Malaysia, The Malaysian Reader - pemblog buku tegar. Terima kasih daun keladi. Saya amat meminati buku-tentang-buku, dalam apa-apa bentuk sekali pun. Buku ini bukan sahaja sesuai untuk kanak-kanak tetapi untuk orang dewasa yang mencintai buku : inilah dunia kita sebenarnya!

Buku ini boleh didapati dari Amazon.com.


Ulasan

Huda Engku berkata…
Assalamualaikum,

Saya mencari buku ini beberapa minggu yang lalu tapi sudah out of stock. Sedih!
Nisah Haji Haron berkata…
Alaikumussalam.
Cari di mana? Kalau di Amazon, tadi saya lihat sudah kembali 'in stock' nampaknya.
Naz Mohamed berkata…
Assalamualikum Nisah,
Ini pertama kali saya mengunjungi blog Nisah. Komen saya ini tidak berkaitan denagn tajuk. Sebaliknya saya ingin mendapatkan pandangan. Anak bongsu saya (13tahun, perempuan) berminat untuk menjadi novelis. Sekarang dia bersekolah di Sekolah Sains Rembau.Bersesuaian dengan usianya, dia banyak membaca novel-novel remaja terutamanya yang ditulis oleh Ain Maisarah. Apakah yang boleh saya lakukan untuk memupuk dan mengembangkan lagi minatnya agar satu hari nanti dia dapat menjadi penulis yang berkaliber?
Nisah Haji Haron berkata…
Alaikumussalam Puan Ummi,
Terima kasih kerana sudi berkunjung dan meninggalkan komen.

Untuk menjadi penulis, tidak boleh tidak mestilah banyak membaca. Dia akan menulis berdasarkan bahan yang dibaca. Jika dia banyak membaca novel-novel demikian, percayalah tulisannya kelak akan mempunyai gaya yang sama (jika itu yang dimahukan). Jika mahu dia menjadi lebih berkaliber, luaskan bahan bacaannya. Baca juga buku-buku di dalam Bahasa Inggeris dan sastera tinggi. Mulakan sedikit demi sedikit. Apabila sudah banyak membaca, barulah dia boleh menulis dengan baik.

Kedua, jaga penggunaan bahasa. Amalkan gaya penulisan yang sihat. Elakkan singkatan dan amalan mengeja dengan ejaan kontot-kontot (SMS), itu akan merosakkan sistem ejaan ketika menulis dan mengganggu pemikiran seorang pengarang sejati.

Hari ini sebenarnya penulis sudah ramai, tetapi penulis yang benar-benar berkualiti masih belum ramai lagi. Perkara ini subjektif. Jadi terpulanglah kepada puan dan dirinya sendiri sebagai calon penulis: mahu jadi penulis yang bagaimana?
Huda Engku berkata…
Saya bertanya kepada Kinokuniya. Tidak pernah membeli buku di Amazon, perlu ada kad kredit, bukan?
Nisah Haji Haron berkata…
Kalau pernah ada di Kinokuniya ertinya pihak kedai boleh tambah stok. Buat pesanan rasmi dengan pihak khidmat pelanggan Kinokuniya, apabila sudah sampai mereka akan hubungi.

Ya, pembelian di Amazon perlu kad kredit.
Naz Mohamed berkata…
Terima kasih puan di atas penjelasan/panduan yang amat bermanafaat yang telah diberikan.
Aida Rafan berkata…
Salam puan Nisah Haron,
Seronoknya baca ulasan buku tersebut. Terima kasih kerana dikongsikan di blog ini. Saya juga mencari-cari buku-buku Inggeris yang bagus untuk mendalami ilmu penulisan. Boleh saya tahu, adakah buku-buku yang Puan Nisah nyatakan dalam buku Kembara Sastera UK & Dublin adalah yang sesuai untuk dijadikan bacaan sebagai rujukan?

aida rafan~ akirahumaira.com
Nisah Haji Haron berkata…
Nur Aidawaty,
Buku-buku tentang panduan menulis agak banyak di dalam Bahasa Inggeris. Kena rajin cari dan baca bergantung kepada genre yang sdr ingin tulis. Jika sdr baru bermula, buku paling asas dalam Bahasa Melayu ialah "Persedian Menulis Cerpen" atau "Persediaan Menulis Novel" - kedua-duanya oleh Othman Puteh. Untuk sajak, ada "Persediaan Menulis Sajak" oleh Rahman Shaari atau "Mendekati Seni Penulisan Kreatif" oleh Lim Swee Tin.

Buku-buku Othman Puteh merupakan antara buku terawal yang saya gunakan. Boleh juga baca buku Faisal Tehrani - "Karya Nan Indah" (terbitan Al-Ameen Serve). Ada di www.ujanailmu.com.my.

Buku-buku yang saya nyatakan dalam "Kembara Sastera UK & Dublin" kebanyakannya ialah buku yang saya minati dan boleh dijadikan bacaan tambahan. Bukanlah 100% buku panduan menulis. Namun, tetap menarik untuk dibaca.

Harap maklumat ini membantu.
Huda Engku berkata…
Terima kasih Puan Nisah. Nanti saya akan buat panggilan rasmi kepada Kinokuniya nanti insya-Allah. Terima kasih. :)
Aida Rafan berkata…
Terima kasih puan Nisah. Nasihat puan amat saya hargai. Buku-buku proses penciptaan awal menulis alhamdulillah sudah dimiliki dari ujana ilmu. :)

~aida rafan

Catatan Popular