Ketika mereka sedang bersorak ria...

Ketika catatan ini ditulis, saya percaya saya tidak akan diganggu oleh singgahan Yahoo Messenger, e-mel ataupun panggilan telefon (kecuali mereka yang berada di luar negara ataupun bukan peminat konsert mingguan). Inilah malam minggu yang tenang. Kalau keluar ke bandar, hatta ke KL sekalipun, jalan raya juga barangkali tidak sesibuk malam-malam yang lain.

Saya percaya tumpuan pada malam ini terarah ke Dataran Putrajaya. Tempat berhimpunnya hampir 100% orang-orang Melayu Islam ataupun mungkin juga 100% orang Melayu Islam. Ketika jari saya tertekan no. 4 pada remote control Astro saya, kaca tv menayangkan permulaan konsert yang menjadi kebanggan seluruh rakyat Malaysia - atau lebih tepat hampir seluruh orang Melayu Islam.

Seperti ulat taik mereka terkinja-kinja, lebih bangga lagi apabila kamera diarah kepada mereka. Apa lagi yang mampu saya lakukan selain daripada beristighfar dan sangat-sangat mengutuk fenomena ini. Saya tidak pernah menonton sepenuhnya mana-mana bahagian daripada AF. Insya-Allah, saya belum tergiur dengan godaan-godaan yang tidak berfaedah itu.

Selain daripada hiburan yang benar-benar melalaikan dan membazir masa, wang dan tenaga, saya sampai kini tidak dapat melihat rasional mengapa fenomena ini harus menggemparkan negara. Walaupun dalam AF1 & 2 sebelum ini telah dicatatkan oleh akhbar bahawa sekian juta RM dihabiskan oleh rakyat Malaysia untuk mengundi. Kerancakannya kali ini semacam tidak menimbulkan secebis kesedaran langsung buat mereka.

Mereka mungkin tidak sedar. Tsunami yang menimpa seperti tidak mengajar. Balasan Allah boleh datang bila-bila masa.

Bilakah kerajaan akan haramkan program ini? Ia sangat membunuh bangsa saya sendiri.

Saya teringat kata-kata pujangga : Manusia akan terkejut apabila pertama kali melakukan dosa, selepas itu mereka cuba menipu diri sendiri, kemudian mereka biasa, akhirnya mereka jadi bangga dengan dosa yang dilakukan.

Fenomena ini sudah menjadi satu kebiasaan. Tidak ada apa-apa yang luar biasa dengan tulisan saya ini. Tidak ada yang membezakan jika seseorang itu peminat AF ataupun tidak. Jika anda bukan / tidak tahu langsung tentang AF, anda seolah-olah kolot dan ketinggalan zaman.

Adakalanya semua ini amat menakutkan!

Ulasan

Catatan Popular