Sastera dalam PLKN

Semalam saya ke MITC Hotel, Ayer Keroh. Ada taklimat untuk semua fasilitator Program Penghayatan Sastera & Budaya dalam PLKN. Oleh kerana ingin menyumbang bakti yang sedikit ini kepada negara, saya telah mengisi borang sewaktu singgah di DBP tempoh hari. Saya sangat ingin berkongsi pengalaman dan membimbing para wira dan wirawati sepanjang tempoh yang ditetapkan.

Program Penghayatan Sastera dan Budaya (PPSB) sebenarnya tidak lama. Ia hanya bahagian yang paling kecil dalam keluruhan PLKN. Hanya ada 6 malam. Dua jam setiap malam. Tetapi untuk malam terakhir mungkin hingga 3 jam kerana ada persembahan. Sepanjang 5 malam sebelumnya para wira dan wirawati akan dibimbing oleh fasilitator masing-masing menghayati puisi dan menterjemahkannya ke dalam bentuk persembahan selama 10 minit dengan menggabungkan elemen-elemen muzik, lakon, gerak kreatif, nyanyian dan deklamasi puisi.

Nampak mudah bukan? Tetapi bayangkan bagaimana 50 - 60 orang dalam satu kumpulan bergabung membuat suatu pementasan dalam masa 10 minit.

Saya mohon ditempatkan di kem yang berdekatan dengan tempat tinggal. Lagipun di Negeri Sembilan cuma ada 3 kem yang terlibat dengan PPSB, iaitu :

- Kem Ulu Pari, Rembau
- Kem PDS Resort, Pasir Panjang, Port Dickson
- Kem Tanjung Tuan, Port Dickson

Ini merupakan fasa kedua PPSB dalam PLKN. Fasa pertama, yang merupakan projek rintis (Pilot Project) hanya melibatkan sebuah kem dalam setiap negeri. Saya terlibat secara tidak langsung (oleh kerana menjadi AJK PEN) di Kem Ulu Pari. Seronok juga tengok kekreatifan para wira dan wirawati memanfaatkan segala bahan yang ada di sekeliling kem untuk dijadikan bahan persembahan.

Kali ini untuk fasa kedua, sebanyak 35 kem di seluruh negara terlibat dan ini baru 75% daripada jumlah keseluruhan kem.

Apakah PPSB berkesan?

Saya optimis walaupun jalan yang dirintis ini masih jauh destinasinya. Selama 6 malam @ 12 jam masih belum boleh melahirkan seorang deklamator peringkat kebangsaan ataupun seorang sasterawan. Jarak perjalanan untuk menjadi penggiat seni dan sastera bukan semudah ini. Pun saya melihatnya sebagai satu tapak yang sangat baik.

Sastera itu milik setiap insan. Ia bukan sekadar milik orang sastera. Ini juga satu cara sastera itu dimasyarakatkan. Kesan PPSB bukan terletak pada malam persembahan, tetapi ia lebih kepada proses penghayatan sepanjang 6 malam tersebut. Bahawa kesedaran dan kecintaan seni dan sastera itu harus tumbuh dari dalam.

Kedengaran juga suara-suara sumbang yang memperkecil-kecilkan PPSB. Tidak kurang yang memperlekehkan. Tetapi berapa ramai yang tampil untuk menyuarakan pendapat? Mungkin ada seorang dua. Selebihnya, sekadar mengadakan forum-forum tidak rasmi di kafe atau perkumpulan-perkumpulan tertentu. Lebih banyak bercakap daripada bertindak. Saya tidak tahu berapa ramai penglibatan rakan penulis dalam PPSB.

Kalau ada keinginan, inilah masanya untuk menumpahkan sumbangan walaupun hanya sebesar hama. It will make a difference. Memang sukar untuk mencari sukarelawan. (Saya tak tahu kenapa orang Islam / Melayu sukar benar untuk membantu kerja-kerja sukarela. ) Tetapi tugas sebagai fasilitator PPSB ini berbayar dan saya boleh katakan berbaloi. Pun yang paling penting ialah keikhlasan fasilitator, bukannya imbuhan tersebut.

Kepada yang masih berminat, borang masih ada. Fasa ketiga akan bermula Oktober nanti. Masih ramai fasilitator yang diperlukan. Apa gunanya ilmu kalau tidak dikongsi dan diperluaskan. Tugas ini juga dikira khidmat kepada negara. Selain elaun, cuti akan diberikan. Tidak ada majikan yang boleh menghalang kerana mereka yang terpilih adalah tertakluk di bawah Akta Program Latihan Khidmat Negara 2003 dan perlantikan dibuat oleh Kementerian Pertahanan Malaysia.

Inilah peluang orang seni untuk menunjukkan betapa seni dan sastera itu bersifat luwes (flexible).

Memang banyak kelemahan daripada aspek-aspek pengurusan dan teknikal DBP. Tetapi saya tidak melihat semua itu sebagai sesuatu yang negatif. Saya saring dan memilih the spirit of the whole programme.

Mana dia pejuang-pejuang seni dan sastera sekalian, tunjukkan diri anda! Mari berkokok di gelanggang orang pula.

Maklumat lanjut : pergi laman web DBP dan klik pada Program.

Ulasan

Catatan Popular