METAMORFOSIS
Nisah Hj Haron


Kiranya kau bermetamorf
Menjadi dinding beku dan bisu
Aku terus berbicara
Kerana dinding punya telinga
Peka pada setiap kata.

Kiranya kau kepingin
Menjadi batu granit keras
Mendindingi luluhawa perasaan
Aku masih mencurahkan hujan
Kerana pada kelembutan air
Kerikil pun pasrah menjadi pasir.

Kita berkongsi langit yang serupa
Bumi yang itu juga
Walau ke mana engkau berlari
Aku tak perlu mengejari
Pada setiap udara mengisi rongga dadamu
Aku ada di sana.

Kita berkongsi satu udara
Kita seudara
Kita saudara.


20 September 2004
1.30 Petang
Mahkamah Rendah Syariah
Seremban

Ulasan

Catatan Popular