Minggu Adat Perpatih

Penakik pisau seraut,
Ambil galah batang lintabung,
Seludang dijadikan nyiru;
Setitik dijadikan laut,
Sekepal dijadikan gunung,
Alam terkembang dijadikan guru.

Image hosted by Photobucket.com
Sebagai panel dalam Forum Kebudayaan Generasi Muda. Sebelah kiri saya Eddin Khoo (anak kepada Khoo Kay Kim). Kanan - Sdr Suhail - Presiden Persatuan Pelajar Islam.


Mulai Sabtu hingga Ahad lepas, saya terlibat dengan Pesta Persukuan Adat Perpatih & Masakan Tradisional Negeri Sembilan di UKM. Hari Sabtu tidak terlibat 100% kerana pada sebelah pagi saya ke DBP untuk Forum Kebudayaan Generasi Muda. Sebelah petang, sibuk dengan jualan buku. Ramai juga orang luar NS yang mengambil kesempatan menambah pengetahuan tentang adat perpatih. Alhamdulillah, melalui forum dan wacana, ramai yang sudah terbuka minda. Hendaknya, sesiapa yang hadir ke Pesta Persukuan Adat itu, tiada lagi dalam mindanya menghalang anak lelakinya berkahwin dengan puteri Negeri Sembilan. Jika tidak, dahulu semuanya takut untuk membenarkan puteranya bernikah dengan puteri NS, takut-takut harta nanti habis dikikis. Setelah penjelasan, tiada harta yang akan dikikis. Malah, kami puteri NS punya harta sendiri dan tidak perlu mengambil harta yang bukan milik.

Pada hari Ahad, saya terlibat dengan segmen "Kemusykilan Adat". Panel yang turut sama ialah Dr. Nordin Selat dan Dato' Khalid Bonget - kedua-dua orang kuat adat. Seorang tokoh akademik, seorang lagi pengamal adat. Saya mewakili generasi muda yang mencintai dan ingin mendalami adat ini.

Turut saya bawa bersama-sama ke DBP & UKM ialah adik baru saya - Syarifah Salha - Penulis muda NS yang sedang menempa nama. Kasihan juga, saya arak dia ke hulu ke hilir. Harapnya Salha tak serik dan dapat sedikit sebanyak pengalaman baru.

Semalam saya ke Cherana Putih, di Tabuh Naning, Melaka. Ada Seminar Adat Pepatih Naning. Wah, seronok saya. Dapat lagi ilmu baru tentang adat ini. Ada sedikit perbezaan dan banyak persamaan antara Adat Perpatih NS dan Adat Perpatih Naning. Sementelahan, Naning merupakan sebahagian daripada wilayah NS sebelum persempadanan antara negeri dibuat. Lagipun Naning bersempadan dengan Rembau. Dari segi dialek NS, masih agak pekat di Naning. Ia semakin kurang di kawasan Kuala Sungai Baru. Di sana, penuturnya sudah menggunakan dialek Melaka.

Image hosted by Photobucket.com

Paling indah, ketika majlis semalam dirasmikan. Turut hadir Dato' Undang Naning yang lebih dikenali sebagai Penghulu Naning - YTM Dato' Seroja Merah Abdul Latiff Haji Hashim bersama-sama dengan Toh Puan Sahzizan Deris. Mereka berdua setia menunggu majlis tersebut sehingga selesai.

Image hosted by Photobucket.com

Sewaktu perasmian, hadirin turut diperkenalkan dengan Dato'-Dato' Empat suku. Ia bermaksud, setiap suku mempunyai seorang ketua adat. Mereka ini mempunyai jawatan bergelar. Diperkenalkan juga setiap suku mempunyai bendera yang tersendiri selain daripada bendera wilayah Naning.

Duduk bersama-sama dengan Toh Puan, ialah ibu-ibu waris (di NS dipanggil, ibu soko). Mereka inilah yang berkuasa menentukan pemerintah di setiap negeri, wilayah, kawasan yang berkenaan. Di mana-mana wilayah adat perpatih, kuasa memerintah diberikan kepada lelaki, tetapi kuasa memilih pemerintah itu adalah kuasa ibu-ibu soko tadi. Dan kuasa mereka hanya setakat itu. Sebagai isteri, mereka tetap wajib patuh kepada suami. Kata perbilangannya:

Bendul yang empat, orang semenda yang punya.

Erti bendul yang empat ialah tiang rumah (rumah tangga). Orang semenda ialah orang lelaki yang datang ke rumah isterinya selepas berkahwin. Jadi, rumah tangga adalah kuasa orang semenda (suami). Sekali lagi, ia menafikan istilah queen control yang seringkali disinonimkan dengan wanita Negeri Sembilan.

Naning juga menjadi sesuatu yang unik dalam negeri Melaka. Naning, satu-satunya wilayah yang masih mengamalkan adat perpatih.


Image hosted by Photobucket.com Bendera Wilayah Naning



Image hosted by Photobucket.com Bendera Suku Anak Melaka (Meruar)



Image hosted by Photobucket.com Bendera Suku Semelenggang (Ular Ular)



Image hosted by Photobucket.com Bendera Suku Tiga Batu (Tonggo)



Image hosted by Photobucket.com Bendera Suku Mungkar (Utar Utar)

Semoga adat ini akan terus merentas zaman. Selagi ada pengamalnya yang masih berbangga dengan kewujudan adat ini, selagi itulah adat ini akan terus hidup.

Ulasan

Catatan Popular