Ke Palembang

Insya Allah, Sabtu ini saya akan mewakili Malaysia ke Program MASTERA ataupun Majlis Sastera Asia Tenggara. Saya tidak sangka terpilih untuk tahun ini. Tak fikir pun yang saya akan ke sana untuk tahun-tahun terdekat. Saya selalu fikir bahawa jika pun saya terpilih, biarlah ketika anak-anak sudah besar. Waktu ini mereka masih terlalu kecil.

Pun, jaminan daripada suami menyatakan : pergilah, peluang yang datang hari ini, belum tentu datang lagi pada waktu yang lebih sesuai. Saya akur dan akui bahawa kata-katanya benar. Bila lagi untuk saya manfaatkan peluang sebegini.

Untuk itu, saya memang sibuk sekali mengejar segala deadline yang harus disempurnakan sebelum berangkat ke sana. Itu belum masuk artikel-artikel yang mesti beres untuk dibawa ke Palembang.

Apa ada di Palembang? Saya masih belum boleh bayangkan. Saya belum pernah ke Indonesia.

Novel Mencari Locus Standi akan ada soft launch di Jelebu pada 7 Ogos ini. Tetapi waktu itu, saya masih belum pulang dari Palembang. Saya hanya akan sampai pada 8 Ogos 2004 jam 11.30 malam. Turut dilancarkan ialah novel Siti Jasmina Ibrahim "Ombak Sfera Lotus" dan Kumpulan Puisi Ida Munira "Pendatang Malam". Ini sempena meraikan ahli PEN yang berjaya di peringkat kebangsaan, saya kira.

Ada majlis di Jelebu pada 7 - 8 Ogos nanti. Encik A. Latip Talib yang menguruskannya bersama-sama dengan urus setia di Jelebu. Ada Bengkel Penulisan juga khabarnya. Antara pembimbing yang terlibat ialah Puan Hajah Mahaya Mohd Yassin dan Puan Nor Azah Aziz.

Kepada yang berminat, sila hubungi sdr. Latip Talib. Weblog beliau ada pada senarai pautan saya di halaman ini. Saya doakan semuanya berjalan lancar.

Doakan juga saya selamat pergi dan selamat kembali. Insya Allah, di kesempatan lain, akan saya kongsi pengalaman di Palembang untuk semua.

 

Ulasan

Latiptalib berkata…
sdr nisah, malam ini mungkin sdr dah berada di palembang. saya ucapkan selamat menimba pengalaman. jangan lupa coretkan di sini untuk dikongsi bersama.
terima kasih kerana promosi pelancaran buku karya penulis negeri sembilan dan bengkel penulisan dalam web ini. kini segalanya berjalan lancar. semoga majlis itu berjaya.
harap suami sdr akan datang ke jelebu pada hari tersebut kerana novel sdr turut dibuat pelancaran. tapi hingga hari ini dia belum menghubungi saya lagi dan saya juga belum menghubunginya sebab kami sama-sama pendiam...hahaha.

Catatan Popular