Memotivasikan Diri

Bukan mudah untuk memotivasikan diri.

Tapi setiap hari Isnin dan Khamis, suka tak suka, ceria atau tak ceria, saya mesti mulakan hari dengan penuh rasa 'termotivasi'. Untuk mereka yang di Terengganu, saya selalunya ke udara pada hari-hari tersebut jam 7.45 pagi untuk segmen motivasi pagi.

Adakalanya, kalau berkesempatan, saya sudah menyediakan teks skripnya pada sebelah malam. Tetapi, selalunya taklah selalu berkesempatan. Jadi, paginya selepas subuh, saya akan pandang kiri, pandang kanan. Tengok sikit mana-mana buku motivasi yang ada untuk mencari ilham.

Bukan setakat itu sahaja, setiap motivasi saya mesti ada pantun yang ada kena-mengena dengan topik yang akan diperkatakan. Sesekali terasa seperti mendera diri sendiri, tetapi ini juga untuk kebaikan semua pendengar dan saya juga. Jadi, sambil memikirkan pantun dan topik untuk pagi itu, saya mesti bersedia untuk menjadikan diri terlebih dahulu ceria.

Sampai hari ini, saya sendiri pun tak pasti apakah respon daripada pendengar Terengganu.FM. Maklumlah 5 minit sahaja setiap kali. Mungkin ramai juga yang terlepas slot tersebut. Kalau yang mendengar pun mungkin dalam kereta dalam perjalanan ke tempat kerja. Itu belum lagi dicampur dengan saingan daripada stesen radio lain.

Mulai Januari 2007, Pahang.FM pula menawarkan slot yang serupa kepada saya. Cuma saya perlu ke udara sekali sahaja seminggu iaitu setiap Jumaat jam 6.50 pagi!

Aduhai, saya harus memastikan diri lebih bermotivasi lebih awal daripada biasa.

Itu baru tentang memotivasikan orang lain supaya lebih bermotivasi. Bagaimana kalau dalam menulis? Siapa yang mahu memotivasikan diri kita atau memberikan semangat supaya inspirasi untuk menulis tidak patah di tengah hari?

Bukan mudah untuk memotivasikan diri sendiri...

Ulasan

Catatan Popular