Rabu, Ogos 16, 2006

Antara Gabra, Gubra & Celupar


Sharifah Amani mohon maaf

KUALA LUMPUR 15 Ogos – Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia Ke-19 (FFM19), Sharifah Amani memohon maaf kepada rakyat Malaysia kerana perbuatannya memperlekehkan bahasa Melayu semasa berucap selepas menerima anugerah itu, kelmarin.

Menurut beliau, ungkapan maaf itu ditujukan terutamanya kepada Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim dan penganjur FFM19 yang jelas tersinggung dengan sikapnya itu.

Menurutnya, dia sama sekali tidak berniat untuk menyakiti hati sesiapa atau bersikap kurang ajar.


Terlajak perahu boleh undur, terlajak kata buruk padahnya. Bukan semua perkara boleh selesai dengan maaf sahaja.

Itulah padahnya kalau tidak berfikir sebelum mengeluarkan kata-kata. Saya masih ingat mata pelajaran sivik / tatarakyat yang diajar sewaktu saya masih di sekolah (rendah & menengah): fikir dulu sebelum berkata-kata. (Inikah kesannya apabila subjek itu tidak lagi diajar di sekolah?)

Benar, pepatah Inggeris ada mengatakan, apa yang tersasul di bibir, bukan salah fikiran. Ertinya, kita mungkin tersasul dalam mengatakan sesuatu yang bukan diniatkan demikian.

Ramai yang masih tidak boleh membezakan bila kita perlu berkata-kata dengan kapasiti peribadi, berkata-kata dengan kapasiti profesional ataupun berkata-kata dengan kapasiti tertentu yang diperlukan pada masa itu.

Masih ingat kepada Sarimah Ibrahim menggunakan kata-kata "kepala hotak kau" dalam satu majlis formal, apabila dijemput mengumumkan pemenang. Pasangannya (kalau tak silap, Jamal Jamaludin) juga terkejut dengan frasa yang digunakan. Sarimah juga boleh menyatakan bahawa dia tidak sengaja, tetapi setiap kata-kata yang lahir dari mulut itu merupakan sebahagian daripada cerminan diri setiap invidivu.

Cuba lihat anak-anak yang menggunakan kata-kata kesat di merata-rata tempat, selidiki sahsiah dan peribadi serta latar belakang mereka. Semua ini ada kaitannya dengan persekitaran dia dibesarkan.

Kembali kepada kata-kata gadis berusia 20 tahun ini :

‘Saya harap perkara ini selesai. Saya masih muda dan baru berumur 20 tahun.'

Sikapnya mengingatkan saya kepada Rob Fisher, Pengerusi Syarikat-syarikat subsidiari ExxonMobil Malaysia. Dalam hampir setiap majlis penyampaian Hadiah Sastera Kumpulan Utusan - ExxonMobil, 'mat salleh' ini memang menggandakan usaha untuk membaca teks ucapannya dalam Bahasa Melayu. Dengan pelat dan tidak terasa bodoh, dia tetap membacanya, siap berpantun-pantun lagi - kerana saya percaya, dia cuba untuk menghormati majlis.

Ya, barangkali dia mempunyai 15 minit untuk berucap dan bukannya 20 saat seperti gadis tadi. Namun, persoalannya ialah bagaimana dalam tempoh yang begitu singkat, kita tidak hilang kawalan terhadap diri.

Bukankah gadis ini kini Aktres Terbaik, setidak-tidaknya berlakonlah untuk menghormati majlis yang dibuat untuk meraikan pemenang seperti mereka.

Saya tidak langsung anti pada Bahasa Inggeris. Tetapi saya percaya bahawa ada bahasa yang sesuai mengikut majlis-majlis tertentu.

13 ulasan:

Rem berkata...

Dalam pada dia minta maaf tu, sempat lagi dia memutar-belit keceluparan dia. Bukan niatlah. Salah quote-lah. Macam-macam.

Dalam satu rancangan temuramah di tv dulu (tak ingat dah rancangan apa), Sharifah Amani tu pernah cakap.. dia malas ke sekolah sebab guru-guru tak pandai mengajar. Lebihkurang cam gitulah. Kalau tak silap, dia ni SPM pun tak lepas. Dan cara dia nak justify kekuarangan pendidikan formal dia... dengan cara menyalahkan sistem pendidikan.

