Ahad, Jun 26, 2005

Fenomena yang harus dibina

Sumber : Mingguan Malaysia 26 Jun 2005 - Ruangan Sastera.

Fenomena yang harus dibina - Nisah Haji Haron

Pada 15 Jun lalu sebanyak enam buah buku Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2004 (HSKU) terbitan Utusan Publications & Distributors telah dilancarkan.

Buku-buku tersebut ialah Advencer Si Peniup Ney, Detektif Indigo, Priiit!, Segala yang Tercinta Ada Di Sana, Di Bawah Kerdip Lampu di Atas Pentas Itu, dan trilogi Julia, Natasya, Cinta Madinah.

Menyedari bahawa buku-buku HSKU mempunyai peminatnya yang tersendiri, www.ujanailmu.com.my (Ujana Ilmu) telah membuat promosi untuk menjual buku-buku sebelum dilancarkan.

Tempahan bagi jualan prapelancaran itu telah dibuka mulai 10 Jun 2005, iaitu enam hari sebelum tarikh pelancarannya. Percubaan ini sengaja dilakukan untuk melihat sejauh manakah sambutan peminat terhadap buku-buku HSKU.

Tambahan lagi, Faisal Tehrani meneruskan penguasaannya dengan membuat bukan sahaja hatrik kerana memenangi tempat pertama selama tiga tahun berturut-turut, malah beliau pada tahun ini turut memenangi tempat pertama dan kedua sekali gus!

Perkembangan ini amat menarik untuk memancing para pembaca buku-buku HSKU apatah lagi, Faisal Tehrani mempunyai kelompok peminat yang setia.

Ujana Ilmu mengambil peluang mengetengahkan buku-buku terbitan Utusan Publications & Distributors terutama buku-buku HSKU memandangkan kedai buku tempatan jarang sekali memberi keutamaan terhadap buku-buku sastera.

Rungutan daripada sesetengah penikmat sastera yang gagal menemui buku-buku sastera terbitan UP&D telah membawa mereka ke Ujana Ilmu yang cuba untuk menjadi `syurga' kecil bagi peminat sastera tempatan.

Percubaan menjual buku secara prapelancaran ini menatijahkan sambutan yang benar-benar menggalakkan. Ujana Ilmu telah memulakan promosi dengan mengiklankan kulit depan dan belakang kesemua buku dan setiap pesanan prapelancaran akan menerimanya lebih awal daripada pasaran di kedai buku.

Yang benar-benar menarik perhatian pembeli ialah 20 pembeli pertama buku Advencer Si Peniup Ney dan Detektif Indigo mendapat tandatangan daripada Faisal Tehrani sendiri.
Sehingga hari pelancaran buku-buku HSKU pada 15 Jun lalu, pesanan buku-buku tersebut terus meningkat dan buku-buku yang ditandatangani Faisal habis terjual.

Fenomena ini walaupun tidak sehebat prapelancaran buku Harry Potter, tetap memberi petunjuk bahawa terdapat golongan pembaca yang sangat dahagakan buku-buku berkualiti serta mempunyai nilai sastera yang tinggi.

Oleh itu, kenyataan yang mendakwa buku sastera, khususnya novel non-popular sukar dijual hanyalah suatu mitos. Perkara yang amat penting ialah bagaimana buku-buku tersebut menemui khalayaknya.

Tinjauan secara rambang yang dibuat di sesetengah kedai buku utama memperlihatkan bahawa buku-buku sastera sering kali diletakkan di rak paling bawah sedangkan buku-buku ini merupakan karya penulis yang diktiraf di peringkat nasional.

Sikap pemilik kedai buku yang tidak mengambil tahu tentang perkembangan sastera tempatan mutakhir membuatkan buku-buku ini juga tidak dikelaskan mengikut kategori yang sewajarnya.

Menghormati buku samalah juga dengan menghormati pembacanya dan dalam erti kata lain menghormati pelanggan yang bercita rasa tinggi.

Dengan indikasi yang begitu menarik, iaitu terdapat keghairahan dalam kalangan peminat buku tempatan yang sungguh teruja untuk memiliki buku sebaik sahaja diterbitkan, fenomena jualan prapelancaran harus dibina dan diteroka dalam industri buku tempatan.

Secara nisbah, promosi enam hari oleh sebuah kedai buku atas talian berjaya menjual 20 set buku Faisal, sebenarnya memberi ilustrasi yang meyakinkan berbanding promosi hebat dengan kos jutaan ringgit di seluruh dunia sebelum buku seperti Harry Potter dipasarkan. Dalam dunia niaga, apatah lagi dunia media, fenomena memang sesuatu yang dibina.

Peminat buku-buku HSKU dan juga peminat karya Faisal Tehrani masih boleh memiliki buku-buku ini dari Ujana Ilmu.

Pesanan dibuat secara atas talian (online) melalui laman web www.ujanailmu.com.my dan pesanan telefon.

Membeli buku-buku atas talian tidak bermakna pembeli mesti mempunyai kad kredit.
Walaupun menerima pembayaran melalui kad kredit, Ujana Ilmu turut menerima pembayaran melalui akaun bank, wang pos dan kiriman wang.

Untuk pesanan daripada institusi dengan kuantiti yang banyak, Ujana Ilmu bersedia menerima bayaran secara pesanan tempatan (local order/ L.O.)

Sebarang keterangan lanjut, hubungi Ujana Ilmu 06-7675722 (Mohd. Shukri).

Tiada ulasan:

Related Posts with Thumbnails