Cerita Cinta Ahmad Ammar

Cerita Cinta Ahmad AmmarCerita Cinta Ahmad Ammar by Grup Penjejak Tamadun Dunia

My rating: 4 of 5 stars


Saya sengaja tidak menonton sebarang video yang viral atau catatan orang lain tentang Almarhum Ahmad Ammar sebelum saya menyentuh buku ini. Tujuannya, supaya saya tidak terpengaruh dengan bahan lain selain daripada buku ini sendiri. Biarlah saya dapat semua maklumatnya terus daripada buku ini untuk mengetahui latar belakang dan sejauh mana buku ini boleh berdiri dengan sendiri tanpa bantuan medium yang lain.

Alhamdulillah, buku ini menghimpunkan catatan ibu, ayah, adik beradik, sahabat karib dan mereka yang mengenali Almarhum Ahmad Ammar sewaktu kecil dan sepanjang hayatnya yang singkat itu - 20 tahun sahaja! Secara keseluruhannya, ia merupakan percubaan yang baik dalam menghimpunkan kenangan terhadap insan yang istimewa, baik, dan tidak terkenal sewaktu hayatnya, kecuali dalam kalangan lingkungan persahabatan, ahli keluarga dan ahli pertubuhan yang disertainya. Semuanya menjadi viral dan mencetuskan 'fenomena' setelah pihak Grup Penjejak Tamadun Dunia (GPTD) menyediakan video yang pada asalnya untuk tontonan keluarga dan sahabat. Video hampir setengah jam itu kemudiannya menjadi pencetus yang menyebabkan nama "Ahmad Ammar" dikenali sehinggalah usaha-usaha dilakukan bagi menerbitkan buku ini.

Melalui warkah ibunya, pembaca dapat mengenali watak Ammar sewaktu kecil manakala ayahnya pula memang telah menyediakan ruang dan tapak supaya satu-satunya anak lelaki keluarga ini menjadi insan luar biasa apabila dewasa kelak. Paling terkesan ialah kedua-dua pasangan ini tidak menganggap anak-anak itu sebagai harta yang dimiliki tetapi anak-anak (khususnya dalam kes Ammar) ialah amanah untuk ummah. Konsep inilah yang menjadi Puan Nur Azlina dan Tuan Ahmad Adzam amat redha dengan pemergian Ahmad Ammar.

Melalui kaca mata sahabat-sahabatnya, pembaca akan mengenali Ahmad Ammar sewaktu bersekolah di SAMBEST, RMC dan seterusnya di Turki. Sebagai pelajar kedua terbaik RMC, sistem akan meletakkan beliau mengambil jurusan sains (perubatan, kejuruteraan dan bidang sains yang lain) tetapi keluarga dan Ammar sendiri bertekad untuk mendalami bidang Daulah Uthmaniah di Turki. Ammar juga membuat persediaan mempelajari Bahasa Turki sebelum berangkat ke sana. Hal ini memerlukan kekuatan yang bukan sedikit. Biasanya, pelajar terbaik akan didorong oleh semua pihak supaya mendalami bidang sains sahaja. Bidang-bidang sains sosial dan sastera tidak akan mendapat dokongan daripada mana-mana pihak. Pemilihan Universiti Marmara di Turki juga suatu lagi risiko yang telah diambil kira apabila Ammar mendaftar di sana. Universiti tersebut langsung tidak mendapat pengiktirafan di Malaysia. Namun, ayahnya dan Ammar sendiri tahu akan keputusan yang mereka ambil itu.

Selebihnya, ada beberapa bahagian yang telah disebutkan terlebih awal oleh sahabat yang lain, tetapi turut diulang juga. Ada yang boleh melihatnya sebagai pengukuhan kalau pun bukan sedikit kelewahan. Namun, penerbitan buku yang berwarna-warni boleh memotivasikan sesiapa sahaja, khususnya pelajar dan juga ibu bapa yang bakal mencorakkan kehidupan anak-anak. Ada beberapa model tarbiah dan tip-tip yang boleh digunakan.

Mungkin bukan semua orang boleh menjadi sehebat Ammar - insan biasa yang luar biasa. Namun, Ammar ialah suatu iktibar dan isyarat daripada Tuhan bahawa anak-anak muda usahlah mensia-siakan hidup mudanya. Ammar telah banyak mengisi dadanya dengan ilmu dan bukan perkara-perkara yang 'lagha'. Hidupnya cuma 20 tahun tetapi hidupnya telah memberi bekas kepada orang lain, ya, orang lain yang langsung tidak dikenali semasa hayatnya. Setiap orang perlulah mengambil posisi dakwah masing-masing kerana setiap seorang daripada umat Islam itu bertanggungjawab dalam misi dakwah dalam kapasiti yang tersendiri. Jika termampu, ambillah jalan yang pernah dirintis oleh Almarhum Ahmad Ammar. Jika tidak terdaya, lakukan sahaja dengan ikhlas tetapi dengan cara yang terbaik.

Almarhum pastinya istimewa kerana pengakhiran hidupnya yang amat istimewa - sebuah husnul khatimah : meninggal sewaktu dalam perjalanan hendak menyampaikan ilmu (kuliah pertama Risalah An-Nur), disembahyangkan oleh ratusan orang Turki, hatta yang langsung tidak mengenali beliau dan kemudian disemadikan di kawasan perkuburan Abu Ayyub Al-Ansari - sahabat Rasulllah yang turut dikebumikan di bumi Konstantinopel.

Banyak buah fikir dan iktibar yang boleh dipetik daripada buku ini. Ia membuatkan kita tertanya-tanya, apakah sumbangan kita pula kepada ummah dalam usia yang telah diberikan kepada kita?



View all my reviews



Ulasan

denai berkata…
Ya saya bersetuju, orang awam tidak mengenali beliau sebelum ini. Tetapi Allah ingin menyampaikan sesuatu kepada umat ini 'ada sesuatu yang ada pada perjalanan hidup beliau yang perlu dikutip'.
saya telah memiliki buku ini tapi macam biasa belum membacanya.

Denai Di Musir
Unknown berkata…
Maaf bertanya buku cerita cinta ahmad ammar ada lagi dijual di mana-mana kedai buku.Kalau tidak keberatan boleh saya tahu dimana boleh didapati?.Saya berasal dari Kota Tinggi Johor.

Catatan Popular