Seminggu yang paling padat

Tak dapat nak dibayangkan betapa padatnya minggu ini.
Penghujungnya saya demam tiga hari. Campur dengan sakit
tekak dan rasa macam nak selsema tapi tak jadi.

Dugaan. Betapa Allah masih lagi sudi menguji saya.

Sejak 24 April saya terlibat dengan Program Penghayatan
Sastera dan Budaya di Kem PLKN Ulu Pari seperti dalam entri
saya sebelum ini. Selepas itu, pada malam berikutnya 25 dan 26
April juga. Itu fasa pertama, selama tiga malam 2 jam setiap
malam.

Kemudian rehat satu malam.

Sambung lagi dari 28, 29 & 30 April. Alhamdulillah, dalam
kesukaran untuk menyatukan kumpulan, akhirnya kumpulan saya
yang bernama Inspirasi mencapai kesatuan yang diingini dan
berjaya mempersembahkan sajak yang dipilih, syair, lakonan,
nyanyian dan tarian. Kesemuanya berjaya digabungjalinkan
dengan kemas.

Rentetan peristiwa sepanjang minggu, sekadar untuk rekod:

23 April 2005. 9.00 pagi : PEN terlibat dengan Bengkel Penulisan
Kreatif di SMK Tampin. Pn. Mahaya memberi ceramah dan
bimbingan. Saya membantu di mana perlu sambil menjual buku.

24 April 2005. 9.30 pagi : Ke Pesta Buku Antarabangsa KL di
PWTC. Separuh hari di sana ditemani suami. Mujur juga dia sudi
ikut bersama. Tak cukup dua belah tangan nak angkat buku.
Mintak maap, ajelah. Saya ni kalau ke pesta baju atau pesta
makanan mungkin takkan memborong sebanyak itu, tapi kalau
pesta buku, ulat dalam buku pun boleh panik. :)

Malam ke PLKN.

25 April 2005. Siapkan beberapa artikel dan tulisan kreatif untuk
dikirimkan mengikut tarikh akhir masing-masing.
Malam ke PLKN.

26 April 2005. 9.00 pagi. Perbicaraan di Mahkamah Tinggi
Syariah Seremban. 2.30 petang. Satu lagi perbicaraan.
Kedua-duanya berlangsung. Tiada sidang yang ditangguhkan.
Ha... berasap kepala. Mujur dalam kedua-dua kes, saya mewakili
pihak yang kena tuntut. Dan kebetulan kedua-dua kes masih lagi
pihak menuntut (Plaintif) yang memulakan kes. Saya hanya perlu
mengambil semua catatan. Seharian menulis. Sakit tangan. Lain
kali ingat nak bawa laptop terus. Tapi meja mahkamah tu tinggi
benar. Sakit bahu kalau menulis begitu.

Malam ke PLKN.

27 April 2005. Ceramah penulisan kreatif untuk pelajar SMK
Taman Melati, Gombak. (Tidak jauh dari UIA). Kali ini saya yang
beri ceramah. Lepas ceramah, mereka pecah pada dua kumpulan
untuk bimbingan dalam kumpulan. Saya bimbing satu sementara
rakan penulis Tiras.R turut membantu kumpulan yang satu lagi.
Aktif betul mereka, berminat dan banyak soalan. Seronok saya
walaupun letih melayan mereka.

Cadangan untuk ke Pesta Buku untuk kali kedua terbatal. Ada
urusan pengambil buku-buku di UPND. Bertegur sapa dan editor
di sana, langsung tersangkut di situ dan berbual panjang
seputar hal-hal dunia penulisan.

Mujur malam itu PLKN berehat. Ah... lega.

28 April 2005. 9.00 pagi. Singgah ke DBP sebelum ke mesyuarat
PURNAMA dengan Pn. Mahaya. PURNAMA ialah badan yang
menjadi pusat perkembangan sastera kanak-kanak dan remaja
DBP. Saya dijemput atas tiket apa saya kurang pasti. Tapi saya
ialah generasi yang menjadi penikmat sastera kanak-kanak
sekitar tahun 1980-an. Akhirnya, karya-karya itulah yang
membentuk diri sebagai penulis.

Mesyuarat panjang. Hingga makan tengah hari. 2.00 petang
beransur pulang. Perlu rehat.

Malam ada PLKN!

29 April 2005. Saya tidak berjalan jauh. Sekadar meladeni
urusan di Seremban sahaja. Ada sahaja yang mesti diuruskan.
Masa ini, saya sudah mula rasa nak demam. Tapi masih kuatkan
semangat. Siapkan powerpoint ringkas untuk bicara buku Faisal
Tehrani. Kertas kerjanya sudah lama saya selesaikan.

