Rabu, November 08, 2006

BILUT wajib ditonton di sekolah, IPT

Usai menonton Bilut petang tadi, sayang sekali hari ini merupakan hari terakhirnya. Saya percaya filem ini bukan sahaja 'wajib tayang' di pawagam. Tetapi, ia juga wajib dipertontonkan di semua sekolah. Khasnya, kepada bangsa Melayu. (Tanpa berniat untuk bersikap perkauman di sini).

Ulasan panjang telah ditulis Faisal Tehrani, boleh baca di situ juga.

Sesiapa yang tidak terkesan selepas menontonnya, pastinya orang itu buta estetika makna. Ia memaparkan sudut yang jarang diangkat tentang Felda dan fungsinya dalam membantu orang-orang Melayu. Ia kisah bagaimana orang Melayu yang miskin diberikan pengharapan dan golongan yang berjaya dalam kisah ini ialah mereka yang benar-benar berusaha.

Cabaran demi cabaran yang digambarkan mungkin sahaja bersifat dramatik bagi mahu memancing emosi penonton, tetapi bagi saya kisah pokok tumbang yang menimpa rakan seperjuangan, cemburu dan dengki, anak peneroka dimakan harimau, ada yang mati disengat lipan - itu semua simbol-simbol cabaran. Mungkin juga bukan 100% realiti dalam kehidupan peneroka, tetapi ia tetap logik.

Penulis skrip Zain Hj Hamzah dan Ismail Kasan (dengan seorang lagi yang saya tidak sempat tangkap namanya sewaktu kredit hujung filem ini) telah menggunakan dialog yang sederhana, selebihnya ialah bahasa filem. Filem yang baik tidak semestinya memerlukan dialog yang meleret-leret. Satu renungan mata sahaja sudah boleh menyampaikan maksud dan hasrat wataknya. Ini sangat jelas dalam lakonan Rosyam Nor, Khir Rahman, Eja dan beberapa lagi.

Babak ribut - rumah yang baru dibina tumbang dan kedatangan ribut yang mendadak itu terasa mengerikan. Tidak nampak dibuat-buat. Kita akan turut sama bersimpati dengan setiap cabaran yang melanda watak-watak dalam kisah ini.

Que Haidar tidak dapat bertutur dalam bahasa Inggeris dengan baik. Ia agak mengganggu saya. Kalaulah biarkan dia bertutur dalam bahasa Melayu sepanjang masa tentu lebih baik. Padahal penulis skrip membina dialog dalam Bahasa Melayu bagi watak anak peneroka yang berada di Brussels. Bagi saya, biarkan sahaja Que berbual dalam bahasa Melayu dan Jericho dalam Bahasa Inggeris. Sebagai penonton, kita kan memang fasih kedua-duanya!

Kalau tidak pun, bagi Que perlu ada dubbing supaya bahasa Inggerisnya tidak kedengaran sumbang dan kecundang. Pun, ia tidak mengganggu keseluruhan cerita. Cara dia terpaksa menolak cinta Mazuin juga menarik, hanya dengan pandangan mata dan riak wajah. Penonton kita bijak, memang boleh faham. Tak perlu nak berdrama-drama "kenapa kau tak nak kawin dengan aku".

Sayangnya, filem ini kurang promosi. Seperti yang pernah disebut Rem dalam blog Faisal, patutnya Mawi digunakan untuk promosi filem ini. Apatah lagi dia sendiri anak Felda Taib Andak dan dia juga menyanyikan lagu tema filem ini.

Saya tegaskan semula : Filem ini wajib ditayangkan di sekolah-sekolah terutama sekali yang dah habis periksa dan hari-hari datang sekolah melopong atau datang bermain!

2 ulasan:

mohamadkholid berkata...

membaca ulasan sdr dan ulasan faisal sudah cukup menarik!

che606 berkata...

Saya ingin mengulasnya. tapi saya rasakan tidak wajar. Kerana ia upaya untuk membantutkan rakyat Malaysia dari mengunjunginya di ruang gelap. berikan sedikit masa, setelah filem tersebut habis berputar, InsyaAllah kita boleh melihatnya dari sudut yang pelbagai.

Suka atau tidak dengan filem tersebut bukan bermakna 'kulup seni' seperti yang didakwa oleh sudara faisal. tetapi saya tetap menghormati pandangan sekolah fikir anutannya. Saya juga mengalukan pandangan pandang yang lain.

Saya tidak pernah hadir di Bilut, tetapi saya pernah bergaul dengan mereka yang meneroka (peneroka awal) di Suharto, New Zealand dan Lyod b Johnson.

'buruk atau baik' sesebuah filem yang dibikin oleh warga malaysia wajar ditonton. Wajar diberi sokongan dan sama samalah kita memenuhkan ruang gelap.

kepada siapa kita ingin mengharap. Kerana tanpa disedari ia adalah sebahagian kecil dari kita sebagai rakyat Malaysia.

Bukan sahaja Bilut yang perlu dibawa ke sekolah sekolah. tetapi ada banyak lagi filem filem yang lain.

Sekian terima Kasih.

Salam perkenalan.

ps/ saya lebih melihat apa yang dipaparkan itu meyakinkan atau tidak. Kelihatan authentic atau artificial.

Related Posts with Thumbnails