Selepas Menyedut Udara Segar Sri Menanti















10 Mac (Jumaat). Petang itu, Dr. Zakaria sekeluarga merupakan orang paling awal tiba di Sri Menanti Resort. Khabarnya, dia datang ke Negeri Sembilan pada hari Khamis lagi. Malah dia mengambil kesempatan untuk pulang ke kampungnya di Rembau. Dari Rembau, mereka bertolak ke Sri Menanti. (Gambar : Dr. Zakaria & isteri)

Memang sengaja saya senggangkan masa ketibaan pada peserta, iaitu mulai jam 2.oo petang hingga 7.00 malam. Mereka punya pilihan untuk tiba dalam jangka waktu yang mereka selesa. Maklumlah, mereka yang datang bukan sahaja dari Negeri Sembilan. Malah ada yang tiba dari Johor Bahru kerana mahu memanfaatkan Bengkel Penulisan Novel PEN 2006 bersama-sama Dr. Zakaria Ali. (gambar : Dr. Zakaria mengendalikan bengkel)
Sayang juga dan sesekali saya, secara peribadi, merasa terkilan kerana kurangnya penyertaan dari kalangan warga NS sendiri. Sesekali bertanya apakah tarikh yang saya pilih ini langsung tidak sesuai ataupun penulis NS sendiri semuanya sudah mantap dan tidak memerlukan sebarang dorongan lagi. Ah... barangkali tebakan saya itu tidak tepat.

Syukurlah kehadiran beberapa nama seperti Rozita Latiff, Masliza Alias, Dr. Ani Omar dan Hjh Juriyati meredakan kerengsaan batin saya dan membuktikan bahawa NS masih belum ketandusan penulis yang berwibawa. Saya telah melihat potensi dalam diri mereka, apatah lagi kesungguhan dalam anak mata mereka yang membayangkan semangat dan nyala rasa yang menyala-nyala. Insya-Allah, mereka akan berjaya jika kekuatan dalam diri itu dapat terus terbakar.

Serunai Faqir (gambar), Maizura Mohd Ederis dan WB Rendra pula bukanlah nama baru dalam dunia penulisan. Nama-nama mereka telah mula meniti daripada satu wadah ke satu wadah dalam akhbar perdana dan majalah tempatan. Namun, mereka masih lagi sudi hadir menyertai dan sudi pula mendaftar sebagai ahli-ahli PEN yang terbaru. Alhamdulillah.


Tidak ketinggalan calon-calon baru yang masih membina khalayak seperti Che Aida Dollah, Tg. Norlaila dan Zalina Ibrahim yang bakal memberi cabaran kepada penulis mapan dalam jangka masa terdekat.

Memanglah, para skeptis mengatakan bengkel itu tidak pernah melahirkan penulis. Ramai yang percaya bahawa penulis itu lahir dengan sendiri. Secara peribadi saya juga percaya demikian. Tidak ada mana-mana bengkel penulisan yang boleh mengakui bahawa si Penulis A lahir kerana menyertai bengkel yang Bengkel Z anjurkan. Malah seorang penulis yang benar-benar sedar diri akan akan menyertai seberapa banyak bengkel bagi mengutip ilmunya dan dalam masa yang sama sentiasa mempraktikkan apa yang telah dipelajarinya dalam bengkel-bengkel tersebut.

Mulai daripada sebelah malam selepas ketibaan semua peserta, Dr. Zakaria memulakan langkah pengenalannya tentang penulisan melalui 2 ceramah utamanya. Dalam Ceramah I, beliau bercakap tentang apa yang perlu ditulis. Walaupun telah mula menulis untuk beberapa tempoh, saya masih lagi dapat mengutip banyak perkara yang baru dalam ceramah beliau yang padat itu.

Dia menyambung lagi pada keesokan harinya dengan Ceramah II. Kali ini ceramahnya berpaksikan tentang Penulis. Usai rehat, kami mulakan sesi membedah karya. Setiap seorang haruslah menghantar 2 bab daripada novel yang sudah siap, sedang siap ataupun bakal disiapkan kepada urus setia. Ketika ini, kritikan dibuat berdasarkan kedua-dua ceramah. Peserta dilihat dapat mempraktikkan sedikit sebanyak apa yang telah dipelajari.















