Iqra' : Bahagian 2

Di mana-mana majlis sastera ataupun apabila saya diwawancara, ramai yang bertanya bagaimana saya boleh menulis.

Jawapannya mudah. Saya suka membaca. Dan saya bukan membaca apa sahaja. Saya sentiasa memilih bahan bacaan. Masa saya singkat kerana direbut oleh banyak tugas lain. Jadi saya harus memilih bahan bacaan saya. Saya tidak boleh membaca apa sahaja kerana membaca bahan yang tidak berfaedah, amat membazir masa saya.

Sejak saya mula kenal huruf (sekitar 4 tahun, saya sudah boleh membaca akhbar), saya memang suka membaca. Masa kecil, bahan bacaan saya tidak banyak lantaran keadaan ekonomi keluarga yang sederhana. Tetapi setiap buku yang ibu atau bapa saya belikan saya habis membaca dalam tempoh yang relatif singkat. (Saya bersekolah tadika hanya selama 6 bulan, kerana saya telah habis membaca semua buku yang dibekalkan ketika orang lain masih baru hendak mengenal huruf)

Ketika di sekolah rendah juga saya didedahkan dengan bahan bacaan berbahasa Inggeris kesan pergaulan dengan murid berbangsa Cina & India. Kebanyakan novel Enid Blyton, saya habiskan hampir kesemua sirinya sebelum melangkah ke sekolah menengah.

Di sekolah menengah, saya berpeluang membaca banyak novel Melayu. Tetapi, seringkali harus berebut dengan pelajar lain. Tapi saya tetap bersaing di perpustakaan untuk mendapatkannya. Untuk membaca buku bahasa Inggeris di perpustakaan tidak susah. Tidak ramai pelajar dari sekolah agama seperti saya - baca semua buku termasuk novel Inggeris.

Jadi saya banyak membaca novel. Kesan daripada pembacaan ini yang merangsang saya menulis kemudiannya. Saya menulis seawal tahun 1988 iaitu ketika saya berada di Tingkatan 3. Tembusan saya yang pertama di Dewan Siswa 2 tahun kemudian melalui cerpen "Di Sebalik Wajahmu, Aries".

Rencana Tuhan memang tiada siapa yang tahu. Dan betapa agungnya takdir Allah.

Saya bertemu jodoh dengan insan yang cukup gemar membaca. Dia yang tidak betah menghabiskan masa dengan melongo tanpa bahan bacaan di tangan hatta senaskhah akhbar lama. Pun, dia tidak membaca sebarang buku. Minta maaflah, novel popular yang remeh-temeh, membicarakan isu yang tetek-bengek bukan pilihan kami.

Dalam suasana masa kini, ketika makin ramai penulis sastera menerbitkan buku sendiri, kami dirangsang idea untuk membantu mereka menjual buku. Saya tahu betapa seriknya menjual buku sendiri. Mula-mula tu memang tebal muka apabila berkata "Saya Nisah Haron. Dah beli buku saya?" sambil menyua kumpulan cerpen saya "Impian Tsu-Ryi". Alah bisa tegal biasa. Lama kelamaan itu sudah menjadi sesuatu yang lumrah.

Lalu kami pun mengumpul semua karya penulis yang rata-rata menerbitkan buku sendiri dan kami hidupkan www.ujanailmu.com.my. Sebab itu, pada senarai pautan / link saya ada tertulis
  • Ujana Ilmu - Kedai Buku Online


  • Di sanalah semua hasil karya terpilih kami tempatkan.


    Alhamdulillah, koleksi kami kian meningkat. Sudah ramai penulis yang mahu menumpangkan buku mereka di Ujana Ilmu. Tiada bayaran kalau mahu buat promosi buku di situ. Kami hanya mengira komisyen setelah ada tempahan/jualan.

    Betapa melalui pembacaan, bukan sekadar luas pemikiran. Tetapi banyak perkara juga boleh diperluaskan.

    Sudahkah anda ke Ujana Ilmu?

    Ulasan

    Catatan Popular