Menepati masa

Masih ingat satu babak dalam Mencari Locus Standi? Betapa E-Jay amat mementingkan ketepatan waktu. Ya, itulah sebahagian daripada diri saya sendiri.

Saya akan hormatkan waktu orang lain. Lebih-lebih lagi apabila waktu saya dihormati oleh orang tersebut. Berganda-gandalah rasa hormat saya pada orang itu. Ramai antara kita yang susah benar hendak menepati waktu. Sampai timbul istilah - Malaysian Time. Ertinya gagal menepati janji.

Masih teringat ketika saya 'dating' dengan suami semasa kami baru sahaja berkenalan. Janjinya mudah. Kalau hasrat untuk bertemu ditetapkan pada jam 5.00 petang, misalnya. Siapa sampai dahulu akan tunggu di tempat yang dijanjikan hingga 5.15 sahaja. Selepas daripada waktu itu, pihak yang menunggu bebas untuk membatalkan janji tersebut.

No question asked.

Bagi saya ini memang mudah. Masa itu pun, masing-masing belum ada telefon bimbit lagi. Jadi perjanjian tersebut kami jalankan. Kalau ada ehsan di pihak yang menunggu untuk menunggu lebih lama, itu terpulang tetapi selepas itu, tak boleh merungut. Alhamdulillah, saya tak ingat satu kali pun mana-mana pihak di antara kami yang terpaksa pulang dahulu kerana tidak dapat hadir pada waktu yang ditetapkan.

Adakalanya, saya agak kecewa dengan kehadiran saya ke mahkamah. Kalau mahkamah dijadualkan bersidang pada jam 9.00 pagi, para peguam harus berada di sana selewat-lewatnya 5 minit sebelum itu. Biasanya kami peguam, mahu tidak mahu mesti berada di situ tepat pada masanya. Sekiranya lewat tanpa alasan, kes kami boleh dibuang.

Berbeza halnya jika mahkamah tidak dapat bersidang pada jam 9.00 pagi. Adakalanya mahkamah @ hakim didatangi tetamu dan tidak boleh memulakan sidangnya seperti yang dijadualkan. Ini menyebabkan peguam terpaksa menunggu hinggalah mahkamah 'bersedia'.

Adakalanya mahkamah hanya dapat 'bersedia' satu jam setengah selepas itu.
Tindakan oleh pihak peguam ke atas mahkamah ? Tiada. Tiada siapa yang boleh mengenakan apa-apa tindakan kepada mahkamah kerana lewat memulakan sidangnya.

Peguam hanya boleh menunggu hingga kesnya dipanggil. Ini yang membuatkan saya membawa bahan bacaan setiap kali ke mahkamah. Habis juga satu dua bab novel!

Ringkasnya, mahkamah lambat bersidang tak mengapa. Peguam lambat datang, kes kena tolak.

Menarik bukan?

Ulasan

Catatan Popular