Selasa, Februari 08, 2005

Profail Melayu

Teguran Pak Lah dalam amanat Presidennya baru-baru ini terlihat seperti ada kekecewaan yang dibendung setelah beberapa lama menjadi Perdana Menteri. Pak Lah melihat masalah yang cuba diperbetulkan oleh Tun Dr. Mahathir.

Bukan mudah membetulkan sesuatu yang sudah menjadi budaya orang Melayu sendiri. Melayu, mana mungkin dipisahkan dengan sikap politikingnya. Bukan setakat dalam politik negara itu sendiri, malah di pejabat, di sekolah, di universiti, dalam tandas, di kedai kopi, dalam blog dan di mana-mana sekalipun asalkan boleh mengumpat, mengeji dan mengata, adalah orang Melayu di situ.

Sebentar kita menyusur sejarah. Setelah tamat penjajahan hingga kini, orang Melayu masih lagi belum menguasai apa-apa pun. Ekonomi? Jauh sekali. Tindakan orang Melayu - salahkan kerajaan kerana kegagalan DEB. Tindakan pro-aktif orang Melayu? Tiada. Kalau ada pun, tidaklah sebesar mana. Selebihnya hanya menuding jadi menyalahkan orang lain.

Sosial? Orang Melayu yang beragama Islam, masih tidak mampu mengawal pergerakan sosial. Salah siapa? Orang Melayu masih lagi menyalahkan kerajaannya.

Lantas apa yang tinggal untuk orang Melayu? Jawapannya Politik. Itulah yang ada pada orang Melayu dan itulah yang membuatkan orang Melayu mudah benar gila kuasa. Bila sudah ada kuasa, belum tentu mahu membantu bangsa sendiri. Malah mahu ditenyeh-tenyehkan supaya tidak bangkit lagi. Kenyataan ini bukanlah menjurus pada mana-mana parti politik, malah saya melihat semua parti politik itu sama sahaja.

Seperti penulis, manusia-manusia yang terlibat di dalam politik itu juga telah dikotak-kotakkan. Itulah dasar divide and rule yang kita warisi sejak zaman penjajah lagi. Sudah hampir 50 tahun kita merdeka dan bebas daripada belenggu penjajahan secara fizikal, tetapi mentaliti orang Melayu masih lagi terikat kukuh seperti dulu.

Apabila dikotak-kotakkan, maka jadilah orang agama dalam satu kotak, orang sains dalam satu kotak lain, dan seterusnya, orang ekonomi, orang sastera, orang politik, orang korporat dan sebagainya berjuang sendiri-sendiri dalam kotak masing-masing. Kalau nak berdebat pun setakat dalam kotak itu sahaja. Kalau kotak itu tungging balik sekalipun, ahli dalam kotak yang lain tak akan ambil peduli. Bagi ahli kotak lain, itu salah ahli dalam kotaknya yang menyebabkan kotak itu terbalik.

Itu belum lagi dicampur cerita bahawa dalam setiap kotak itu pula ada kotak-kotak yang lebih kecil.

Lantas, wujudlah tokoh-tokoh agama yang tidak memahami sains sepenuhnya, ahli sains yang tidak memahami Islam seluruhnya, orang sastera yang tidak faham ekonomi, semua orang luar sastera yang tidak faham sastera, orang politik yang memisahkan agama dan pentadbiran dan seterusnya, dan seterusnya...

Kata mengatalah yang menjadi modal orang Melayu kerana orang Melayu hanya tinggal kuasa politiknya. Bab-bab yang lain, orang Melayu sudah lama tewas. Ini hakikatnya. Di mana ada tempat yang melemahkan fikiran, adalah orang Melayu. Contohnya, konsert sureheboh di Seremban, atau di mana-mana sekalipun, paling ramai orang Melayu di situ. Sesekali saya terfikir, di mana mereka Maghrib? Kalau di Seremban, mungkin mereka solat di Masjid Negeri yang hanya tak sampai 500 meter dari Padang MPS. (Nisah sedang bersangka baik).

Tapi entahlah, itu urusan diri dengan Tuhan. Kalau tak ada konsert pun, kalau dah tak nak sembahyang, memang tak buat pun. Tak payah tunggu konsert kan?

Itu belum masuk bab bola, remaja Melayu berpeleseran di kompleks membeli belah, remaja Melayu lelaki yang memenuhi institut-institut serenti dan anak-anak gadis bertudung tapi perangainya tidak menggambarkan apa yang dipakainya.

Inikah profail orang Melayu? Usah mengelak dan menuding jari lagi, kononnya kita bukanlah Melayu yang dimaksudkan. Kita lain. Benarkah?

Cuba dalam setiap diri itu ada sikap mahu memperbaiki diri dan keadaan sekeliling. Nanti tak perlu buat gotong royong perdana kerana setiap ahli dalam komuniti menjalan peranannya. Dah mati seorang baru nak ambil tindakan besar-besaran.

Masih ingat saya pada pesanan Puan Lily Leong, guru saya semasa di sekolah rendah. Apabila dia keluar dari kelas untuk ke Pejabat atau ke mana-mana pun, dia tidak pernah pesan pada ketua darjah supaya menjaga kelas. Katanya, setiap orang jaga diri sendiri. Jangan jaga hal orang lain. Memang benar, masing-masing tahu tanggungjawab. Kelas jadi tenang. Sesekali ada seorang dua yang nakal, tidak dilayan oleh pelajar lain.

Lantas perubahan itu datang dari mana? Dari dalam diri. Membudayakan perkara-perkara yang baik dalam diri sendiri. Tidak dapat tidak ia semua bergerak daripada apa yang menjadi santapan rohani kita. Apa yang kita baca boleh mempengaruhi perbuatan kita secara subconscious. Cuba lihat perangai orang yang membaca novel-novel popular @ sastera ringan berbanding kumpulan yang memilih bahan-bahan sastera murni @ separa berat dan sastera berat sebagai muatan dalam dirinya. Peribadi mereka juga banyak berbeza kerana cara mereka berfikir juga jauh berbeza. Saya tidak katakan yang mana lebih baik dan yang mana lebih buruk. Itu terpulang kepada individu untuk menilainya.

Sikap orang Melayu itu perlu dilihat daripada pemikirannya. Lebih baik kita perbaiki diri kita ini. Itu tanggungjawab setiap insan.

Untuk apa kita bercakap tentang orang lain?

Tiada ulasan:

Related Posts with Thumbnails