Ujana Ilmu di BH - 20 Feb 2005

Khidmat beli buku di talian
Oleh Shaidah Shafie

PEMINAT buku negara ini kini boleh mendapatkan maklumat berhubung buku yang dikehendaki dan memesannya melalui perkhidmatan yang disediakan oleh Ujana Ilmu Enterprise (Ujana).

Penasihat Ujana, Nisah Haron, berkata Ujana menjual buku melalui internet kerana mahu mempercepatkan penyebaran sumber ilmu dan apa saja bahan bacaan agar sampai kepada pembaca pada kadar segera.

“Saya yakin ada sesetengah peminat buku yang tidak berkesempatan untuk ke kedai buku dan jalan terbaik ialah mencari maklumat berkenaan buku yang dikehendaki melalui internet,” katanya.

Beliau yakin perkhidmatan yang ditawarkan Ujana memudahkan urusan jual beli kerana pelanggan hanya perlu menunggu tiga atau empat hari sebelum pesanan buku tiba di depan pintu.

Di samping itu, perkhidmatan Ujana juga mesra pelanggan kerana pembeli tidak lagi perlu bersesak dalam kedai buku atau beratur di kaunter bayaran dan kemudahan sedemikian dapat memudahkan pelanggan kurang upaya khususnya.

“Dalam dunia serba pantas kini pasti pengguna akan merasa selesa dengan perkhidmatan di talian kerana banyak masa dapat dijimatkan di samping tiada kos pengangkutan yang timbul bagi mendapatkan sesebuah buku yang diingini,” katanya.

Beliau berkata, Ujana memberi tumpuan kepada buku yang diterbitkan sendiri oleh penulisnya dan ada buku di dalam senarai Ujana sukar diperoleh di kedai buku di samping buku yang diterbitkan syarikat lain.

“Maklumat senarai buku jualan Ujana boleh diketahui dengan mengunjungi laman www.ujanailmu.com.my manakala penulis atau penerbit yang memerlukan kerjasama Ujana boleh menghubungi saya di talian 06-7675722,” katanya.

Ulasan

Catatan Popular