Patutlah dia tak ada kesedaran sivik. Saya pun bukan bengang sangat sebab dia berucapa dalam BI. Bahkan sebelum ini pun, ramai yang berucap dalam BI untuk majlis-majlis begitu. Tapi keangkuhan dia meremeh-remehkan BM tu yang buat orang geram.

Sebenarnya, semua alasan-alasan dia untuk nak justify keceluparan tu.. Yasmin Ahmad yang ajar. Kalau tak caya, bacalah entri-entri Yasmin yang memperlekeh (secara implisit) budaya nasional dan bahasa Melayu. Ayat-ayat dia yang keluar suratkhabar tu.. sebijik macam ayat-ayat dalam entri Yasmin.

Faisal Tehrani berkata...

Bukankah gadis ini kini Aktres Terbaik, setidak-tidaknya berlakonlah untuk menghormati majlis yang dibuat untuk meraikan pemenang seperti mereka.

Saya harap mohon maaf pun bukan satu lakonan, biar tulus dan ikhlas. Dan paling penting tak buat lagi dan nak berubah diri.

Jiwa Rasa berkata...

Selain dari budak Saripah ni, ramai lagi artis dan tokoh negara yang terfikir nak sebut sebut macam tu. Dalam hati pernah rasa macam nak sebut begitu, tapi mujur tak sebut.

Mereka ini memang tak yakin dengan Bahasa Melayu, malah memandang Bahasa Melayu dengan pandangan hina.

Moga ini jadi pengajaran kepada yang lain. Kembalilah mendakap Bahasa Melayu sebagai jatidiri kita. Bahasa Jiwa Bangsa. Hina Bahasa, Hina Jiwa.

echopena berkata...

Sekurang-kurangnya Nani ( and you-know-who-you-are) perlu berasa terpanggil untuk belajar bahasa Melayu jika dirasa diri belum cukup mahir sedangkan sudah bertahun-tahun 'menumpang' di bumi Malaysia.

syed zul jamalullail berkata...

Jamal Abdillah pernah digam kerana dadah, begitu juga Salim. Ahli-ahli sukan antarabangsa pernah ditarik balik pingat mereka kerana menipu. Mereka yang kita panggil role model, yang sebarang tindak tanduknya menjadi aspirasi orang kebanyakan, tidak boleh dan tidak dibenarkan membawa amanat songsang atau membuat perlakuan yang tidak boloeh dimaafkan.

Tarik balik anugerah Sharifah Amani. Sudah jelas dia tidak tahu erti tanggungjawab. Dia sendiri yang mahukan anugerah itu ditarik balik

helmy samad berkata...

Salam.

Kalau dia mahu anugerah itu ditarik balik, saya rasa lagi afdal jika dia sendiri yang memulangkannya. Ada beza antara mahu ditarik balik, ditarik balik dan memulangkan balik. Jika dia ikhlas dalam penjelasannya dan ada rasa kesedaran, dia pulangkan anugerah dan hadir kursus bahasa Melayu dan berbudi bahasa. Dia tidak perlu jadi tugu batu yang sesekali melempar batu ke arah bangsanya, menunggu reaksi dan kelak menyalahkan apa saja di bawah langit kecuali dirinya.

Tapi, saya rasa tidak perlulah ditarik balik kerana dia sememangnya seorang "pelakon" yang handal...

sinaganaga berkata...

aku setuju dengan helmy samad

auntylela berkata...

Maafkanlah dia puan2 dan tuan2. Dia hanya anak 20 thn. Belum cukup pengalaman, belum cukup pelajaran dan belum cukup ilmu ugamanya.
Kan dia dah minta maaf, iklas atau tidak iklas, itu antara dia dengan Allah sahaja.
Peranan kita sekarang menerima kemaafan dia. Lepas ini, kita yang dewasa, yang pandai menulis, buatlah cara terbaik mengingatkan orang2 muda untuk bersifat sopan dan berkata2 dgn adap.
Saya bercakap dengan pengalaman. Saya juga banyak kesalahan begini masa muda.
Sekarang anak2 saya masuk dlm umur 20's. Mereka buat salah, kata tersasar, saya harus ajarkan yang baik.
Kita yang tua dan pandai kena tunjuk yang benar dan baik.
Janganlah mudah marah2 dan bersikap tidak boleh memaafkan.

thanaif berkata...