(gambar : peserta menikmati suasana desa sambil mempelajari sesuatu daripada projek ternakan udang harimau ini)

Melihatkan peserta merasa agak tepu seharian bermuzakarah, saya terpaksa segera memikirkan suatu aktiviti luar yang boleh dimanfaatkan oelh peserta. Sambil meminta pendapat daripada Masliza dan suami saya (yang kedua-duanya berasal dari Sri Menanti), kami ketua rombongan penulis ke kolam ternakan udang harimau di Kg. Jumbang, lebih kurang 5km dari tempat kami berbengkel.

Saya tak pastilah peserta lain, tetapi saya merasa sangat teruja melihat udang-udang yang baru diasingkan daripada kolam asalnya kerana pengusaha baharu sahaja selesai 'mengutip' hasilnya. Suatu kebetulan yang menyeronokkan. Jika tidak, kami akan datang dan melopong tengok kolam sahaja. :)

Sewaktu dalam perjalanan pulang ke resort, kami singgah sebentar ke rumah Engku Fuad yang unik. Rumah itu 'separuh siap' - penuh dengan ukiran seni bina, hasil usaha tuan punya mengumpul mana-mana ukiran kayu terbuang daripada rumah-rumah sekitar kampung itu dan dipakukan kepada rangka rumah 'separuh siap' itu.












(Gambar : Rendra bergaya dengan ukiran sebuah katil yang sedang disiapkan. Dr. Zakaria dan Engku Fuad ceria memer
hatikan)

Pada sebelah malamnya, kami menyudahkan bengkel yang masih berbaki. Fikiran merasa segar walaupun tubuh telah mula merasa letih. Namun, demi ilmu dan peluang yang hanya datang sekali, masing-masing terus bersengkang mata.

Anehnya, walaupun letih dan esoknya kami akan bermula seawal 8.30 pagi, peserta masih tidak bergerak daripada kerusi setelah minum malam. Cadangnya, saya sekadar menemankan perbualan rancak antara Dr. Zakaria, Masliza, Serunai Faqir dan Rendra. Rupa-rupanya, meja sebelah juga tidak kurang rancaknya. Peserta lain juga memanfaatkan masa ini untuk merapatkan persahabatan dan perkenalan. Tak sangka, kami berbual hampir lajak jam 1.30 pagi!

Esoknya, kami mulakan sesi terakhir. Saya mengambil kesempatan menerangkan sekitar undang-undang hak cipta. Banyak juga persoalan yang ditimbulkan. Saya hanya memfokus tentang hak-hak seorang penulis berbanding hak penerbit dan hak editor. Ini disebabkan, ketika itu saya mendapat khabar yang belum berapa pasti tentang kehadiran Puan Nor Azah Aziz, Editor Kanan, Utusan Publications & Distributors ke tempat kami.

(Gambar : Dr. Zakaria dan Puan Nor Azah Aziz)

Alhamdulillah, seperti yang dijanjikan (walaupun tidak termasuk dalam atur cara), slot bersama-sama dengan editor ini dapat diteruskan. Saya kira, lebih banyak perkara baru tentang penerbitan yang dapat dibawa pulang oleh peserta (Dalam hati, saya merintih sendirian - hai... ruginya penulis NS yang tidak dapat hadir... Tak mengapa, mungkin rezeki mereka di tempat lain, insya-Allah).

Majlis penutup disempurnakan oleh Ketua Satu PEN yang baharu - Puan Hajah Mahaya Mohd Yassin. Maka, langsailah aktiviti PEN yang pertama selepas perlantikan jawatankuasa baru pada 4 Mac yang lalu.

Terima kasih saya yang tidak terhingga kepada semua yang telah menjayakan aktiviti ini. Salah dan silap, saya bagi pihak PEN mohon ampun dan maaf. Kalau ada makan yang tak sedap, kurang garam, terlebih sedap, dsb. juga di luar kemampuan saya.

Tulisan tentang bengkel ini juga ditulis oleh sdr Serunai Faqir.
Tidak lama lagi, saya percaya akan ditambah oleh Masliza Alias.


Ulasan

Catatan Popular