Salam Hari Guru


Pernah saya catatan dalam entri terdahulu bahawa saya bercita-cita menjadi guru. Namun jalur kehidupan dan rencana Tuhan membawa saya ke tempat lain. Pun demikian, saya pernah menjadi guru sementara di SRK St Paul, sementara menunggu keputusan ke IPT. Pengalaman sekejap itu amat menyeronokkan. Tanpa sebarang kursus saya telah diminta menguruskan sekelas pelajar (yang semuanya lelaki) Tahun I. Aduhai... kelas pandai tetapi nakalnya pun boleh tahan juga.

Sewaktu sedang mengajar tiba-tiba ada seorang murid yang duduk berdekatan tingkap berteriak, "Helikopter!"

Sebuah kelas menyerbu ke pintu dan mahu melihat helikopter. (Macamlah tak pernah tengok helikopter terbang.) Tetapi itulah antara keletah yang pernah saya hadapi.

Dalam semua peringkat perguruan, saya paling hormat kepada mereka yang punya kesabaran menjadi guru tadika ataupun prasekolah. Merekalah guru yang paling hebat kerana mempunyai kekuatan dan daya pujuk bagi mendidik anak-anak kecil ini mengenal kalam dan kertas; warna dan nombor; huruf dan garis.

Saya sendiri pun adakalanya sukar untuk memastikan anak-anak saya boleh menulis, membaca dan mengira. Tetapi apa sahaja yang dikatakan oleh gurunya, mudah benar meresap ke benaknya.

Jadi kepada semua guru tadika, berbanggalah dengan kebolehan anda itu. Saya percaya, seorang profesor dari universiti pun belum tentu boleh melakukan apa yang anda boleh lakukan!

Di peringkat sekolah rendah dan menengah pula lain ceritanya. Guru-guru hari ini kian dibebani dengan tugas-tugas pentadbiran berbanding tugas mengajar dan berdamping dengan pelajar. Itu pemerhatian saya yang tidak rasmi. Tidak ramai guru yang boleh menjadi inspirasi pelajarnya.

Profesion perguruan juga menjadi semacam pilihan terakhir andainya tidak dapat menawan mana-mana kerjaya lain. Akhirnya, anak bangsalah yang menjadi mangsa para guru yang 'mengamalkan' sikap sambil lewa - bekerja kerana gaji. Tekanan demi tekanan daripada pihak atasan juga menyebabkan banyak nyala rasa dalam diri guru-guru ini terpadam begitu sahaja.

Malah tidak hairanlah, jika laporan berita malam tadi dan malam sebelumnya menyebut tentang lambakan graduan perguruan yang masih lagi menganggur. Salah siapa?

Para graduan menyalahkan kerajaan yang berjanji tetapi gagal menepati janji bahawa mereka bakal mempunyai pekerjaan terjamin. Kerajaan pula menyalahkan graduan kerana salah mengkhusus. Mengapa memilih subjek yang tidak kritikal. Permintaan sekarang ialah untuk subjek Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains.

Lantas bagaimana? Ramai graduan TESL yang saya kenali meninggalkan terus profesion perguruan setelah ditaja oleh Kementerian. Dengan kepetahan berbahasa Inggeris mereka selesa berkerja di tempat lain dan mampu membayar balik wang kerajaan. Persoalannya, adakah kerajaan memerlukan wang ataupun memerlukan graduan yang boleh mendidik anak bangsa?

Mungkin hari ini Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains menjadi subjek kritikal. Jadi bakal graduan hari ini berlumba-lumba terjun masuk ke dalamnya. Setelah bergelar graduan, andaikata subjek Matematik dan Sains kembali ke persada Bahasa Melayu, sekali lagi bakal berlaku lambakan graduan yang mahir mengajar dalam Bahasa Inggeris tetapi tidak lagi diperlukan pada ketika itu.

Sekali lagi yang rugi dan teraniaya ialah anak bangsa. Anak-anak kita. Anak-anak yang kita letakkan di bawah pada guru yang bijaksana (bukan bijaksini).

Pendidikan isu yang sangat penting dalam menentukan hala tuju sesebuah negara. Namun, masih banyak pihak yang tidak serius menimbangnya. Soal dasar boleh dijadikan permainan. Mengubah dasar sesedap rasa.

Walau bagaimanapun, jauh di sudut hati, saya tetap berterima kasih kepada semua guru yang pernah berjasa, menjadikan saya seperti saya hari ini.

Selamat Hari Guru!

Ulasan

Inia Lurun Sophie berkata…
Salam a'laik...

huhu.. walalupun baru sebulan saya menjadi guru prasekolah, tetapi sudah sirasakan setahun. Cabrannya sangat hebat. huhuhu.. selamat hari guru.. tahniah kepada semua guru di selurh dunia..! ;)

Catatan Popular