Malam ada PLKN. Raptai terakhir. Wira dan wirawati semakin
mantap persembahan mereka.

30 April 2005. 9.00 pagi. Ditemani suami ke Maktab Perguruan
Perempuan Melayu, Durian Daun, Melaka. Majlis diadakan di Dewan Sri Melor, Anjung Hikmah. Diskusi buku Tunggu Teduh Dulu (Faisal Tehrani), Malam Kemerdekaan (Raja
Sabaruddin Abdullah) dan Meniti Gelombang (Razali Endun).
Bersyukur sungguh saya membawa suami untuk membantu saya
menjual buku-buku yang didiskusikan dan juga buku-buku lain.

Soalnya bukan kerana saya tak mampu untuk membentangkan
kertas kerja (Tunggu Teduh Dulu: Citra Dakwah Islamiah
Kontemporari) dan menjual buku serentak. Masalahnya, Dewan
Sri Melor terletak pada Aras 2 Bangunan Anjung Hikmah dan
tiada lif untuk mengangkut buku-buku sebanyak 7 peti itu ke
atas! Kasihan suami saya. Berulang-alik 7 kali mengangkat
kesemua peti!

Saya bantu menyusun. Itu sahaja yang termampu, dalam
keadaan yang sekejap datang sekejap pergi. Sambil
memanis-maniskan muka melayan pembeli dan kenalan.

Semasa pembentangan, saya diminta memulakan. Pengerusinya
En. Muhammad Abdul Ghani (MPPM), Meniti Gelombang
dibicarakan oleh En. Muhamad Musip (MPPM/Munsyi Dewan) dan
Malam Kemerdekaan dibicarakan oleh sahabat saya Che'
Abdullah Che' Ya (UKM). Rupa-rupanya saya seorang sahaja
perempuan dalam barisan panel. Tak mengapa saya anggap itu
satu cabaran.

Alhamdulillah, pembentangan berjalan lancar. Kesemua penulis
hadir kecuali Faisal Tehrani yang menjemput keluarganya pulang
dari Umrah di KLIA. Audiens juga boleh tahan ramai. Demam
saya kebah melihat perkembangan positif ini.

Pulang jam 2.30 petang selepas mengemas buku. Sekali lagi
suami saya yang baik perlu buat 7 'trip' menurunkan buku ke
kereta. Akibat sekejap berjemur, sekejap duduk dalam bilik
berhawa dingin, demam datang semula sewaktu perjalanan
pulang. Kepala tak henti-henti berdenyut. Telan panadol 2 biji.
Lelapkan mata.

Sampai rumah rehat lagi.

Malam ada PLKN. Malam persembahan. Malam terakhir saya
dengan kumpulan. Persembahan mereka mantap. Ramai pihak
berpuas hati.

Pulang ke Seremban. Sambil itu ambil tempahan hantaran dan
kek pertunangan. Siapa pula yang bertunang?

1 Mei 2005. Hari pertunangan adik lelaki saya. Satu-satunya
saudara saya. Dalam kesibukan seminggu ini, saya juga curi-curi
masa untuk uruskan majlis pertunangan adik saya. Tapi kami di
pihak lelaki biasanya buat kenduri kecil sahaja. Persediaan kami
ringkas sahaja.

Saya bangun awal. Siapkan sirih junjung, dulang kesirat dan
gubahan coklat. Ada 7 dulang semuanya. Lagi 4 ada yang baik
hati hendak menolong saya. Suami dan adik, siapkan minum
pagi untuk tetamu. Ibu saudara saya juga dan anak-anaknya
ada sama. Kami memang tak ramai, tapi masing-masing tahu
buat kerja.

Kami bertolak ke rumah perempuan di Kelang sekitar jam 10.45
pagi dan sampai sana dalam tengah hari. Majlis berjalan lancar.
Sayalah si penyarung cincin. (Rasa macam Frodo the
Ringbearer).

Pulang ke Seremban. Rehat untuk hilangkan demam. Sakit tekak
pula menjadi-jadi. Mungkin banyak sangat bercakap untuk
minggu ini.

2 Mei 2005. Demam pulih. Sakit tekak masih berbaki. Saya
gagahkan juga ke Pesta Buku untuk kali kedua. Kali ini
sendirian. Saya memang biasanya akan pergi dua kali ke Pesta
Buku setiap tahun. Dapat beli beberapa buku yang 'terlepas
pandang' pada lawatan kali pertama.

Esok. Tak tahu lagi apa yang akan berlaku. Tuhan sahaja yang
tahu...

Ulasan

Catatan Popular