Tidak menunjuk pandai mahu berkongsi rasa je...
pengampunan untuk yang benar-benar bersalah.Agak-agaknya berapa unit tingkat & lapis baru terbina masyarakat sebelum individu.
Sebelum tu setujulah tiada duri sepatutnya dalam masa mahu berbudi.
Dalam berkarya biasanya insan seni tidak membatas kreatif kerana telah biasa membudaya akal menjadikan mereka bebas sebebasnya meletak ukur beza sukat terhadap mereka yg bukan sealiran pendapat.
Moral susila diperhalusi oleh nurani.Insan seni yg Muslim masih sentiasa membina ukur nilai ikut telunjuk budaya, sayangnya budaya yg menenyimpang dr peradaban budaya Islam.
Budayawan karyawan sasterawan seniman wartawan juga insan yg akar umbi jiwa kendiri jati diri tetap serupa dgn insan awam, fitrah jiwa asli abdi mengabdi pd Ilahi.
Kalimah gerak tari hasil keratif & perkembangan subur aktiviti berfikir ikut selera yg berterabur jika ia menjauhi kesusilaan kesopanan budaya timur yg amat nyatahasil lahir dr realiti akidah Islam yg budaya seninya penghambaan pengabdian pd Allah menyantuni akal dlm bertindak.
Aktif membiarkan mereka lain & luar biasa di persada pentas terbawa-bawa ke realiti.Namun mereka tidak sewajarnya dipersalahkan selagi tiada penanda ukur budaya Islam yg sahih sebagai atur cara pengubudiahan dalam pengkaryaan..tetapi tanggungjawab sebagai individu muslim tidak wajar menjadikan diri berlepas tangan. Insan seni Muslim patutnya
berbeza dr rakan karyawanseni mereka yg bukan Muslim...sedih mereka meletakkan diri seperti sama meski tidak serupa.
Kelihatannya mereka larut & hilang jati diri sebagai Muslim kerana iktikad kepercayaan & keyakinan mereka tidak berupaya mempengaruhi masyarakat seni...sedangkan karyawan barat lebih lantang menyuarakan kemanusiaan mengusulkan persefahaman agar keamanan dihayati kesejagatannya.
Menyadur menceduk mengangkut menimba mengutip ilham sebelum di persembahkan kepada tontonan umum biarlah lahir dr kejujuran bahawa imej mesej semangat adalah imej mesej semangat tidak sekadar dunia tetapi menyudut arah imej mesej semangat Islam. Generasi Islam kini terumbang ambing dan jelas cacat di sini sana bila tidak berupaya memilih imej mesej semangat rupa akar umbi bangsa... akhirnya memilih yg menunjuk arah meminggir jati diri muslim milik mereka.Ini akan menyangkut soal bahasa nilai moral akhlak yg menyumber sumbang laku merendah prestasi jaya diri remaja.
Negara dan bangsa adalah tanggung jawab kita mencorakkannya.
Insan seni juga berupaya menjadi dai kerana ini pasti membezakan kita dr orang lain.
Salah & silap rasa ini harap di zahirkan.

Puan Ainon Mohd. berkata...

Sdr Helmy Samad, ya, setuju dengan saudara.

Nak tambah sikit..... itulah yang membezakan siapa yang dipanggil 'pelakon' dengan siapa yang layak dipanggil 'bintang'.

umaq_eiman berkata...

setiap manusia tersalah... sebaik baik pesalah yang beristighfar...
kalau tidak banyak tahu maka jangan banyak kata, bila banyak kata maka banyak lagilah salah...
sebagai muslim kita dinasihatkan bersikap hikmah, pemaaf, benar dan mesra.
adik amani jgn masuk lubang dua kali.

annyss berkata...

Benarlah, permohonan maaf bergantung kepada dua jawapan. Sama ada diterima ataupun ditolak.

Kalau pun diterima, hal ini sewajarnya menjadi pengajaran. Itu yang lebih penting dalam membuat kesilapan. Setakat minta maaf tapi tak insaf juga tak guna.

Andai dari 'kecil' tak diajar, dah jadi buluh baru nak tegur, inilah padahnya. Ha, kan sekarang dah disebatnya orang lain, sebab dah jadi buluh. Masa rebung dulu, tak dibetulkan.

dugongsenyum berkata...

pendapat sdra Helmy Samad memang best!

Related Posts with Thumbnails