Tragedi Dunia Sastera

Semalam dan beberapa hari sebelumnya, ada satu kisah yang sampai ke telinga saya. Hendak dikatakan cerita lucu, sedih, luka dan sebagainya, semacam ada pelbagai perasaan yang berbaur. Hendak ditulis kisah yang sebenarnya, akan melibatkan sensitiviti dan banyak pihak yang berkepentingan. Jadi, biarlah kisah ini saya tulis secara analogi. Bagi yang faham, tentu akan terkena batang hidung sendiri. Bagi tidak faham, ada pilihan: sama ada buat-buat faham ataupun bertanya kepada sesiapa yang faham. Cuma, tidak boleh bertanya kepada saya.

Selebihnya, terpulanglah kepada tafsiran pembaca untuk mengkategorikan cerita ini di bawah 18SX, 18PA ataupun U.

Ini kisah tukang masak istana. Chef bertaraf diva. Dia memang kegemaran raja kerana bukan sahaja masakannya enak, malah bahan-bahan dalam makanan dan penyediaan makanannya juga sangat berkhasiat. Namanya Chef Chimiko.


Oleh sebab raja ini bukannya kekal selama-lamanya, adalah juga raja yang gemarkan makanan-makanan segera seperti burger, mi segera dan yang seumpama dengannya. Pendek kata, di dapur istana itu ada pelbagai resepi yang dihidangkan untuk memenuhi pelbagai selera di istana itu.

Chef yang menjadi pakar penyediaan makanan segera ini namanya Chef Senandika - kononnya dia gemar bermonolog ketika masak. Maklumlah, untuk buat makanan segera bukannya susah sangat, buka plastik dan terus campak atas kuali ataupun buka karung mi segera dan terus rendam dalam air mendidih. Tak sampai 5 minit pun boleh siap.

Secara tidak langsung, wujudlah dua aliran masakan di istana ini. Masing-masing menyedari hakikat bahawa selera penghuni istana ini tidak sama. Terutama sekali anak-anak raja yang gemarkan makanan segera kerana ia enak. Mereka tak pernah fikirkan pun soal khasiat.

Chef Senandika selalunya tidak cukup tangan kalau sampai permintaan daripada anak-anak raja yang ramai itu. Jadi, dia pun buka franchise untuk mudahkan kerja dia. Tapi dalam masa yang sama, dia turut menghasilkan resepi-resepi baru dari jenis makanan segera ini. Bagi dia, hal itu tidaklah susah sangat kerana bahannya tetap sama, yang penting bagaimana formula makanan itu dimanipulasikan.

Chef Chimiko pula selalunya mengambil masa yang lebih dalam penyediaan makanan dan hidangannya. Dia sentiasa memastikan setiap makanannya seimbang dan mesti ada khasiat kepada penghuni istana itu. Tidak dinafikan makanannya enak lagi berzat tetapi tarikan untuk makan makanannya itu tidaklah seperti makanan yang disediakan Chef Senandika.

Namun, Chef Chimiko tetap meneruskan penyediaannya seperti biasa. Lagipun, dia sudah ada peminatnya sendiri. Mereka yang gemarkan masakan tradisi, masakan rasmi istana, dan makan eksotik akan membuat permintaan kepada Chef Chimiko.

Apabila diadakan pertandingan masakan antara istana pun selalunya resepi terbaru Chef Chimiko akan mendapat tempat pertama. Ramai pula yang mahu membeli hidangannya. Jadi, dengan penuh istiqamah, dia tetap meneruskan tugas-tugas menyediakan resepi baru untuk bukan sahaja penghuni istana tetapi untuk orang ramai juga.

Pada suatu hari, ada raja baru yang mengambil giliran di istana itu. Seperti biasa, apabila ada bengkel masakan ataupun ceramah tentang khasiat makanan dan pemakanan, Chef Chimiko pastinya akan dihantar. Apatah lagi, dia punya PhD dalam pemakanan berkhasiat. Jadi, tahulah dia apa yang hendak diperkatakan kepada orang ramai ataupun istana lain.

Chef Senandika tak kisah pun apabila tidak dijemput kerana dia lebih bahagia dibayar dengan gaji yang tinggi untuk menampung permintaan yang banyak. Lagipun kutipan daripada syarikat franchisenya pun tak habis dimakan.

Hendak dijadikan cerita, sudah diputuskan bahawa Chef Chimiko akan mewakili istana berserta dengan seorang lagi chef yang sealiran dengannya. Itu memang sudah lama diputuskan. Dia sudah bersedia dengan segala barang-barang keperluannya untuk ke istana seberang. Selalunya, Chef Chimiko akan menunggu surat rasmi daripada pihak istana yang akan menghantarnya ke sana.

Kali ini, surat itu agak lambat, jadi dia pun tertanya-tanya. Jadi untuk mengesahkan perkara, Chef Chimiko pun menelefon pihak pengurusan istana.

Panggilannya dijawab seorang pegawai wanita dengan suara lemak merdu, "Maaflah, Chef. Ada berita kurang baik."

Dalam hati Chef Chimiko sudah berdetak, mungkin dia tidak akan dihantar kali ini. Namun, dia bersedia kerana dia pun agak sibuk akhir-akhir ini.

"Em...mmm... kami baru nak telefon Chef, sebenarnya... Sebenarnya..."

"Alah, cakap sajalah. Kenapa hendak ada sebenar, sebenar pula?"

"Sebenarnya, pihak istana telah gantikan tempat Chef. Ini memang arahan dari langit."

"Hah, tak mengapalah, tapi biarlah confirm perkara ini awal-awal sikit, saya sedang susun diari saya ni. Sebab itu saya telefon. Kalau tak jadi, saya akan masukkan program lain."

"Ya lah Chef," kata pegawai itu lagi, "Memang nama Chef digantikan dengan orang lain. Saya pun tak tahu mengapa."

"Saya pun tak tanya mengapa. Cuma saya ingin tahu, siapa yang sepatutnya gantikan saya?"

"Emm... mmm... kami minta maaf Chef..."

"Tak perlulah minta maaf, saya cuma nak tahu saja."

"Sebenarnya, arahan dari langit kata tempat Chef digantikan dengan Chef... Chef... Senandika."

Dus! Seperti mahu putus jantungnya. Rasanya macam nak pitam. Tetapi sebelum pitam, dia mohon pengesahan sekali lagi, betulkah apa yang didengarnya.

"Chef Senandika?" Dia bertanya setenang mungkin.

"Ya."

Apakah Chef Senandika akan bercakap tentang franchise makanan segeranya ataupun bolehkah dia berbicara tentang khasiat pemakanan di hadapan beberapa tokoh chef dari istana seberang? Itu antara yang bermain-main di fikiran Chef Chimiko.

Ini bukan persoalan dengki, fikirnya. Tetapi kalau mahu dihantar bagi mewakili istana ini, biarlah orang yang sesuai, tidak memalukan seluruh istana dan penghuninya. Dengan langkah yang longlai, dia memaklumkan hal yang sama kepada chef yang sealiran dengannya. Chef lain melenting mendengar keputusan itu.

Mereka mahu hantar memorandum kepada pihak istana supaya Chef Senandika - pakar makanan segera yang banyak MSG @ ajinomoto itu tidak dihantar. Ini soal maruah istana.

Wajarkah tindakan mereka ini?

Ulasan

Catatan Popular