Siapa pemenang Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2005


Tahun ini pengumumannya agak lewat. Biasanya sekitar bulan Mei ataupun Jun, warga penulis dan sasterawan akan mengetahui keputusan Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU). Sesungguhnya, HSKU merupakan sayembara yang bersifat konsisten. Setiap tahun akan diketahui siapa pemenangnya.

Tapi berita / rencana yang tersiar dalam Utusan Malaysia Isnin lepas boleh dianggap satu hint bahawa hadiah ini akan diumumkan dalam sedikit masa lagi.

HSKU boleh dianggap antara yang paling berprestij kerana karya yang memenangi sayembara ini akan melalui saringan sengit dan pengeditan yang rinci. Saban tahun, penulis yang karyanya tersiar dalam mana-mana majalah ataupun akhbar terbitan Kumpulan Utusan akan dinilai dan diberi penghargaan sewajarnya.

Sebab itu, ramai penulis mahukan cerpen atau puisinya tersiar dalam Mingguan Malaysia, kalau majalah - tersiar di WANITA, URTV, Harmoni dan mana-mana majalah terbitan Utusan Karya Sdn Bhd, yang ada ruangan cerpen dan puisi. (Dahulu karya bernuansa Islam boleh diperolehi dari majalah Al-Islam, tetapi selepas Astora Jabat, ruangan itu terus digugurkan, sampai sekarang saya tidak akan maafkan 'dosanya' menzalimi penulis dalam hal ini. Langganan Al-Islam juga saya hentikan atas protes yang sama.)

Dalam bulan ini, saya percaya pengumuman itu akan dibuat. Antara warga penulis, kami selalunya ingin tahu hadiah paling besar dalam HSKU iaitu siapakah pemenang kategori novel remaja. Kategori ini pernah menobatkan pemenang hattrick tempat pertama- Faisal Tehrani dengan 1515, 1511H [Kombat] dan Advencer Si Peniup Ney.

Setakat ini, belum terdengar orang 'pecah lubang' tentang siapa pemenangnya. (Untuk makluman, tahun ini Nisah Haron tak masuk kategori novel, ya. Jadi memang sah takkan menang). Walau bagaimanapun, seorang dua pemenangnya sudah dapat ditebak. Tunggulah dalam masa terdekat, saya kira keputusan akan diumumkan dalam akhbar Utusan Malaysia.

Satu yang menarik dalam HSKU ialah pemenang adakalanya tidak akan tahu dia menang apa ataupun tempat ke berapa hinggalah pada saat-saat terakhir.

Pengalaman ketika memenangi Mencari Locus Standi: Sekitar Mac, pengarang yang menang akan dihubungi secara peribadi oleh Urus Setia HSKU. Mereka akan minta soft copy manuskrip novel. Pemenang cerpen, puisi ataupun esei sastera, jarang dihubungi pada ketika ini, kecuali jika ada kes-kes khas. Pada masa ini pihak panel penilai dan urus setia sudah tahu kedudukan pemenang. Setelah dihubungi dan diucapkan tahniah, mereka mohon supaya perkara ini dirahsiakan terlebih dahulu. Terutama sekali bagi yang ada blog, janganlah buat pengumuman kepada pembaca blog terlebih dahulu. Ini ialah amanah yang perlu disimpan pengarang.

Tuhan sahaja yang tahu betapa 'ringan'nya mulut nak beritahu seluruh dunia!

Sehingga beberapa hari sebelum majlis penyampaian hadiah, saya masih lagi tidak tahu lagi saya pemenang tempat kedua. Apatah lagi, saya tidak tahu pun siapakah 2 orang lagi yang menang bersama-sama dengan saya ketika itu. Sewaktu menghantar sendiri karya dan ketika berbincang dengan editor sewaktu proses pengeditan bolehkan tidak bertembung pun dengan Faisal dan Siti Jasmina.

Saya percaya, pada ketika ini pemenang kategori novel remaja telah mengetahui bahawa mereka akan menang satu daripada hadiah. Saya sendiri hanya tahu setelah dihubungi pihak wartawan yang mahu mewawancara para pemenang. Saya korek daripada dia. Barulah saya tahu keputusannya.

Apa pun, ucapan tahniah daripada saya kepada semua pemenang HSKU 2005!

Ulasan

Catatan Popular