Farris Sudah Berada di Pasaran

Image hosted by Photobucket.com

Judul : Farris Putera Yang Hilang
Pengarang : Nisah Haji Haron
Penerbit : MEP Educational Consult Sdn Bhd
Genre : Novel Kanak-Kanak
Mukasurat : 84 halaman
Cetakan Pertama : 2005
ISBN : 9833113095

Novel kanak-kanak saya yang terkini, Farris Putera Yang Hilang (MEP Consult, 2005) sudah mula beredar. Walau bagaimanapun, saya kurang pasti kedai buku mana yang diedarkan oleh penerbit saya.

Pun, saya tidak bimbang 100% kerana peminat buku kanak-kanak ini masih boleh mendapatkannya dari Ujana Ilmu.

Maklum balas daripada pembeli terawal, ramai yang suka akan buku ini kerana ilustrasinya berwarna-warni pada setiap halaman. Peribadi, sebagai penulis, saya juga suka pada ilustrasinya. Pelukis turut wajar diberikan penghargaan kerana berjaya menterjemahkan karya saya dalam bentuk lukisan.

Sebagai novel kanak-kanak, ilustrasi amat penting bagi menarik minat anak-anak.

Berikut petikan daripada blurb novel Farris Putera Yang Hilang.

Putera Farris Mustapha seolah-olah tidak percaya dengan berita yang diterimanya daripada Perdana Menteri negara Suria Zabarjad. Sedih, marah, bimbang dan sesekali rasa seperti mahu menangis apabila mengingati akan beban dan tanggungjawab yang akan dipikulnya.

Walaupun berat untuk meninggalkan bonda, adinda- adinda, lebih-lebih lagi ayahandanya yang sedang gering namun beliau telah nekad untuk mengembara dan hidup bebas dari kongkongan istana. Beliau ingin merasai keseronokan zaman remaja yang dirindui selama ini.

Pelbagai pengalaman berharga dilalui sepanjang pengembaraan. Pertemuan dengan orang tua berjanggut putih yang penuh misteri lebih bermakna lagi walaupun di benak fikirannya tertanam seribu persoalan dan dilema. Kejadian aneh dan juga cabaran yang dilalui seolah-olah mengajarnya erti kehidupan dan kedewasaan.

Sanggupkah Putera Farris mengorbankan sesuatu yang amat disayanginya demi kepentingan diri? Tercapaikah hasrat Putera Farris untuk lari dari kongkongan istana? Apa pula yang akan terjadi kepada Suria Zabarjad dan siapakah sebenarnya orang tua yang menemani Putera Farris?

Siri Novel Kanak-kanak FARRIS PUTERA YANG HILANG ini adalah bahan bacaan berbentuk cerita yang amat menarik berserta dengan ilustrasi berwarna pada setiap halaman. Amat sesuai untuk kanak-kanak dan remaja.

Kandungan
1. Menjadi Putera Mahkota
2. Melarikan Diri
3. Pengalaman Pertama
4. Teman Seiring Jalan
5. Membongkar Rahsia
6. Kampung Aneh
7. Puteri Semendarasa Dewi
8. Cermin Ajaib di Gua Kristal
9. Hadiah Pengorbanan
10. Penawar Rindu


Ulasan

Catatan Popular