Siapa boleh saman Polis?

Beberapa hari yang lalu, saya pergi bayar 'zakat' di kaunter trafik PDRM. Maklumlah, orang yang bercakap cepat, berjalan cepat, pandu kereta pun tak berapa perlahan. Lagipun, di lebuh raya susah juga nak kawal kereta daripada melebihi 110km/j. Tahu-tahu, speedometer sudah menunjukkan 120 atau 130 tanpa disedari. Jadi berjela-jelalah saman yang datang.

Mengenangkan musim tawaran harga murah untuk bayar saman sudah hampir tamat, saya pun meluangkan masa, membuat lawatan rasmi ke IPD Seremban yang baru - terletak di Seremban 2. Biasanya, kalau ke Seremban 2, mungkin akan melawat Jaya Jusco ataupun Kompleks Mahkamah Seremban.



Peribadi, saya sukakan reka bentuk Kompleks Mahkamah ini, seperti gambar di atas. Ada kombinasi minangkabau sebagai identiti Negeri Sembilan dan elemen moden.

IPD Seremban pula terletak di sebelah kompleks ini sahaja. Proses membayar saman berlangsung dengan lancar. Saya bayangkan kaunter bayarannya akan dipenuhi pembayar-pembayar saman. Ternyata sangkaan saya meleset. Layanan yang diterima juga mesra - maklumlah, nak terima duit orang, kan? :-)

Namun, sewaktu menunggu resit, saya terpandang latar belakang dinding di dalam kaunter tersebut. Saya jadi tertanya-tanya sendirian. Saya, yang agak sensitif dengan penggunaan Bahasa Melayu yang betul, terus bertanyakan sama ada ejaan di belakang anggota itu sengaja dieja demikian ataupun ada kesilapan tatabahasa.


Saya kira ejaan sebenar sepatutnya Polis Trafik ataupuan Traffic Cops. Saya katakan pada anggota tersebut, usahlah jadi sekerat ikan sekerat belut. Bahasa Melayu pun tak sempurna, bahasa Inggeris pun tak semenggah. Ini kesalahan tatabahasa yang jelas. Melainkan perkataan Trafik Cops itu merupakan nama khas.

Tetapi memandangkan kedudukan papan tanda tersebut, ia menjelaskan nama unit ataupun nama kaunter berkenaan. Ia wajar sahaja dieja sebagai Polis Trafik.

Nah, siapa pula yang akan menyaman polis jika mereka tidak menyemak penggunaan ejaan dan tatabahasa yang betul.

Kata anggota tersebut, dia pun tidak tahu apa-apa sekadar menerima arahan daripada pihak pengurusan. Kalau saya ingin membuat aduan, dia minta saya ke sana. Ya lah, saya pun tak kata itu salah dia. Tetapi sebagai orang Melayu, sedikit sebanyak perlulah ada kesedaran berbahasa dengan baik.

Mungkin ada baiknya Dewan Bahasa dan Pustaka ataupu Munsyi Dewan diberi kuasa untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana kesalahan ejaan. Mungkin, bagi kesalahan pertama, hantar surat amaran dan berikan ejaan ataupun penggunaan tatabahasa yang betul kepada pihak yang berkenaan. Jika masih berlaku pengabaian, maka denda boleh dikenakan. Denda itu hendaklah bertambah sehinggalah pembetulan tersebut dilakukan.

Hmm.... Bahasa Melayu semakin dipandang sepi. Salah sedikit, masih ramai yang ambil ringan. Saya sendiri pun masih belajar dan sentiasa membetulkan diri dengan ejaan dan tatabahasa yang betul. Mengapa agensi kerajaan juga masih lagi tidak prihatin atau sengaja hendak cari glamor.

Infotainmen?

Rakan Cop?

Ulasan

Catatan Popular