Sesuatu yang tidak dijangka

Beberapa hari lepas saya mendapat panggilan telefon daripada pihak urus setia Majlis Buku Kanak-kanak dan Remaja (MBBY) menjemput saya untuk hadir ke Majlis Perasmian Seminar Buku Kanak-kanak & Remaja ke 2 di Perpustakaan Raja Tun Uda, Shah Alam. Panggilan ringkas itu sekadar memaklumkan bahawa saya akan menerima hadiah penghargaan untuk novel kanak-kanak saya Farris Putera Yang Hilang. Pemanggilnya pun tidak memaklumkan dengan jelas apa sebenarnya yang saya menangi.

Petang semalam, saya terima panggilan daripada penerbit Farris, MEP Education menyatakan beliau juga mendapat jemputan melalui faksimile bahawa buku ini terpilih untuk menerima hadiah bagi kategori penulis. Menurut penerbit, surat itu juga tidak menyatakan secara terperinci tentang hadiah ini. Ya lah, saya pun ingin tahu juga saya menang tempat ke berapa. Tak mungkin tempat pertama. Saya pun menanggap 'hadiah penghargaan' ini bererti semacam hadiah saguhati (baca : hadiah kasihan).

Apa pun, saya pergi juga memenuhi undangan tersebut pagi tadi. Apabila sampai ke Perpustakaan Raja Tun Uda (tempat Seminar Pencinta Buku; tempat sambut hari lahir baru-baru ini), saya disambut oleh Datin Paduka Shahaneem yang tersenyum lebar ke arah saya. Kemudian ada petugas yang membawa saya hingga ke tingkat 3, di dewan tempat acara berlangsung. Dewan hampir penuh, ramai yang telah hadir.

Saya datang hampir jam 9 (dikira hampir lewat kerana majlis perasmian tidak lama selepas itu) kerana singgah di KLIA untuk mengambil tiket yang telah ditempah untuk ke luar negara.

Petugas tadi menunjukkan tempat duduk saya. Tu dia! Nun di baris paling hadapan sebelah kanan sekali. Pada kerusi siap tertampal nama saya. Pun, saya masih terpinga-pinga, saya sebenarnya menang apa?

Selepas acara perasmian (yang agak berjela) Dr. Md Sidin Ahmad Ishak, selaku Ketua Juri bagi Anugerah Buku Bitara MBBY mengumumkan bahawa anugerah ini diwujudkan buat kali pertama. Anjuran bersama MBBY dan DBP.

Ada 3 kategori :

  • Penulis
  • Ilustrator
  • Penterjemah

Terdapat lebih daripada 100 judul buku yang dipertandingkan. Hanya ada 1 pemenang bagi setiap kategori dan 2 hadiah penghargaan di belakangnya. Pendek cerita, keputusannya - bagi kategori penulis :

Pemenang -
Heidi Munan - The Stories from Sarawak
(Utusan Publications & Distributors)

2 Hadiah Penghargaan -

Nisah Hj Haron - Farris Putera Yang Hilang
(MEP Education)

Jean Adnan - Zul's Gang Adventure Series
(Utusan Publications & Distributors)

Pemenang dan bukunya akan ke Switzerland untuk buku itu dipertandingkan di peringkat antarabangsa di IBBY.

2 pemenang lain ini akan mendapat endorsmen - sama ada dalam bentuk emboss ataupun stiker pada buku tersebut mengatakan bahawa buku ini telah menerima hadiah sekian-sekian daripada pihak MBBY. Endorsmen ini boleh dilekatkan pada buku tersebut.

Menurut sumber, Farris hanya kurang 1 mata ketika undian untuk sampai ke Switzerland. Tetapi, bagi saya tidak mengapalah. Kalau dah bukan rezeki, begitulah. Saya tak pernah terfikir pun Farris akan sampai hingga ke peringkat ini. Ketika menulisnya, saya sekadar menjawab iklan yang dikeluarkan oleh pihak penerbit dan juga mengisi kekosongan novel untuk kanak-kanak lelaki. Pun, saya bangga kerana novel saya ialah satu-satunya novel berbahasa Melayu yang sampai ke peringkat inil. (Perhatikan pemenang lain merupakan novel berbahasa Inggeris.)

Apapun terima kasih kepada pihak penganjur atas anugerah ini.



Ulasan

Catatan Popular