Selasa, Mei 18, 2004

Mencari Locus Standi


Bagi Kategori Novel Remaja, penulis muda berbakat besar, Faisal Tehrani meneruskan penguasaan apabila berjaya mendapat tempat pertama melalui novel 1511H (Kombat).

Karya tersebut merupakan kesinambungan kepada novel 1515 yang pernah memenangi kategori yang sama tahun 2002.

Nisah Haron yang lebih dikenali sebagai penulis cerpen memenangi tempat kedua melalui novel, Mencari Locus Standi. Ia merupakan novel pertama beliau dan digarap dengan menerapkan ilmu serta pengetahuan undang-undangnya.

Tempat ketiga kategori ini ialah Siti Jasmina Ibrahim dengan novel Ombak Sfera Lotus.

Hadiah-hadiah kategori novel ialah RM6,000 (pertama), RM4,000 (kedua) dan RM3,000 (ketiga).

Mingguan Malaysia 16 Mei 2004



Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah Subhanahu Wa Taala. Hanya atas limpah dan kurnia serta kehendak-Nya semua ini boleh berlaku.

Tidak banyak yang boleh saya perkatakan. Semua sudah selesai. Keputusan telah diumumkan. Tugas saya sebagai pengarang novel Mencari Locus Standi tamat di sini. Sekarang tugas anda sebagai pembaca bermula. Tiada apa yang saya harapkan selain komen-komen yang membina. Kalaupun anda bukan seorang sarjana, apa salahnya komen sebagai seorang pembaca.

Kalau ada masa, tulislah komen anda dan kirimkan ke mana-mana wadah spt. akhbar, majalah dsb. Jika buku itu baik, ia satu bentuk promosi untuk memperluaskan sedikit ilmu yang saya tuang ke dalam novel itu untuk dinikmati bersama. Jika banyak yang negatif, pun jelaskan juga, supaya ia jadi sempadan pada saya dan penulis-penulis lain agar tidak diulang pada masa akan datang.

Kepada mereka yang pernah memberi sokongan sewaktu novel ini ditulis, terima kasih yang tidak terhingga. Mimpi yang berlayar telah sampai ke pelabuhan realiti.

Andai ada kesempatan, mungkin saya boleh kongsi pengalaman menulisnya dengan anda. Barangkali dalam entri yang lain pula...

Tiada ulasan:

Related Posts with Thumbnails