Khamis, Mei 11, 2006

Sastera Boleh Tolak Tepi

Rutin saya pada setiap pagi selepas mengurus diri ialah membaca akhbar. Selalunya baca versi atas talian. Saya kira ini juga rutin ramai pembaca di luar sana.

Paling penting, setiap hari Isnin, Khamis dan Ahad satu kemestian untuk menyemak apa yang berlaku dalam ruangan sastera Utusan Malaysia/Mingguan Malaysia.

Tidak kurang penting setiap hari Selasa, Khamis, Sabtu dan Ahad semak ruangan sastera di Berita Harian/Berita Minggu.

Utusan Online sentiasa mengemaskini lamannya seawal 4 pagi ataupun 5 pagi hari berkenaan. Jadi, sekitar jam 6 - 7 pagi memang pembaca sudah boleh akses lamannya bagi mendapat berita terkini. Demikian juga bagi ruangan sastera pada hari berkenaan.

Webmaster Berita Harian barangkali selalu bangun lewat :-) dan jarang mengemaskini lamannya sehinggalah agak tengah hari. Demikian juga bagi laman sasteranya. Adakalanya, cerita minggu lepas masih lagi ada minggu ini.

Untuk itu, saya harus ke kedai untuk mendapatkan versi cetak.

Namun, adakalanya ruangan sastera ini harus dikesampingkan bagi memberi laluan kepada suatu yang dilihat lebih besar. Contohnya, hari ini Utusan Malaysia tidak menerbitkan ruangan sastera kerana terpaksa memberi laluan kepada keluaran khas ulangtahun UMNO. Mujur Berita Harian tidak membuat perkara yang sama walaupun terdapat keluaran khas yang sama dalam Berita Harian.

Dan demikianlah, dalam banyak hal sastera dengan begitu mudah sahaja dikesampingkan dengan alasan yang pelbagai:

  • alah, sastera itu sekadar cerita.
  • sastera itu melayan perkara-perkara yang jiwang
dan banyak lagi alasan klise yang malas untuk saya panjangkan di sini.

Perhatikan bahawa ruangan sukan tidak pernah tiada dalam mana-mana akhbar. Tidak akan kurang satu halaman pun. Sukan tempatan ada, sukan serantau, sukan antarabangsa semuanya lengkap.

Tetapi sastera hanya ada sastera tempatan. Nak tunggu berita sastera antarabangsa, baca di internet sahajalah gamaknya. Memang mimpi nak baca tentang sastera antarabangsa dalam akhbar tempatan. Apatah lagi ruang yang diperuntukkan amatlah sempit. Satu halaman untuk muat semua benda.

Berita Harian ada menyiarkan 3/4 halaman tentang Pramoedya yang saya anggap berita sastera bersifat serantau. Namun, itu saya kira atas keprihatinan wartawan dan editor sastera. Pun saya kira Berita Harian agak bertuah kerana mempunyai Nazmi Yaakob dan Shaidah Shafie - kedua-dua penulis dan orang yang celik sastera.

Kalau jawi yang terkubur boleh dibangkitkan dari kubur dan diterbitkan semula, mengapa ruangan sastera yang sempit ini tidak boleh dilebarkan? Sastera pernah menjadi wadah perjuangan nasionalisme dari dulu hingga kini, tetapi sayang kini kepentingan sastera hanya setakat untuk lulus peperiksaan Bahasa Melayu.

Tiada ulasan:

Related Posts with Thumbnails