Rabu, September 13, 2006

Sekitar Majlis Pelancaran Buku CSRO


Seperti yang dijadualkan, kumpulan cerpen saya yang kedua selamat dilancarkan pada 11 September yang lalu. Banyak juga rintangannya. Saya hampir-hampir percaya bahawa buku saya itu tidak akan dilancarkan pada tarikh tersebut kerana terpaksa memberi laluan kepada Pelancaran Duit Syiling dan penyampaian hadiah untuk Anugerah NILAM.

Pelik bukan? Pesta buku di Negeri Sembilan hampir-hampir gagal untuk melancarkan buku penulis yang sememangnya anak jati Negeri Sembilan. Terima kasih saya tidak terhingga kepada Tuhan dan juga kepada Kak Mahaya yang berhempas pulas mempertahankan bahawa karya saya yang satu itu mesti dilancarkan pada tarikh tersebut seperti yang telah dijadualkan pada peringkat awal mesyuarat lagi.

Ya, apabila sudah ditakdirkan dan Tuhan juga merestui, ia tetap akan berlaku.

Berikut beberapa gambar yang sempat dirakamkan sewaktu majlis pelancaran tersebut.


YAB Menteri Besar Negeri Sembilan telah sudi melancarkan CSRO


Pak Samad bukan sahaja telah bersusah payah dan 'menderita' menulis kata pengantar untuk CSRO, malah turut hadir sewaktu majlis pelancaran. (Terima kasih, Pak Samad!)





6 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

bila pula agaknya akan terbit novel drpd NISAH HARON...???

annyss berkata...

Novel saya "Puisi Untuk Esdyzuar" sudah terbit secara bersiri dalam majalah Tunas Cipta 2004 - 2006. Sedang dalam proses untuk dibukukan.

Manakala novel saya "Lentera Mustika" sedang disiarkan secara bersiri juga dalam majalah ANIQAH. Ia juga bakal dibukukan apabila kesemua siri telah disiarkan.

Terima kasih atas perhatian sdr.

Faisal Tehrani berkata...

salam,
tempah baju baru ek?

Puan Ainon Mohd. berkata...

Tahniah! Makin muda nampaknya seri muka cikpuan! Barangkali proses kreatif menulis buku membantu memperlahankan proses penuaan....

annyss berkata...

Faisal,
Orang cerita pasal buku, kau cerita pasal baju!

Mestilah tempah, kan sedondon dengan baju MB tu. :)

Puan Ainon,
Sungguh! Apabila kita banyak berfikir dan menumpahkan idea, bukan sekadar sel-sel dalam otak yang mati itu tumbuh semula tetapi sel-sel kulit pun sama, kot. :)

Lihatlah, puan sendiri pun tidak dimakan usia!

Helmy berkata...

Salam.

CSRO: Semakin liar menyubur rambut putih di kepala. Saya seorang dimakan usia...jalan termudah, ini semua salah Nisah! :D

Related Posts with Thumbnails