Guru Pengesan Bakat

Insan yang paling baik untuk mengesan bakat seseorang penulis muda, biasanya ialah guru. Mengikut logiknya, seorang guru (khasnya guru Bahasa Melayu) dapat mengesani bakat penulisan seorang pelajar apabila pelajar tersebut menulis karangan. Apatah lagi, kalau pelajar tersebut mempunyai imaginasi yang luas dan selalu terlajak daripada had patah perkataan yang diberikan.

Bagi saya, kesnya sedikit berbeza. Semenjak di menengah rendah, tidak seorang pun guru bahasa yang mengesani bakat penulisan saya. Berkemungkinan juga saya tidak menonjolkannya dengan baik. Walau bagaimanapun, sewaktu dalam darjah lima, saya selalu mendapat markah yang tinggi untuk sub-topik membuat ayat dalam Bahasa Melayu. Pada ketika itu, saya faham bahawa membuat ayat ertinya meletakkan perkataan yang diberikan dalam konteks yang betul supaya makna perkataan itu boleh ditebak.

Semasa dalam tingkatan empat, saya mendapat guru Bahasa Melayu yang seperti dalam novel-novel remaja pada ketika itu. Namanya Cikgu Ilham. Saya selalu membayangkan dia seperti Cikgu Mustakim dalam sebuah novel yang saya baca - seorang guru Bahasa Melayu yang amat mengambil berat terhadap pelajar-pelajarnya, kreatif ketika mengajar, jarang sekali membosankan di dalam kelas.

Sayang sekali, dia mengajar tidak lama. Oleh sebab dia guru yang baik, dia pun mendapat ditawarkan sebagai pensyarah di Maktab Perguruan Raja Melewar. Pengganti beliau merupakan seorang yang membunuh minat saya terhadap Bahasa Melayu dan juga menjahanamkan kertas Kesuasteraan Melayu. Saya tahu saya tidak boleh gagal kedua-dua kertas ini. Jadi, saya pun belajar sendiri.

Alhamdulillah, SPM dapat mencerminkan usaha saya dengan berkat guru-guru yang semakin baik semasa di tingkatan 5.

Sehingga di tingkatan 5, bakat penulisan saya masih tidak disedari guru-guru Bahasa Melayu ataupun guru kesusasteraan melayu. Mereka itu tetap guru yang baik, mengajar mengikut kehendak silibus. Anehnya, guru yang mengajar Bahasa Inggeris 1119, Cikgu KRM Shanmugam pula yang banyak kali memberitahu saya supaya saya mengasah bakat penulisan. Dalam subjek karangan Bahasa Inggeris, dia sering menggalakkan saya supaya menjawab karangan berbentuk cerita. Katanya, saya mempunyai gaya penceritaan yang menarik.

Pun, saya tak percaya sangat pada ketika itu. Apatah lagi, guru Bahasa Melayu saya pun tak pernah kata apa-apa. Malah, guru Bahasa Melayu selalu memberi amaran bahawa kalau menulis karangan berbentuk cerita, banyak risiko. Kalau lari dari tajuk, nanti dapat markah kosong. Itu yang sering ditakut-takutkan berbanding berusaha mengajar bagaimana mahu menulis karangan berbentuk cerita dengan baik.

Dalam peperiksaan, kebetulan soalan karangan berbentuk cerita yang keluar merupakan tajuk yang tidak terlalu sukar malah agak mencabar. Saya memilih untuk menjawab soalan tersebut - sambil terkenangkan pesanan Cikgu Shanmugam.

Saya tidak pasti sama ada saya tunjukkan kepadanya cerpen saya yang pertama Di Sebalik Wajahmu, Aries ketika ia terbit sewaktu saya di Tingkatan 5. Selepas itu, saya melanjutkan pelajaran ke Matrikulasi Undang-undang UKM.

