Kenyataan Berani MB Johor

Akhirnya, seorang Menteri Besar yang berani menyatakan yang hak dan meletakkan keadilan pada tempat yang sewajarnya.

Baca : laporan-laporan dalam Utusan Malaysia hari ini -

Hentikan Sistem Meritokrasi

Pengajaran Sains & Matematik dalam BI dibantah

Penubuhan IFC ditolak


‘‘Pendekatan ini sebenarnya amat menyulitkan pelajar Melayu kerana ia adalah cara paling buruk untuk belajar bahasa Inggeris dan cara paling buruk juga untuk belajar Matematik dan Sains,” katanya. - Pengajaran Sains & Matematik dalam BI dibantah.

Sesungguhnya, fakta dan nombor yang disebut dalam laporan-laporan di atas, bukanlah perkara baharu. Tetapi apabila ia disebut oleh seorang Menteri, fakta dan angka tersebut menjadi sesuatu yang sangat signifikan. Padahal, fakta dan nombor yang sama tentang pengajaran Matematik dan Sains dalam Bahasa Inggeris dan kesan jangka panjangnya terhadap Bahasa Kebangsaan pernah dinyatakan oleh Dr. Awang Sariyan.

Tinggi harapan saya bahawa kenyataan dalam ketiga-tiga laporan di atas akan membawa suatu gelombang perubahan bagi orang-orang Melayu khasnya. Hendaknya, ia tidak menjadi cakap-cakap orang politik yang bermusim.

Ini persoalan masa depan anak-anak Melayu. Merekalah yang paling ramai gugur bergelimpangan akibat serangan Matematik dan Sains dalam Bahasa Inggeris. Jangan lihat statistik di bandar-bandar. Di sana-sana pendedahan kepada Bahasa Inggeris mungkin sahaja dibantu oleh media elektronik. Tetapi di kawasan-kawasan luar bandar, bagaimana anak-anak ini mahu bersaing? Mereka bukannya tidak boleh menghabiskan ayat matematik ataupun menyudahkan ujian sains di makmal. Mereka tidak faham apa yang soalan itu mahukan.

Kita perlu sedar bahawa sistem pembelajaran di Malaysia ini berorientasikan peperiksaan. Bukannya bersifat organik. Pelajar tidak digalakkan membaca bahan yang bukan untuk peperiksaan. Malah, kalau digalakkan pun, mereka sudah tidak punya masa untuk membaca bahan-bahan lain, ataupun minat mereka itu sudah lama dimatikan oleh peperiksaan itu sendiri.
Akhirnya, semuanya jadi cacamarba. Bahasa Inggeris pun tak lepas, Bahasa Melayu tunggang langgang. Matematik dan Sains pula hancur lebur. Bagaimana bangsa kita hendak maju selepas ini?

Kalau ada pula yang mahir berbahasa Inggeris dan terus ke luar negara, akhirnya melupakan bahasa ibunda - Bahasa Melayu. Terus berbangga dengan bahasa asing.

Ingatlah, betapa tinggi sekalipun tangan ini menggapai awan, kaki hendaklah kukuh mengakar ke bumi!

Ulasan

Zaid Akhtar berkata…
Saya tiba-tiba tersangat bangga menjadi orang Johor. :-)

Ya, PPSMI mesti dihapuskan! Biarlah beratus juta telah dihabiskan, kita masih belum terlambat untuk kembali ke landasan yg betul.

Harapnya juga bukan gimik politikus.
Jong berkata…
salam,
saya memang tabik dengan MB Johor kerana keprihatinannya terhadap seni, sastera dan budaya.
Moga beliau berpegang dan komited dengan pandangan ini, dan saya mahu bersangka baik dengan beliau memandangkan pemilihan agung UMNO ditangguhkan beberapa tahun lagi.
Wassalam
Rebecca Ilham berkata…
Salam.

Puan Nisah,
saya pernah juga menulis tentang isu ini.
http://becky_ilham.blogs.friendster.com/my_blog/2006/08/index.html

Semoga bahasa ibunda kembali dimartabatkan!
Unknown berkata…
Saya juga terkejut. Bagai tak percaya ianya datang dari perhimpunan UMNO.

Sudah lama tidak dengar suara yang melawan arus dari UMNO, walaupun banyak polisi yang merugikan bangsa.

Kepentingan bangsa, agama juga bahasa perlu didahulukan dari kepentingan individu dan kumpulan.

Moga ini jadi satu permulaan yang baik untuk kepentingan semua.

Catatan Popular