Rabu, November 22, 2006

Raya Dah Habis...

Semalam saya ke sebuah restoran berhampiran dengan DBP. Saya merancang untuk berbincang dengan seorang sahabat penulis. Pengalaman saya sebelum ini, restoran yang dimaksudkan mempunyai tempat yang sesuai untuk berbincang dan agak tenang.

Namun, saya amat kecewa apabila saya tiba di sana dengan sahabat saya, kami disambut dengan sekumpulan manusia yang terpekik terlolong menyanyikan lagu-lagu raya. Kawan saya itu bertanya, "Eh, ada raya lagi ke hari ini?"

Saya menjawab, hari ini memang 29 Syawal. Memanglah masih dalam bulan raya. Tetapi, sikap yang ditunjukkan oleh sesetengah orang Melayu ini amat berlebih-lebihan. Kalau beraya, sampai ke hujung raya pun tak habis-habis lagi nak berpesta-pestaan. Yang berkaraoke itu bukannya budak-budak muda yang tengah gatal nak masuk AF dan perkara-perkara yang berkaitan dengannya, tetapi orang-orang yang saya boleh panggil pak cik dan datuk. Tentang suara mereka tu, malaslah saya nak komen ciptaan Tuhan. Pendeknya, saya rasa menyesal datang ke situ.

Teringat masa dulu-dulu belajar undang-undang tort. Ini adalah satu bentuk kacau ganggu awam (public nuisance). Boleh kena saman lagi. Inikan tempat awam, kalau pun nak adakan acara karaoke, biarlah di tempat yang tertutup.

Apabila hampir sampai ke penghujung puasa dulu, ramai antara kita yang meninggalkan amalan-amalan sewaktu Ramadhan, malah ramai yang sudah mula buat persiapan raya. Masih ramai yang terlupa bahawa yang besar ialah puasa bukannya raya itu.

Sudah-sudahlah beraya.

7 ulasan:

mohamadkholid berkata...

hari ini - dah habis syawal - ada lagi yang buat rumah terbuka. Tentang ganggu kacau ini - tak semua orang faham privasi sebab mungkin tak pernah ada saman di mahkamah tentang perkara ini (atau saya tak pernah baca tentangnya).

lutfi berkata...

orang kita memang suka raya. bukan raya puasa sahaja. semua raya lain yang ada. cuma raya idea (merayakan idea) sahaja yang tak ada.

Helmy berkata...

laaaa baru rancang-rancang nak beraya rumah nisah...entri nisah ni macam kenyataan dia dah tutup pintu ja...:)

Rebecca Ilham berkata...

Salam.

Saya perasan perbedaan paling ketara antara kita menyambut perayaan dengan rakyat Amerika, ialah persiapannya.

Hari ini Thanksgiving, tetapi hari ini jugalah [dan semalam], barulah mereka sibuk-sibuk membeli belah untuk memasak hidangan makan malam tradisi secara besar-besaran. Kemudian, habis. Noktah.

Tetapi kita, sebelum Ramadhan lagi sudha menempah biskut 15 jenis. Yang kesudahannya, tidak habis dimakan sehingga tamat bulan Syawal pun!

annyss berkata...

Abg Helmy,
Tak kisah sebenarnya kalau nak datang ke rumah pada bila-bila masa pun :)

Yang tak sedapnya ialah raya dalam bentuk pesta-pestaan - sampai tak sedar diri.

Tanpa Nama berkata...

Orang kita memang suka dengan pesta-pesta. Buat benda serius pun kena ada pesta-pesta. Kalau tiada pesta-pestaan, majlis tak akan dapat sambutan.

echopena berkata...

setuju benar dengan komen-komen di atas.
Masalah pokok ialah cara kita merayakan Aidilfitri itu sendiri.

Kalau dari awalnya sudah salah, mungkin kepuasan tidak dapat dikecap, maka setahun beraya pun tidak cukup-cukup lagi.

Memahami apa itu 'raya' perlu diberi penekanan.

Related Posts with Thumbnails