Ruang Peribadi


Kerap kali saya mendengar rintihan isteri yang merasakan dirinya terpenjara di rumah. Hendak keluar berjalan-jalan, sekadar window shopping pun terasa serba salah. Malah terasa sangat bersalah. Padahal, dia ada hak sebagai isteri untuk keluar merehatkan diri, menenangkan perasaan daripada suasana di rumah. Ada rumah tangga yang sunyi, dia perlukan keriuhan di luar itu seketika. Ada masa, rumah tangganya terlalu riuh, jadi dia perlukan ruang yang berbeza.

Paling merimaskan ialah apabila seorang isteri itu tiada langsung ruang untuk dia sendiri-sendiri. Ada isteri yang amat bertuah kerana suaminya akan menemankan dia ke mana-mana sahaja, hatta ke kedai depan rumah dalam 200 meter sahaja. Bukan isterinya tidak bersyukur mempunyai suami yang amat penyayang, namun, seorang isteri itu perlukan ruangnya sendiri.

Tanyalah kepada isteri yang sentiasa diekori suami. Dapat ke kedai beli roti dalam setengah jam pun, terasa bahagia dan lapang, apabila dia dapat keluar seorang. Apatah lagi, anak tak ikut. Ia bukan sahaja soal kepercayaan atau keselamatan. Seorang manusia itu secara fitrahnya perlukan ruang untuk bersendiri, biarpun seketika.

Cubalah tanyakan suami, adakah dia memberi ruang kepada isterinya berlama-lama di atas tikar sejadah supaya isterinya dapat 'bermanja' dengan Tuhan, untuk meluahkan rasa, meredakan apa-apa sahaja yang mungkin terbuku di hatinya siang tadi. Kebanyakannya terpaksa menanggalkan telekung, cepat-cepat meninggalkan tikar sembahyang untuk terus ke dapur untuk makan malam.

Cuma tanyakan suami, adakah dia memberi wang untuk isteri keluar berbelanja (mengikut kemampuan) atau tolong panggilkan Grab untuk isterinya jika dia tidak dapat hantar sendiri. Perempuan perlukan ruang peribadinya.

Tidak dinafikan ada perempuan yang tidak boleh berenggang langsung dengan suami. Atau suami yang tidak boleh lihat isterinya bersendiri. Sesungguhnya, kedua-dua ini ialah hubungan yang tidak sihat. Suami atau isteri ada masanya perlu dilihat bersama-sama, khususnya ke majlis sosial seperti kenduri-kendara. Tidak manis kalau pasangannya tidak ada. Suami isteri itu sudah menjadi satu unit dalam keluarga.

Namun, pada masa yang lain, masing-masing perlu ada ruang untuk bersama-sama kawan-kawan masing-masing. Adakah hari tanpa pasangan, isteri keluar dengan kumpulan kawan-kawannya (sama-sama perempuan) dan begitu juga dengan suami. Hal ini memerlukan sejenis kepercayaan yang hanya boleh dibina oleh pasangan ini sendiri.

Nanti, barulah pasangan itu kembali bertemu bertukar-tukar pandangan supaya dapat berbincang perkara yang berbeza.

Menghormati ruang masing-masing adalah satu daripada kaedah perhubungan yang sihat selagi tidak disalah guna oleh pasangan. Tanyakan kembali kepada pasangan anda. Isteri, sudah berapa lama anda tidak keluar sendiri? Berjalan sendiri (walaupun dekat) menghidupkan sense of alertness. Deria-deria anda akan hidup untuk menjaga keselamatan diri, jika selama ini anda mungkin bergantung sepenuhnya kepada suami.

Ingatlah, suatu hari nanti suami anda juga tidak akan dapat bersama-sama seperti selalu. Faktor usia, faktor jarak atau pelbagai sebab lagi. Ada masa kita bermanja, ada masa kita perlu lekas belajar hidup sendiri tanpanya dan perlahan-lahan bergantung kepada-Nya, insya-Allah. Akhir nanti, kita akan hidup sendiri-sendiri juga, jika usia kita panjang. Belum tentu kita dirahmati jodoh yang panjang. Entah siapa yang akan sakit dahulu, entah siapa yang akan pergi dahulu. Anak-anak pula, belum tentu dapat bersama-sama.

Jadi, kita belajar mengurus diri sendiri dengan membiasakannya lebih awal. Kita jadi wanita yang luwes (flexible), boleh berdua, boleh sendiri dan boleh bergerak dalam satu jemaah, insya-Allah.

Ulasan

Catatan Popular