Mari Berpoligami

Seminggu dua yang lalu, negara ribut-ribut sebentar tentang isu poligami. Sebenarnya, ia isu lama yang kebetulan disentuh kembali oleh pihak JKSM. Tidak ada apa-apa yang baru pun tentang isu yang diperkatakan. Hanya apabila orang politik yang tak faham undang-undang, mulalah kecoh tak tentu pasal.

Bagi saya, usaha untuk mengetatkan lagi syarat berpoligami ini harus dilihat dari sudut yang positif. Saya ulang. Ia bukan peruntukan baru. Telah wujud peruntukan berpoligami dalam Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Negeri-negeri. Hanya Perlis dan Wilayah Persekutuan sahaja yang masih belum menerima pakai dalam negeri masing-masing.

Semua wanita berpotensi dimadu. Itu hakikat.

Isunya bukan untuk bergaduh tarik-tarik rambut ataupun menagis sampai kering air mata. Tujuan peruntukan ini diwujudkan ialah supaya menjadi sesuatu yang telus @ transparent.

Prosedur permohonan poligami :

  • Suami perlu buat permohonan dan sertakan dokumen-dokumen yang diperlukan terutamanya slip gaji dan dokumen lain yang berkaitan.
  • Isteri yang sedia ada akan dipanggil untuk diputuskan hak harta sepencarian pada ketika itu supaya tidak wujud sebarang kekeliruan jika suami tersebut meninggal dunia selepas bernikah baru.
  • Bakal isteri, bakal ibu dan bapa mertua juga akan dipanggil. Ini supaya bakal isteri tahu bahawa dia akan mengahwini lelaki yang bukan bujang. Begitu juga dengan bakal ibu dan bapa mertua pemohon, supaya mereka tahu bahawa anak gadis mereka akan mengahwini suami orang. Jika mereka ingin membantah inilah masanya. Jika mereka tidak beri izin masa ini juga isu wali engkar dapat diselesaikan. Anak gadisnya tidak perlu saman bapa ke mahkamah untuk permohonan wali engkar.
  • Hanya pihak-pihak ini sahaja dan peguam (jika ada) boleh berada di dalam dewan bicara sewaktu perbicaraan. Orang ramai tak boleh menontonnya (ini bukan sarkas). Perbicaraan dijalankan secara tertutup.

Tiada apa yang hendak disorok-sorokkan. Setiap isteri ada hak masing-masing. Isteri pertama tahu bahawa suaminya akan beristeri lagi dan tahu yang mana satu isteri baru suaminya itu. kalau ada anak nanti, masing-masing juga kenal antara satu sama lain. Tak adalah timbul adik-beradik sebapa yang saling tak kenal tiba-tiba ingin berkahwin.

Tapi biasanya orang tak mahu pula ambil jalan yang jelas begini. Mereka lebih suka kan jalan yang lebih kabur. Maklumlah isteri sedia ada tidak bersetuju. Macam mana nak setuju, gaji pun tak cukup untuk tanggung satu keluarga, nak tanggung satu lagi keluarga. Nak layan ego punya pasal.

Memang poligami itu banyak hikmahnya tetapi nikmat itu hanya akan dapat dirasakan jika suami itu bijaksana melayan perasaan isteri-isterinya. Isteri mana yang tak terkilan, sedang isteri baginda Nabi Ibrahim, Sarah & Hajar juga diberikan Tuhan rasa cemburu kerana pasangan cemburu itulah sayang. Saiyidatina Aishah juga punya rasa cemburu terhadap Saiyidatina Khadijah walaupun beliau telah meninggal dunia ketika itu.

Baru-baru saya membantu seorang wanita. Suaminya mahu berpoligami. Dalam fikiran suaminya, permohonan itu boleh lulus dalam masa satu hari sahaja. Dia tidak bawa bakal isteri dan bakal mertua pun. Harta yang ada pakai cakap mulut. Dokumen tak lengkap. Apabila ditanya apa alasan dia mahu berpoligami, jawapannya hanyalah menceritakan keburukan isterinya yang pertama. Tiada ada alasan lain. Anak ada 4 orang sederet. Isteri pertama tidak bekerja.

Kalau dah tahu isteri itu tidak seperti yang diharapkan, mengapa tidak dilepaskan dengan baik. Ego membusut. Isteri pontang-panting menguruskan anak-anak yang ditinggalkan. Anak yang bongsu, seorang puteri, lahir tanpa kehadiran seorang ayah. Ketika anak itu lahir suara pertama yang didengar bukalah azan dan iqamat daripada ayahnya tetapi daripada abangnya sendiri. Betapa terharu hati si ibu dengan perbuatan suami. Sehingga kini, anak itu tidak merasa sentuhan kasih sayang seorang ayah.

Benar. Poligami boleh meramaikan umat Islam. Tetapi kalau yang bertambah hanyalah golongan yang mengabihan bongheh (menghabiskan beras, kata orang NS), buat apa-apa. Itulah dia gambaran orang Islam di akhir zaman - seperti buih-buih di lautan...

Seperti mana kisah di atas, kesannya kepada masyarakat amat besar. Daripada hendak melakukan sunnah Nabi SAW, akhirnya menjadi satu vicious cycle. Anak-anak yang tidak berpuas hati dengan bapa dan keluarga sendiri. Ibu yang terpaksa meninggalkan anak apabila bapa tidak beri belanja yang cukup. Anak-anak pun membesar serta berpotensi mengambil semua bentuk perasaan yang negatif ke dalam diri mereka. Generasi yang mereka lahirkan akan mengulangi benda yang sama.

Saya tidak melihat poligami sebagai sesuatu yang harus ditentang, tetapi orang Islam sendirilah yang harus menanganinya dengan bijaksana (bukan bijaksini).

Ulasan

A. Jazmin berkata…
Assalamualaikum.
Puan Nisah,

Selama membaca-baca tulisan Puan dan singgah untuk mencari link ke laman lain - saya sekadar itulah.

Kali ini - saya ingin komen -
sangat setuju dengan pandangan bahawa menangani poligami mestilah secara hak dan bijaksana.

Saya sokong penuh poligami yang jelas, lagi terang dan adil.

Saya sedang mencari seorang calon suami untuk diri saya sendiri tapi tak pernah saya mengarah pandangan kepada suami orang.

Dan saya secara sedar berjanji dengan diri jika semuanya memenuhi syariah dan syarat pun cukup, setelah saya sendiri bersuami (Dengan Izin Allah) saya akan cuba menjodohkan suami saya itu dengan sesiapa yang juga sedang mencari-cari calon suami.

Penderitaan saya ini (sukar mencari jodoh) menyebabkan saya sangat insaf bahawa saya tidak layak membiarkan kaum sejenis saya menderita seperti saya.

Lagi pula saya berhasrat untuk berdikari sepenuhnya, InsyaAllah. tujuan saya ingin bersuami keutamaannya ialah untuk mencari 'pelindung' dan menaikkan status saya kepada seorang "isteri" InsyaAllah. Jika bakal suami sanggup, mengapa tidak lagi 3 ? Bukankah poligami boleh memberi status yang lebih baik kepada 3 orang gadis/janda lagi?

Doakan impian saya menjadi kenyataan. Perjalanan saya makin sukar sekarang - tapi saya tidak putus asa dan tidak sebarang pilih.

aminahjazilahabubakar

Catatan Popular