Cikgu Shanmugam dikhabarkan meninggal dunia sewaktu saya di tahun pertama matrikulasi.

Selepas itu, tentunya guru yang paling memberi kesan ialah Allahyarham Dr. Othman Puteh - meskipun peluang berguru dengannya hanyalah sewaktu Minggu Penulis Remaja 1993.

Sewaktu di Fakulti Undang-undang tahun pertama, terdapat dua mata pelajaran yang diajar oleh Prof. R.H. Hickling. Ketika itu usia beliau sudah lanjut, barangkali penghujung 70-an. Memang sudah pangkat datuk dengan cucu. Beliau sangat tertarik apabila mengetahui bahawa saya juga menulis kreatif.

Apabila ada waktu lapang, atau waktu sela antara kelas, saya akan singgah ke biliknya di fakulti. Dia pun dengan senang hati menerima saya. Anehnya, kami bukanlah berbincang tentang hal-hal subjek undang-undang yang diajarnya. Kami lebih banyak berbincang tentang hal-hal penulisan dan kesusasteraan. Beliau juga turut menghadiahkan saya novel-novel dan buku-buku yang baik. Katanya, dia sudah membaca buku tersebut dan tak mungkin membawanya pulang ke England kelak.

Sehinggalah dia pulang semula ke England, kami masih lagi berhubung - mengirim poskad setidak-tidaknya beberapa bulan sekali. Sesekali dia turun ke Kuala Lumpur untuk persidangan dan sebagainya dan adakalanya dia singgah ke Fakulti Undang-undang UKM. Tidak lupa menitipkan sebuah dua buku untuk saya.

Tiga orang guru ini banyak memberi impak yang besar dalam dunia penulisan saya. Apatahlah lagi Prof. Hickling yang banyak kali memberitahu saya supaya jangan berhenti menulis (kreatif) walaupun saya memilih untuk meninggalkan profesion guaman ini suatu hari ini. Menurutnya lagi, sesiapa pun boleh jadi peguam sebenarnya, tetapi berapa ramai yang benar-benar boleh menjadi penulis.

Kepada yang bertuah memegang jawatan guru pada ketika ini, jadilah inspirasi kepada pelajar anda. Bimbinglah pelajar itu jika anda melihat ada bakat dalam dirinya, walau sekecil mana sekalipun. Percayalah, pelajar itu tidak akan melupakan anda...

Ulasan

Tanpa Nama berkata…
Saudari Nisah,
Saya juga sering memilih tajuk berbentuk cerita apabila menjawab soalan karangan. Bagi saya ia mudah dan saya boleh dapat markah yang tinggi berbanding jika saya memilih yang tajuknya berdasarkan fakta. Saya malas nak fikir fakta-faktanya dan juga saya pasti dapat markah rendah. Saya antara segelintir murid yang memilih tajuk berbentuk cerita, yang lain, seperti yang sering diberitahu guru, takut terlajak dan keluar topik jika menulis karangan begitu. Apa nak buat saya mungkin boleh dikatakan terpaksa sebab jika saya ikut saranan cikgu, ranaplah markah BM saya.
Cikgu BM saya di tingkatan lima pula sering menyindir saya di dalam kelas dengan mengatakan saya meniru kerja sekolah anak murid kesayangannya. Hinggakan saya selalu diberi markah yang rendah waktu peperiksaan BM kerana andaian beliau itu. Yang sebenarnya, anak muridnya itu, yang juga rakan rapat saya, akan datang meminjam kerja sekolah BM saya yang dia tahu pasti saya sudahkan terlebih awal daripada yang lain. Bila keputusan keluar saya kejar cikgu itu hingga dia lari menyorok di dalam bilik guru untuk menunjukkan keputusan BM saya yang cemerlang. Dia masih tidak mahu mengaku yang saya tidak meniru sesiapa dalam mata pelajaran BM.
Eh, panjang pulak. Tak apa ya saudari.

Catatan Popular